Hijri Calendar by Alhabib

Wednesday, May 9, 2018

Pengendalian Disiplin Alternatif Pendekatan William Glasser sila klik pautan di bawah: Moga bermanfaat. TQ.

https://drive.google.com/file/d/1JwWa3E-5l8dJcHZPidGsNFX5uu6xzWTN/view?usp=sharing

Tuesday, March 10, 2009

Isu GBK di sekolah....

PENTING BANGET..
Hehe.. salam 2all.. saya dapat banyak maklumat ramai yang masuk blog ini untuk lihat perkembangan saya.. sebenarnya semua itu boleh tuanpuan lihat di blog utama saya di www.pusaka01.com.. sila ke sana deh... blog ini cuma blog sampingan ya.. tqsm

Cerita Satu Malaysia
Saya sekeluarga, rakan dan En. Wong serta 2 orang anaknya

Bercerita tentang Satu Malaysia, sebenarnya saya selalu cakap dengan pelajar tentang perlu ada hubungan dan berbaik sangka dengan kaum lain. Cuti sekolah baru-baru ini saya sekeluarga dan dua orang lagi rakan dari Trengganu telah melawat kawan lama saya yang bernama En. Wong Weng Soon. Kami tidor di rumahnya semalam kerana beliau tidak benarkan kami menginap di hotel. Bagaimanapun tidur di rumahnya bagaikan lebih selesa daripada tidor di Hotel 5 bintang. Beliau adalah rakan baik saya sejak 1983 semasa beliau mula menjadi guru di SM Tinggi Kajang. Ketika itu saya menjadi warden asrama di sana. Kami sangat rapat hingga menjadi isu pada setengah guru. Bagi saya tidak semestinya beliau bukan dari golongan Melayu saya tak perlu rapat dengan dia begitu sekali. Kami terlalu rapat sehinggakan pernah saya tidur di rumahnya di Penang semasa ibu dan bapanya masih ada selama satu minggu. Saya ketika itu menjadi pelukis jalanan di depan Komtar di Penang. Beliau sebagai pembantu saya membeli barang keperluan seperti colour, brush, tiles dsb. Pernah kami makan roti canai berkongsi satu pinggan kerana kekeringan duit hehe.. puasa bersama.. kecuali dia tidak sahur dan hisap rokok di siang hari tetapi tidak makan dan minum.. kelakar bila difikirkan semula. Kini dia seorang enterpreneur yang berjaya.. telah berhenti menjadi cikgu kerana kekeciwaan.. yang menariknya beliau telah diambil tindakan kerana membantu pelajar Melayu dalam peperiksaan SPM.. ya.. semua pelajar adalah Melayu.. beliau kesian kerana mereka tidak dapat menjawab peperiksaan matematik.. akhirnya keputusan kesemua pelajar dalam kelas itu (yang dijaganya) mendapat kelulusan yang memeranjatkan sekolah. Kementerian telah mengambil tindakan yang sepatutnya dan dia sangat keciwa.. nanti saya cerita lagi .. cerita bagaimana dia membimbing pelajar saya dengan memberi tusyen matematik percuma .. tetapi ada guru melayu yang membantah tunggu ya..


4 Mei 2010

Nasib Kita Berbeza

Ada di kalangan guru bimbingan dan kaunseling (GBK) yang amat bertuah mendapat pentadbir yang memahami dan menyokong apa sahaja yang mereka lakukan. Ada juga dalam kalangan kita yang bertungkus lumus bekerja bagaikan tiada masa untuk diri mereka tetapi masih lagi tidak mendapat pengiktirafan daripada pentadbir. Ada juga antara kita yang tidak membuat apa-apapun tetapi kerana kepakaran mereka dalam PR menyebabkan mereka ini disukai oleh pihak pentadbir. Ada juga di antara kita yang memang berkesan dalam apa jua tindakan tetapi sentiasa dipandang sepi oleh pihak pentadbir hinggakan mereka yang tergolong dalam golongan ini bagaikan ditelan mati emak diluah mati bapa. Mereka serba salah jika membuat sesuatu, sekolah akan ok tetapi masih juga diperkatakan dengan berbagai tohmahan oleh orang yang digelar pentadbir, jika tidak dilakukan sesuatu maka sekolah dan pelajar akan menjadi teruk tetapi puas hati kerana memang kena pada kehendak pentadbir.

Saya pernah melihat gelagat-gelagat di atas dan sehingga sekarang ianya menjadi satu trend yang tidak boleh hendak diterangkan. Satu fenomena yang semulajadi berteraskan kita manusia yang tidak sama. Kepada anda yang bekerja bertungkus lumus dan tidak mendapat apa yang patut anda dapat dari pihak pentadbir saya amat merasainya dan berdukacita atas apa yang anda rasa. Sememagnya perkara yang sama telah pernah saya alami. Persekitaran sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang Cuma 400 orang dan ada pula yang mempunyai pelajar seramai 2000 orang. Ini juga satu jurang yang besar dan memberi kesan yang besar juga kepada GBK dalam melaksanakan tugas mereka di sekolah. Ada GBK yang saya kenal hinggar menjadi tidak stabil dan menjadi sangat teruk angkara pihak pentadbir. Ada juga GBK yang telah menjalani rawatan jantung kerana keadaan sedemikian berlaku kepada mereka.

Beruntunglah GBK yang mempunyai PR yang baik dan pandai berbahasa tetapi tidak membuat apa-apa di sekolah tetapi mendapat tempat di hati para pentadbir mereka. Saya pernah jumpa orang seperti ini. Bilik kosong, berkunci dan berdebu kerja mereka Cuma menemankan Pengetua pergi ke sana ke sini kerana keakraban mereka. Cakap mereka besar seolah mereka lakukan segalanya di sekolah sedangkan pelajar mereka terbiar. Jenis GBK seperti ini pun ada. Satu dokumentasipun tiada tetapi mereka sentiasa selamat bernaung di bawah duli yang maha mulia tuan pengetua mereka. Yang menjadi lebih teruk lagi sekiranya mereka ini berdua atau bertiga di sekolah maka rakan mereka yang lain itulah yang kena suruh lakukan kerja itu dan ini hinggakan berlaku rasa tidak puas hati di antara mereka.

Beruntung kini anda semua mempunyai dua orang atau lebih GBK dalam satu sekolah. Ada juga yang sehingga mempunyai 5 orang GBK dalam satu sekolah. Permasalahan lain pula timbul dalam melakukan tugasan kerana sikap tiap orang yang tidak sama. Permasalahan sikap dan rasa iri hati terhadap satu dengan yang lain telah mengeruhkan suasana bekerja. GBK yang ramai dalam satu sekolah tetapi tidak mempunyai visi yang sama dalam mengemudi dan mencorakkan pelajar akan berakhir dengan permasalahan besar.

Lebih menyakitkan lagi apabila semua warga sekolah tidak menyetujui apa yang GBK lakukan. Tuduhan-tuduhan seperti GBK tak buat kerja, duduk dalam bilik sahaja, bersembang saja dengan pelajar, memberi muka sangat dengan pelajar dan yang lebih teruk GBK makan gaji buta!!! Wahai warga GBK semua... bangunlah lakukanlah sesuatu yang berbeza. Bertukarlah cara kerja kita. Tunjukkan kepada semua bahawa GBK mampu memberi impak yang besar dalam menyelesaikan permasalahan disiplin dan akademik sekolah. Jadikanlah situasi di mana jika tiada GBK di sekolah maka pihak pentadbir akan gelisah bukannya ada atau tiadanya GBK tidak member makna pada mereka.

Alangkah bagusnya jika guru disiplin pun membuat bimbingan dengan pelajar bermasalah. Alangkah bagusnya jika program kita ramai guru yang mengikut dan mengambil bahagian sama dalam menjalankan pengisian program. Alangkah baiknya ramai guru yang memantau pelajar yang telah melalui program dengan kita. Alangkah bagusnya sekiranya guru matematik mampu membuat kemahiran belajar. Alangkah baiknya jika guru disiplin boleh jalankan kursus kepada pelajar kita. Alangkah seronoknya jika kita ada team kerja yang kuat dan semuanya kita lakukan bersama. Alangkah baiknya jika apa yang kita lakukan difahami dan di sokong oleh rakan rakan kita di sekolah. BERDASARKAN KEPADA PENGALAMAN yang telah saya sendiri lalui PRODIGY mampu merubah suasana kerja seorang GBK. Buat masa terdekat saya akan membuat kursus PRODIGY kepada peserta kursus yang terdiri daripada GBK, guru disiplin, guru-guru, pelajar dan ibubapa serentak. Hasilnya??? Ini yang saya sangat-sangat nantikan. Kita sama-sama nantikan apabila ianya telah dijalankan kelak. Saya kan laporkan dari masa ke semasa. Apa yang pasti saya nak buktikan kerja akan menjadi lebih baik selepas semua personel yang disebutkan di atas melalui bersama modul ini... Saya yakin!


23 April 2010, Jumaat
Assalamualaikum salam muhibah.. mohon maaf terlalu lama blog ini terbiar... terlalu banyak yang hendak diuruskan... terlalu banyak blog, fb, produk dll... apapun saya cuba untuk aktifkan kembali terutama kisah penglaman menjadi guru bimbingan dan kaunseling sekolah. Sebelum itu kalau anda melihat video kursus yang saya jalankan untuk pelajar SMK Sultan Ismail Kemaman di bawah ini kursus tersebut dijalankan pada tahun lepas untuk pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM. Kumpulan pelajar dibawa untuk menjadikan mereka straight As. Alhamdulilah 8 orang daripada mereka mendapat Straights As, 7 orang mendapat 7A dan 1B. Cemerlang bukan? Sebelum ini tiada straight As dan tahun sebelumnya hanya 2 orang straight As... itulah fakta... Maka perjuangan mesti diteruskan...


ikan duyung yang dihantar sila lihat sendiri


inilah video ikan duyung yang dihantar oleh Pak Lah yang diambil sendiri oleh kawannya yang ketika itu sedang memancing.... apa kaitannya dengan kaunseling ya??? hmmm... fikirkan sendiri...

Ismailians... a true shaker...

Baru-baru ini saya mengendalikan kursus untuk pelajar `five star' yang dijangkakan untuk mendapat straight A's... kenangan yang indah bersama mereka... anak-anak yang bijak... untung ibu bapa mereka mendapat anak yang macam ni... di tempat yang indah juga... tepi laut yang sangat cantik... rasanya nak bawa pelajar upsi ke sana tapi apakan daya... terlalu jauh... kepada anak-anak Ismailians, video di bawah mengimbau kenangan bersama kalian... saya doakan dari jauh moga anda berjaya dalam apa yang anda lakukan... go shaker go... uilove...


Saturday, February 28, 2009

Kenangan Retro




    Bersama ini diperlihatkan aktiviti saya semasa zaman muda-muda dulu... Gambar ini di ambil daripada http://zuraidaharahman.blogspot.com... rupanya prof madya hajah Zuraidah masih simpan gambar saya yang ermm ni... di  atas, gambar Prof Madya Hajah sedang bergambar dengan poster yang saya lukis untuk IAB dan di bawah  pula Pengarah IAB sedang merasmikan poster tersebut...
Gambar-gambar  ini semasa dalam kelas semasa saya sendang berkursus di IAB Genting Highlands selama 3 bulan semuanya tentang Pembimbing Rakan Sebaya yang dikendallikan oleh mama PRS iaitu Prof Madya Hajah Zuraidah Abd Rahman.  Layanlah gambar-gambar yang ada... Erm.. amacam??? masih samakah aku???


Saturday, January 3, 2009

Hobi Baru Saya...


Sejak 3 bulan yang lalu... tiba-tiba sahaja perubahan berlaku pada diri saya... Lebih tenang dengan suasana begini. Agaknya faktor umur membawa kepada perubahan itu. Saya langsung tak pernah nak minat dengan aktiviti ini dulu. Tapi entahlah dengan kuasa Allah telah merubah segalanya. Aktiviti ini dilakukan di sebelah rumah saya. Inilah akibat berbakti dengan tanah. Tak sangka kan? Dulu-dulu saya tanam apa bendapun susah nak hidup hehe... Tengokla tu... sawi, kangkong, kacang botol, rozalle, pisang, kedondong, cherry, bayam, kacang bende, petola... dan banyak lagi...

Tuesday, September 23, 2008

Selamat Hari Raya

29 September 2008, 5.30 pagi
Sambungan Hikayat Ranjau Berduri.
Ok, mulai sekarang saya akan menyambung penceritaan dari segi pengalaman yang pernah saya alami semenjak menjadi kaunselor pelajar sejak tahun 1991. Saya akan menulis apa sahaja isu dan saya akan upload post yang baru dan ianya akan dapat anda baca pada kedudukan paling atas dalam blog ini. Ini agak berbeza dari dulu di mana anda terpaksa scroll ke bawah untuk mengikuti penceritaan dari sambungan cerita terdahulu. Untuk hari ini saya akan menulis tentang kes seorang pelajar yang agak pelik untuk dikongsi bersama. Daripada lima sekolah yang saya pernah mengajar, saya tidak akan menyebut nama sekolah tersebut untuk kes-kes tertentu. Untuk memulakannya saya tertarik untuk berkongsi dengan anda tentang kes di bawah. Selamat membaca...
Seorang pelajar bernama Maimon (bukan nama sebenar) mempunyai latarbelakang keluarga yang agak jarang berlaku dalam kalangan pelajar lain. Ibubapanya adalah dalam lindungan polis. Kisahnya bermula apabila keluarga ini merapati seorang wanita yang ingin dibantu mereka. Tidak diketahui latarbelakang wanita ini akhirnya suami wanita ini yang mencari semula isterinya itu menjangkkan keluarganya menyorokkan isterinya. Maka semenjak itulah lelaki ini mengekori dan mengancam keluarganya. Mereka tinggal dalam ketakutan dan sentiasa berwaspada dalam urusan mereka seharian. Oleh kerana trauma berpindah randah pelajar ini akhirnya dirujuk ke psikiatri semenjak tingkatan 2 lagi. Bila pelajar ini memasuki sekolah kami, kami memang merasai perangainya agak pelik. Bahasanya agak kasar bila berinteraksi dengan guru. Contohnya apabila guru menegur kata-katanya adalah seperti, `orang tahu la apa patut orang buat. Cikgu jangan sibuk sangat hal saya.’ Ramai guru yang tidak menyukai pelajar ini kerana bahasa dan tingkahlakunya yang kurang menghormati guru. Apabila kami mengetahui latarbelakangnya dan pernah dirujuk psikiatri, maka kami mendekatinya dengan lebih kerap lagi. Kalau diikutkan hati memang rasanya tidak mahu layan pelajar macam ni. Seorang pelajar yang overweight dan bermulut laser. Tak pandai berbahasa. Lurus bila bercakap. Tidak peka terhadap perasaan orang lain dan sebagainya. Kami memasukkan dia dalam pasukan trainers. Dia menjadi rapat dengan kami. Dia memanggil cikgu disiplin papa dan saya daddy. Bapanya seorang pegawai pertanian dan ibunya berlakon drama tv. Pendekkan cerita pada suatu hari kakinya luka dan guru disiplin membantu untuk membalut kakinya. Seorang guru wanita terserempak lalu jadi isu. Bukan pegangpun Cuma membantu menyediakan bahan dan menghulurkan bandage dan sebagainya. Timbullah cerita yang bermacam macam. Ramai cikgu mengharapkan pelajar ini ditukarkan ke sekolah lain. Banyak isu lain, tidak mengapalah. Saya akan fokus cerita yang lebih menarik. Ibunya melahirkan anak kembar. Dia sangat suka hati. Apabila habis pantang, dia membawa dua adik kembarnya ke bilik kaunseling dan menunjukkan kepada kami dengan bangganya. Kami terperanjat. Ibunya dalam kereta, tak keluar. Apabila adiknya berumur 5 bulan tak silap saya ayahnya diserang denggi berdarah. Kami melawat di hospital. Cikgu lain seperti biasa tidak ambil tahu langsung. Pelajar ini semakin bermasalah dan tertekan. Keadaannya teruk dan akhirnya bapanya meninggal dunia. Ibunya menangis dan tidak terdaya. Tidak masak, tidak kerja, tidak pandai mengurus rumah sejak kematian bapanya. Dia mengadu kepada kami dan hendak berhenti sekolah kami menghalang. Pada suatu hari apabila kami baru sampai rumah dari sekolah (hampir maghrib), guru disiplin mendapat telefon mengatakan pelajar ini dan keluarganya dah beberapa hari tidak makan nasi kerana beras sudah habis. Adik kembarnya pula tidak minum susu sudah seminggu. Hanya minum air teh kosong sahaja. Guru disiplin suruh isterinya mendengar kelohan pelajar ini. Akhirnya dia bercadang untuk melawat. Dia ingin mengambil saya tetapi kesiankan saya yang baru sampai rumah. Akhirnya dia dan isterinya pergi ke kedai beli barang-barang keperluan yang patut dan menghantar ke rumah pelajar ini. Dia membelanjakan hampir RM200 untuk membeli segala bahan keperluan. Sesampai di rumah pelajar ini didapati emaknya sentiasa menangis dan dalam keadaan `helplessness’. Dia tidak tahu nak buat apa-apa. Ibunya beritahu guru disiplin dan isterinya bahawa dalam friedge ada juice limau yang menjadi kegemaran arwah suaminya. Tiap kali dia buka friedge dia akan pengsan apabila melihat juice tersebut. Dia merungut kepada anak-anaknya yang tidak mampu untuk menghabiskan juice tersebut. Baginya selagi juice tersebut ada dalam friedge selagi itulah kenangannya terhadap arwah begitu kuat. Keadaan dalam rumahpun tidak teratur sejak kematian suaminya.
Di sekolah kami memujuk pelajar ini untuk menghabiskan juice tersebut dia mengatakan semua adikberadiknya tak suka kerana terlalu masam. Kami bagi jalan kepadanya untuk dihabiskan juga minggu itu. Akhirnya berjaya juga. Kami mendorong pelajar itu supaya dia kuat kerana ibunya sangat lemah. Dia sayangkan adik kembarnya maka subjek adik kembar kami jadikannya motivasi. Percaya atau tidak pada suatu hari dia bertanya kepada kami di mana nak beli ikan? Pelajar yang terlalu bergantung dan segalanya arwah bapanya yang lakukan hinggakan untuk membeli keperluan diripun tidak dapat dilakukannya. Kami sentiasa memberi galakan agar perasaan untuk berhenti sekolah dapat dilupakan. Pada masa dia mengambil peperiksaan kami mengambil dan menunggu hingga petang dan menghantarnya pulang ke rumah hinggalah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Perkara ini juga menjadi bahan bualan setengah guru… hinggakan ada ungkapan si Aziz dan Rahim tu nak kawin dengan budak itu ke?.. Tuan tuan bayangkan… pelajar yang overweight begitupun jadi isu… adakah kami nak ceritakan apa yang kami lakukan kepada pelajar itu? Adakah kami nak ceritakan yang kami belikan makanan untuk keluarganya? Adakah kami nak menuntut duit minyak kerana khidmat kami mengambil dan menghantar pelajar itu ke rumah setiap kali habis peperiksaan? Biarlah, akhirnya pelajar ini mendapat pangkat kedua dan meneruskan pengajian ke ITM (UITM). Sekarang dia menjadi seorang guru. Daripada pelajar yang memang bermasalah dan hendak berhenti sekolah hinggakan kami dapat membantu sehingga dia berjaya dalam pelajaran tidak seorangpun mengucapkan terima kasih malahan fitnah yang kami dapat. Wallahualam.
26 September 2008
Saya dah lama sangat nak buat blog seperti orang lain... menceritakan hal-hal yang dilakukan seharian. Menunjukkan tempat-tempat yang dilawati mengikut kesesuaian dan dalam bentuk semasa... Memandangkan blog saya lebih kepada produk maka ianya agak terbatas dn tidak terlalu bebas. Ermm.. untuk itu saya cuba membuat apa yang saya hendak lakukan di dalam blog ini. Di bawah ni gambar anak saya yang bongsu. Namanya Wawa. Diapun cuba untuk menjadi seperti abang-abang dia. Dia cuba melukis kartun seperti yang disertakan di bawah ini. Apa yang menjadi tandatanya ialah apakah yang ada dalam fikirannya tentang hari raya dan pengumuman hari raya. Kadang-kala tidak terjangkau pemikiran yang mereka fikirkan...

Ini la buah hati saya Wawa

Ini adalah gambar yang dilukis oleh imiginasi Noor Ashiqa Zahwa...(wawa) Bayangkan apa yang ada dalam pemikiran anak saya itu tentang raya... hmm wawa... wawa...

Friday, May 30, 2008

Pembuka Bicara

APA KATA SAMBIL BACA ANDA KLIK LAGU REMAJA DI BAWAH...
Assalamualaikum dan salam muhibbah. Terima kasih kerana sudi masuk ke blog saya yang tidak seberapa ini. Maaf kerana banyak kelemahan dan kurang arif dalam mengendalikan blog ini. Untuk pengetahuan anda, saya membina blog yang pertama dalam masa dua hari sahaja dengan cara cubajaya. Hanya berbekalkan kepada azam dan keinginan yang tinggi saya bertekad untuk menghasilkannya. Terima kasih kepada pelajar dan rakan yang membantu semasa saya menghadapi kebuntuan. Ada cadangan untuk mewujudkan blog ini dalam Bahasa Inggeris. Memang ada niat tersebut kerana saya fikirkan memang sangat perlu. Tetapi biarlah saya mendekati rakan seperjuangan saya di sini dahulu. Maaf juga jika banyak kedapatan salah ejaan dan silap bahasa. Bahasa saya sebenarnya kurang baik dan apa yang saya lakukan ialah melontarkan apa yang ada dalam fikiran saya dalam bentuk penulisan. Harap tuan puan apabila membaca penulisan saya tidak terlalu menilai dari segi bahasa. Kepada rakan-rakan dan bekas pelajar saya, diharap selalu kunjungi blog ini untuk mendapatkan sesuatu yang boleh membantu dalam mengendalikan pengurusan Bimbingan dan Kaunseling. Kepada guru-guru saya di UPM dan UKM terima kasih kerana `melahirkan' saya. Banyak yang hendak dikatakan namun untuk buka bicara saya berhenti setakat ini dulu. Sekian terima kasih.

Ingat Lagi Senaman Koperat???

Penggambaran semasa Extrovert4, peserta seramai 250 orang di Hay Resort. Ada mencadangkan untuk upload senamrobik kreatif saya minta maaf kerana terlalu panjang... apapun cuba applikasikan senaman koperat kepada ahli PRS anda. Bye tq...

Wednesday, May 21, 2008

Soalan Lazim (FAQ)

1 Jun 2008
SEJAK MULA MENGGUNAKAN MODUL INI?
Sejak tahun 1985 dan ianya terus berkembang hingga dapat menghasilkan modul sendiri seperti Agape Love, Subconscious, Kemahiran Belajar 5 Domain, PAC (adaptasi dari teori ), Creative Thinking, Inteam dan beberapa yang lain.
BAGAIMANA MODUL DIBENTUK?
Daripada pengalaman yang panjang dan cubajaya serta pengubahsuaian. Setelah beberapa kali dilakukan dan dilihat hasilnya hampir sama. Kini ianya sedang diuji keberkesanannya dengan membuat kajian secara ilmiah.
ADAKAH SEMUA MODUL INI CIPTAAN SENDIRI?
Tidak. Setengahnya adalah modul yang kita sendiri tidak tahu siapa yang menciptanya. Ianya adalah hak masyarakat dan umum. Tetapi saya telah gabungjalinkan modul-modul ini hinggakan perjalanan kursus menjadi cantik dan teratur.
BAGAIMANA TERCETUS ILHAM INI?
Suatu masa saya telah dilanda `kesukaran' dan saya rasakan perlu modul ini dipindahmilikkan kepada seseorang sebelum sesuatu berlaku atau ianya akan berkubur begitu sahaja. Setelah usaha saya `memindahmilikkan' kepada seseorang ada rakan pensyarah menyarankan ianya dijadikan produk. Saya mengambil cadangannya dengan memasuki pertandingan inovasi di universiti. Di situlah bermula segalanya.
BERAPAKAH MODAL KESELURUHAN UNTUK MENGHASILKAN MODUL INI?
Sebenarnya semasa modul ini dipilih untuk memasuki pertandingan di Geneva ianya telah siap sepenuhnya tanpa mendapat mana-mana geran penyelidikan. Saya telah menyiapkan dengan modal sendiri. Berapa? Tidak terkira, ini termasuklah sekiranya dikira tentang penulisan modul, dokumentasi, carta-carta, buletin, video dan mp3 editing, rakaman video, pengendalian kursus dan sebagainya adalah semuanya dilakukan sendiri. Akhirnya pihak universiti mebantu mewujudkan bantuan dana bagi menaiktaraf produk ini. Produk ini terhasil dan dikembangkan dengan dana yang didapati dari penjualan modul-modul yang berbentuk cd dan perkhidmatan pengedalian kursus.
BERAPA LAMAKAH LATIHAN YANG DIPERLUKAN?
Untuk mendapatkan latihan lengkap seseorang itu perlu mengikuti dan melalui sendiri pengalaman kursus selama 3 hari 2 malam. Untuk memantapkan latihan peserta perlu melalui latihan t.o.t selama 3 hari 2 malam lagi. Adalah lebih berkesan sekiranya pemantauan berterusan dilakukan untuk menentukan peserta benar-benar mantap.
APAKAH ELEMEN YANG DITERAPKAN DALAM MODUL INI?
Elemen Kognitif, Afektif, Psikomotor, Audio dan Visual. Kelima-lima elemen ini akan menggerakkan satu elemen yang akan mencetuskan pengalaman `aha'. Kesemuanya akan diajar termasuklah bagaimana hendak menghasilkan video clip dan mp3 bagi menyokong memberi impak yang besar dalam kursus. Lagu tema keluarga, ibubapa, sahabat, tanggungjawab, negara, dunia, keagamaan dan apa saja yang kita ingini boleh dihasilkan dengan mudah. Peserta kursus akan dapat merasai kesemua elemen ini melihat, mendengar, merasai, pengalamian, menjiwai serta pentakulan tentang sesuatu isu.
ADAKAH ANDA TELAH BERPUASHATI DENGAN LATIHAN YANG DILAKUKAN?
Tidak. Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Latihan yang diberikan kepada pelajar mencakupi 70% secara maksima. Itupun sekiranya pelajar mengikuti 6 hari 5 malam latihan secara marathon.
APAKAH IMPIAN ANDA?
Saya impikan peranan kaunselor disanjungi dan dikagumi oleh semua orang. Mungkin mustahil tetapi tidak salah kalau kita menuju kearah itu. Impian untuk melihat kaunselor melakukan sendiri pengendalian program tanpa menggunakan konsultan luar. Ini adalah kerana pelajar yang menjalani kursus adalah pelajar kita sendiri dan ia amat mudah untuk membuat kerja-kerja follow up sekiranya kita sendiri yang lakukan program tersebut.
MODUL INI UNTUK SIAPA?
Sesiapa sahaja boleh memilikinya. Tidak semestinya kaunselor pelajar. Trainers yang memberi latihan kemanusiaan kepada masyarakat juga boleh memilikinya. Malahan guru matapelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeri, Matematik, Sains juga sekiranya memiliki modul ini akan menjadikan mereka lebih kreatif dalam menjalankan program subjek mereka. Mereka akan mendapati pelajar akan lebih berminat sekiranya mereka mempunyi skill ini.
APA ISTIMEWANYA MODUL INI?
Setelah saya menggunakannya berkali-kali saya dapati gabungan modul yang ada dapat memberi impak yang besar terhadap banyak tema dan sasaran yang berbeza. Contohnya ia amat sesuai untuk parenting, team building, kepemimpinan, pelajar bermasalah, prs, theraputic community, guru penyayang, JKKK, motivasi, pelajar sederhana, pelajar cemerlang dan banyak lagi. Sudah pasti ada rahsia tertentu untuk mencapainya yang perlu dipelajari. Kesemuanya ini sedang dalam kajian yang berterusan.
PENGLIBATAN DALAM RESEARCH?
1. Kajian Keberkesanan Kos Bimbingan dan Kaunseling.
2. Kajian Keberkesanan Kemahiran Belajar 5 Domain.
3. Kajian Fenomena Tingkah Laku Langsang di Kalangan Remaja Sekolah:
Langkah Pencegahan dan Rawatan.
4. Model Praktikum Kaunseling di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan di
Universiti Semarang. Satu Kajian Perbandingan Berdasarkan Konsepsi dan Pelaksanaan.
5. Membangunkan Produk Pusaka 01 dan kajian-kajian tentang modul ini sedang dan akan
dilakukan.
REKOD PENCAPAIAN?
... akan disambung...

Apakah Kesan Pusaka01 Kepada Peserta Kursus?

Peserta kursus adalah terdiri daripada pelajar DPLI yang datang daripada latarbelakang yang berbeza. Mereka telah mengikuti kursus DPLI Kaunseling selama dua semester sebelum ditempatkan di sekolah sebagai pembantu kaunselor. Ada di antara mereka pernah menjadi konsultant, jurulatih PLKN dan juga sebagai pegawai Human Resorce di syarikat swasta. Dengar sendiri apa pandangan mereka terhadap kesan daripada kursus ini. Klik video di bawah. Yang pasti sesiapa yang membawa modul ini akan mendapat komen yang serupa. Bukan kerana saya yang mengendalikannya. Cubalah.

video di bawah adalah hasil kursus yang dijalankan oleh Siti Mariani di Sarawak. Beliau mengendalikan kursus ini seorang diri 3 hari 2 malam dengan menggunakan modul Pusaka01. Sasaran pelajar adalah kategori pelajar `high risked'. Dengar apa kata mereka...

video di bawah adalah janji pelajar kaunseling yang menjalani kursus tot (melatih jurulatih dengan modul Pusaka01). Mereka telah mengikuti kursus Fasa 1 dan ini adalah kursus Fasa 2 dalam berbentuk tot. Kursus ini adalah tot yang pertama. Gambaran di bawah ialah pelajar berjanji untuk menjadi kaunselor yang berkesan dan membantu pelajar serta menjaga amanah pusaka01 dan minta halal ilmu. Semangat mereka begitu berkobar-kobar. Saya percaya mereka menjadi kaunselor yang baik sekarang.

Kongsi Pengalaman

Semasa membuat research di Bandong Indonesia, saya ada melawat sekolah di sana untuk melihat sendiri bilik kaunseling. Dalam pemikiran saya bagaimanakah rupanya bilik kaunseling di sana agaknya. Klik video di bawah untuk melihat suasana dan setting bilik mereka. Maaf penggambaran diambil melalu digital camera.

Video di bawah juga dalam bilik kaunseling di sekolah yang lain. Ada terdapat dua meja di mana satu daripadanya adalah milik guru kokurikulum. Saksikan.

Video berikutnya pula adalah gambaran perjalanan di dalam kampus Universiti Pendidikan Indonesia, Bandong. Mungkin sekarang sudah bertambah baik diharapkan. Sila layarinya. Diharap ketiga-tiga video di atas mampu membuatkan kita rasa bersyukur...

Video di bawah pula pandangan dari hotel saya sewaktu hendak masuk waktu maghrib. Syahdunya... suara orang mengaji berselang seli dari satu surau ke satu surau yang lain. Begitu juga apabila mereka melaungkan azan. Saya kira ada lebih 15 surau berdekatan hotel saya... sayu sayu...

video di bawah masa azan subuh... huhuhu dengarkanlah...

video di bawah pula semasa terbit fajar di Bandong... macam panggilan pulau ...

Wednesday, May 14, 2008

Kenapa Saya Tukar Arah Dalam Bidang Ini?

Saya amat mengkagumi dengan sahabat yang masih berada dan terus berjuang di sekolah sebagai kaunselor pelajar. Memang telah banyak kajian yang telah dilakukan dan memang menepati jangkaan terhadap dapatan yang mengandaikan bahawa ramai dalam kalangan kaunselor pelajar yang menghadapi tekanan dan burnt out. Saya mengakui bahawa saya suatu ketika dulupun menghadapi suasana yang serupa. Seronok bekerja tetapi ada masalah sampingan yang tidak dapat dijangkakan ada di hadapan kita. Kepada sahabat yang masih seronok bekerja dan mendapat pengetua yang mudah memahami saya andaikan mereka bernasib baik. Teruskan perjuangan dan diharap keadaan sebegitu kekal. Memang sukar untuk mendapat suasana yang ideal di mana pengetua, GPK2, ketua panitia, guru-guru dan pelajar memberi erti dalam kehidupan kita sebagai kaunselor pelajar yang bermakna. Memang sangat subjektif untuk dibahaskan. Kepada sesiapa yang pernah merasainya mereka tahu tetapi yang tidak merasainya mereka sangat bertuah. Selama 13 tahun saya menjadi kaunselor pelajar saya rasa sudah mencukupi dan eloklah beralih angin ke tempat dan bidang yang agak berbeza. Semasa menjadi seorang penolong pengarah di Jabatan Perdana Menteri dulu saya kurang merasa puas. Mungkin naluri sentiasa inginkan melihat perubahan pada orang yang dididik. Maka kerja sebagai seorang yang hanya terlibat dalam pengurusan agak membosankan. Benar kata orang selalu berjumpa dengan Datuk dan Tan Sri tetapi jauh di sudut hati ingin mendampingi orang yang kerdil dan mengasuh mereka menjadi orang yang hebat disuatu hari nanti. Orang yang boleh membangun dan membangkitkan mereka yang terlena. Membantu dan sentiasa memberi dorongan dan mengajar mereka untuk memberi kegembiraan kepada orang yang sedang berduka. Mengingatkan kepada mereka bahawa orang yang pada pandangan orang lain tidak berguna mungkin suatu hari nanti akan menjadi wali atau ahli sufi dan orang yang merubah mereka itu adalah orang yang kita didik.
Sememangnya sekarang ini rasa puas melihat orang yang kita didik bertaburan di bumi Allah dalam melakukan perkara yang sangat mulia. Selalu juga kita ajar mereka untuk sentiasa beringat bahawa apa yang dilakukan ini adalah satu kerja fisabillillah dan jangan mengharapkan balasan atau pujian. Setiap kaunselor pelajar harus jika mampu berada pada peringkat tertinggi dalam Hierarki Maslow iaitu di peringkat Self Actualization iaitu orang yang tidak perlukan atau tidak mengharapkan 4 keperluan di bawahnya. Itu sukar dilakukan kerana kita ini manusia biasa namun sifat manusia yang baik sentiasa mengarahkan diri mereka ke arah kesempurnaan kendiri. Kalau seorang pelajar yang ingin membunuh diri tetapi membatalkan niat kerana berjumpa dengan seorang kaunselor tiada siapa akan mengucapkan terima kasih tetapi kalau seorang itu melakukannya, maka ramai orang akan kata, kita kan ada kaunselor??? `apa kaunselor buat???' Wallahualam.

PENULISAN BUKU Hikayat Ranjau Berduri...(Hehe.. tolong saya cari tajuk yang lebih sesuai???)

PETIKAN DARI BUKU...
...Begitulah lumrah kehidupan di sekolah, kadang kala bila difikirkan lebih baik tak buat apa-apa. Kalau buat sesuatu maka orang tertunggu-tunggu akan kegagalan dan mereka akan bersorak melihat kegagalan kita. Selamatlah kepada guru-guru yang hanya datang ke sekolah dan balik bila loceng tamat sekolah dibunyikan. Senang dan mudahnya menjadi guru. Tetapi saya bukannya nak jadi guru, tetapi pendidik, pemulih, pendorong, pembuka jalan, pendakwah, pemberi kegembiraan, penyerap kekecewaan dan kesedihan dan penyumbang kasih sayang di mana-mana saya berada. Saya bertekat untuk membawa kegembiraan dan harapan kepada sesiapa di sekeliling saya di sekolah. Satu kerja yang amat menyakitkan...


1 jUN 2008
PENGALAMAN 13 TAHUN KAUNSELOR PELAJAR
Pengenalan

Saya pernah menjadi seorang kaunselor di sekolah sejak bergraduat dari Universiti Putra Malaysia (Universiti Pertanian Malaysia ketika itu) pada tahun 1991. Mendaftar di sebuah sekolah menengah Teknik pada 1 hb. Mei 1991. Sekolah tersebut terletak 17 km. daripada bandar yang terletak di sebuah negeri di Pahang Darul Makmur. Pada ketika itu jawatan kaunselor amatlah asing bagi sekolah seperti itu. Saya mendapat banyak dugaan dan cabaran apabila bekerja di sini. Perkara ini akan saya ceritakan di bab yang akan datang. Sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia, saya adalah seorang guru Bahasa Inggeris dan Lukisan di sebuah sekolah di Selangor. Saya telah berkhidmat di sana semenjak tahun 1982 hingga 1986 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia. Saya seorang yang amat tegas dan garang di awal pembabitan saya sebagai guru. Sekolah yang saya ditempatkan itu adalah sebuah sekolah lelaki dan salah sebuah sekolah yang bermasalah di Selangor. Saya pernah menjadi warden asrama pada tahun 1983 hingga 1986. Pendekatan yang telah saya ambil adalah tegas dan berwatakan garang. Saya telah berjinak-jinak dengan Bimbingan dan Kaunseling sejak tahun 1985. Sejak itu, saya rasa satu kelainan dalam membentuk pelajar. Minat saya meningkat dari semasa ke semasa. Saya telah tidak melepaskan peluang apabila mendapat kesempatan untuk mengikuti apa-apa kursus tentang kaunseling. Sehinggalah kemuncak kepada minat saya ialah dengan melanjutkan pelajaran saya ke Universiti Putra Malaysia pada tahun 1986.

Pengalaman bekerja sebagai guru sebelum menjadi kaunselor adalah satu pengalaman yang penuh dengan cuba jaya. Saya mencuba berbagai cara untuk mendisiplinkan pelajar terutamanya di asrama. Saya selalu percaya bahawa dengan kekerasan boleh membentuk disiplin pelajar. Permasalahan pelajar seperti bergaduh, lari dari asrama, merokok, tidak membuat kerja rumah, ponteng sekolah dan sebagainya telah ditangani dengan tiada halatuju yang jelas. Apa yang saya dapat lakukan ialah dengan merujuk kepada guru disiplin saya semasa di sekolah dulu. Namun begitu, walaupun pada mata kasar masalah selesai, tetapi ianya cuma hanya di depan mata. Di belakang saya, pelajar melakukan berbagai perkara yang saya tidak tahu hingga boleh membahayakan nyawa pelajar.

Antara permasalah disiplin yang pernah saya tangani ialah masalah rokok, lari dari asrama, berkhalwat, bergaduh, cubaan bunuh diri, bersekedudukan dengan bukan muhrim, ponteng kelas dan masalah-masalah yang boleh dikatakan biasa dilakukan di sekolah-sekolah lain.

Peribadi Sebelum Mengenal Kaunseling Dan Persepsi Awal Terhadap Manusia

Saya suka apabila pelajar merasai bahawa saya seorang yang tegas dan guru yang ditakuti. Saya rasa puas apabila pelajar tidak berani melakukan sesuatu apabila mendengar nama saya. Itulah persepsi awal saya terhadap bidang perguruan yang saya ceburi. Saya bangga apabila nama saya disebut oleh pelajar dan mereka terus menjadi seorang yang berdisiplin dalam jangkawaktu yang singkat. Pelik bukan?

Saya suka mengawal pelajar dengan tegas. Saya tiada masalah apabila berdepan dengan pelajar. Kebanyakan mereka akan menjaga diri mereka dengan baik dan mengikut kehendak saya apabila berdepan dengan saya. Apabila saya mengajar pelajar akan senyap dan mengikut kata. Tiada siapa pun yang akan berani untuk tidak bersetuju dengan saya.

Pernah sekali saya telah mengurung pelajar di bawah tangga dengan mengunci pintu stor dan membiarkan pelajar tersebut buat beberapa lama seorang diri. Saya harap pelajar itu akan insaf dengan kesalahan yang dilakukan. Saya kurang ingat apakah kesalahannya tetapi saya kira kesalahan yang dilakukannya adalah sangat kecil. Saya masih terdengar-terdengar pelajar itu merayu kepada saya supaya dia dikeluarkan daripada kurungan tersebut.

Ketika di sekolah tersebut saya adalah seorang jurulatih bolasepak dan ahli jawatankuasa ragbi sekolah dan negeri. Dalam membimbing pelajar menjadi pemain yang berdisiplin saya telah dapat melakukannya sehingga pasukan bolasepak saya menjadi johan diperingkat daerah dan naib johan diperingkat negeri. Antara pemain yang saya latih itu kini ada yang menjadi pemain regular negeri Selangor dan dalam pasukan kebangsaan. Nama-nama seperti Sanbakumaran, arwah Zaid Jamil yang pernah mewakili pasukan kebangsaan satu ketika dulu adalah pernah menjadi anak didik saya. Begitu juga dengan jaguh basikal kebangsaan seperti Nor Effendi Rosli dan Shahrul Niza yang banyak mengharumkan nama negara. Kalau begitu, apakah masalah dengan pendekatan yang saya lakukan selama ini? Inilah persoalan yang ingin saya mengajak pembaca telitikan. Apakah perbezaan yang ketara antara pendekatan dahulu dan pendekatan yang saya lakukan setelah mengenal dunia kaunseling?

Antara insiden yang masih tak dapat saya lupakan ialah apabila saya dapat merasai sesuatu perkara berlaku di tingkat 3 asrama. Hati kecil saya dapat merasai sesuatu berlaku di atas sana. Ketika itu saya seorang ketua warden. Saya meniti anak tangga dengan perlahan-lahan supaya pelajar tidak menghidunya. Saya terus ke tingkat 3 dan saya dapati beberapa orang pelajar sedang menghisap rokok beramai-ramai. Antara pelajar yang terlibat adalah pelajar yang menjadi harapan dan kesayangan saya ketika itu. Saya tidak dapat menahan perasaan yang begitu hampa. Rotan di tangan saya lalu dihayunkan seperti menebas lalang. Saya terlalu kecewa hinggakan tidak sedar saya telah merotan pelajar tersebut dan seorang daripada mereka telah saya rotan di pipinya. Saya memarahi mereka tanpa seorangpun antara mereka bersuara atau mempertahankan diri. Setelah saya turun ke bilik warden saya duduk dan bila mengenang semula apa yang berlaku, saya tidak dapat menahan perasaan saya. Tanpa saya sedari saya telah menangis semahu-mahunya kerana ada di antara mereka itu adalah orang yang saya meletakkan harapan yang tinggi untuk berjaya. Agak begitu lama ianya berkesan di dalam jiwa saya hinggakan peristiwa itu menjadi bualan di kalangan pelajar. Pada persepsi saya dahulu apabila seorang pelajar melakukan kesalahan, seolah-olah mereka tidak akan berjaya di masa akan datang. Benarkah begitu? Yang pasti mereka yang terlibat pada malam itu dua orang antaranya menjadi ahli korperat yang berjaya ketika ini. Lebih berjaya daripada guru yang menghukum mereka dahulu.

Kisah seorang pelajar yang dahulunya amat nakal, dikatakan tidak berdisiplin dan selalu mengganggu pelajar lain selain. Akhirnya pelajar itu telah menjadi hero negara apabila dia telah banyak berjasa melalui aktiviti sukan basikalnya. Pernah saya ingat saya telah mendenda pelajar tersebut dengan begitu keras kerana tidak berdisiplin semasa sembahyang berjemaah. Tangan saya hinggap ke pipi pelajar tersebut. Pelajar yang sama juga akhirnya pada suatu ketika telah mendapatkan pingat pertama untuk negara dalam sukan Komenwealth yang mana negara ini menjadi tuan rumah ketika itu. Pada waktu itu saya begitu sebak dan terasa bersalah yang amat sangat. Berbagai perkara bermain dalam fikiran saya. Saya rasa saya tidak berhak untuk berbangga dengan pencapaian pelajar tersebut. Saya tidak ada menyumbang apa-apa untuk kemajuannya. Saya tak pernah ajak pelajar tersebut berbincang tentang masa depannya. Saya tidak tahu apakah potensi pelajar tersebut. Saya juga tidak tahu apakah masalahnya ketika itu. Saya tidak memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya. Saya tidak cuba membantunya keluar daripada permasalahan remajanya ketika itu. Saya tidak pernah memberi kata-kata semangat kepadanya untuk berjaya. Saya tidak pernah untuk memujuknya untuk tidak melakukan perakara yang tidak baik. Saya tidak pernah, saya tidak pernah dan berbagai perkara yang tidak pernah saya lakukan untuk menjadikan pelajar itu untuk berjaya. Banyak sungguh hutang saya kepada pelajar tersebut. Ini yang saya fikirkan dan bermain-main dalam fikiran saya ketika pingat gangsa pertama untuk Malaysia disarungkan ke leher hero tersebut. Saya rasa sangat tidak bergunanya saya ketika itu.

Peralihan Minat Terhadap Kaunseling... (akan disambung SEBELUM 10 jUN 2008)

11 Jun 2008, 6.00 ptg. Sori baru balik praktikum... bz... bz.... teruskan membaca ... tq





Pada tahun 1985 saya telah dihantar untuk berkursus di Institut Aminuddin Baki di Genting Highlands untuk guru asrama. Kursus tersebut adalah untuk melatih guru asrama dengan kemahiran-kemahiran kaunseling. Ketika itu saya dapat merasai satu kelainan dan berfikir bahawa perlunya saya mendalami ilmu itu. Mengapa tidak saya cuba dengan pendekatan baru ini? Semenjak daripada itu saya telah mengikuti banyak kursus-kursus yang berkaitan dengan kaunseling tanpa memandang ke belakang lagi. Saya telah melibatkan diri dalam bidang fasilitator dalam kursus-kursus kaunseling untuk pelajar di daerah Hulu Langat. Dari satu kursus ke satu kursus saya telah menyerap banyak ilmu-ilmu yang berguna untuk saya praktikkan kepada pelajar saya pula. Saya cuba mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut dan cuba menganjurkan kursus-kursus kaunseling kepada pelajar asrama saya pula. Saya cuba mengendalikannya sediri di asrama dengan melatih pelajar-pelajar senior untuk menjadi fasilitatornya. Ketika itu saya bergerak sendiri tanpa bantuan daripada sesiapa. Saya dengan beraninya dan penuh yakin menjalankan kursus untuk pelajar asrama. Selama 3 hari 2 malam pelajar asrama telah didedahkan dengan modul-modul yang saya dapati daripada kursus-kursus yang saya telah libatkan diri selama ini. Alhamdulillah nampak berjaya. Pelajar saya banyak menampakkan perubahan yang positif. Saya meneruskan usaha saya dengan membuat kursus-kursus di luar antaranya membawa pelajar ke Pulau Pangkor. Pihak sekolah ketika itu banyak menyokong usaha saya.

Masa terus berlalu dan pendekatan terhadap pelajar juga semakin lama semakin berubah. Saya ketika itu lebih merapati pelajar. Saya amat gembira kerana bila merapati pelajar saya rasa saya dapat banyak membantu mereka. Ketika itu saya nampak banyak potensi mereka yang perlu saya keluarkan. Tapi saya rasa saya kurang ilmu untuk melakukan kerja-kerja seperti itu. Saya amat berminat tetapi tidak tahu cara mana. Pencarian saya akhirnya membawa saya ke pencarian ilmu yang lebih tinggi di Universiti Putra Malaysia (Universiti Pertanian Malaysia ketika itu). Pada tahun 1987 saya mendaftar sebagai pelajar Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Putra Malaysia. Di situ saya mendapat ilmu-ilmu kaunseling secara formal dan mematangkan saya dalam bidang tersebut. Terima kasih kepada guru-guru saya di sana (UPM) yang banyak memperkemaskan ilmu pengetahuan dalam bidang ini.

Permulaan Perjuangan Sebagai Kaunselor

2 Mei 1991 saya mendaftarkan diri di sebuah sekolah menengah teknik di negeri Pahang. Sekolah itu terletak 17 km. daripada bandar terdekat. Pada peringkat awal saya dapati sekolah itu sebagai sekolah yang tiada masalah. Ini adalah kerana kedudukannya yang jauh dari bandar dan agak terpencil. Kedudukannya yang agak kekampungan mengiakan lagi bahawa saya rasa selamat di sekolah seperti ini. Di sekitar kawasan sekolah itu tiada apa-apa tarikan yang membolehkan pelajar mencuri keluar untuk berhibur. Selain daripada kampung, ianya juga dikelilingi oleh perkampungan orang asli. Pada pagi 2 Mei 1991 saya memasuki sekolah tersebut untuk bertemu dengan pengetua bagi tujuan pelaporan diri. Sedikit aneh apabila melihat budaya guru yang agak lain dari sekolah yang pernah saya pergi sebelum ini. Bilik guru bersebelahan dengan pejabat yang menempatkan tuan pengetua. Apabila loceng berbunyi bagaikan tiada apa-apa yang penting untuk dilakukan oleh guru-guru yang saya jumpa. Mereka seolah-olah tidak kisah tentang pelajar dan persekitarannya. Guru-guru didapati ada yang merokok di dalam bilik guru, ada yang memakai cermin mata hitam. Dalam hati saya berkata-kata betulkah ini cikgu?

Saya lalu di hadapan bilik guru dan bertanyakan kepada seorang guru yang berkaca mata hitam tentang tujuan saya pada pagi itu. Apabila guru tersebut mengetahui bahawa saya ingin berjumpa tuan pengetua untuk melaporkan diri sebagai kaunselor pelajar, dengan lantang guru tersebut bertanya semula pada saya, “ Nak berjumpa dengan pengetua b***h tu???”. Saya agak terperanjat dengan terjahan kata-katanya yang agak kurang sopan. Lalu saya mengiakan sahaja. Guru tersebut dengan angkohnya mengatakan bahawa pengetua yang ingin saya berjumpa itu ada di sebelah bilik guru. (setelah 10 tahun saya berjumpa semula dengan guru ini. Dia telah banyak berubah... jadi guru yang baik...). Saya kira apa yang diperkatakan oleh guru tersebut dapat didengar oleh pengetua. Sayapun lantas pergi ke pejabat dan mengetuk bilik pengetua. Saya dapati pada raut wajah pengetua tersebut nampak gusar dan bermasalah.

Saya telah diberi taklimat untuk beberapa ketika dari tuan pengetua. Tidak perlu saya nyatakan secara khusus. Tetapi apa yang saya lalui ketika itu adalah beberapa guru diperingkat pengurusan telah menyenaraikan satu senarai nama yang agak panjang untuk saya tidak mendekati mereka. Guru-guru yang disenarai hitamkan ini dikatakan tidak mempunyai komitmen yang tinggi terhadap sekolah. Mereka dikatakan guru bermasalah, tidak minat dengan pelajar, melawan pihak pengurusan sekolah. Kurang bertanggungjawab sebagai penjawat awam dan berbagai macam masalah lagi. Ketika itu saya rasakan bahawa sekolah ini mempunyai masalah yang besar untuk saya bekerja. Sekiranya begitu ramai dalam senarai pihak pengurusan tentang guru yang dikatakan tidak memberi komitmen yang tinggi pada pihak sekolah, maka saya sebagai kaunselor tidak akan mendapat sokongan daripada guru-guru di sekolah ini untuk meningkatkan pencapaian sekolah dan pelajarnya.

Di luar pejabat sekolah, lain pula ceritanya. Saya diberimaklumat bertali arus tentang pengurusan sekolah yang tidak adil, kejam dan tidak berkemanusiaan. Saya menjadi bingung dengan keadaan ini. Rata-rata mereka mengatakan bahawa saya datang tepat pada masanya supaya saya boleh memberi kaunseling kepada pihak pentadbir. Saya cuba berjumpa dengan seberapa banyak guru yang boleh untuk mendapatkan cerita yang lebih jelas. Pada pandangan kasar saya dapati guru-guru ini memang jenis melawan dan tidak memberi kerjasama dalam hal ehwal pengurusan sekolah. Mereka suka mencemuh, mengkritik dan menunjukkan sikap mereka yang tidak berpuas hati terhadap pengurusan sekolah. Apa saja yang dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah akan dipandang negatif. Saya tercari-cari di manakah silapnya hinggakan perkara ini berlaku. Manakala di pihak pengurusan sekolah pula mahukan saya asingkan diri dengan guru-guru bermasalah ini. Saya rasa saya tersepit di tengah-tengah. Sukar saya untuk bekerja jika keadaan ini terus berlaku.

Selepas tamat sesi persekolahan, saya cuba melawat guru-guru sekolah ini. Saya pergi ke rumah mereka dan melihat cara gaya hidup mereka. Kebanyakannya masih bujang dan tinggal di dalam rumah yang disewa bersama. Pada waktu itu saya juga belum berkahwin. Saya telah menyewa dengan seorang guru bujang yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris. Guru ini agak matang dan tidak menyebelahi mana-mana tetapi seakan-akan cenderung kepada menyebelahi pihak guru. Untuk menghilangkan kebosanan kadang-kala guru-guru ini pergi ke bandar yang terdekat untuk berurusan sesuatu. 7 km. daripada sekolah diadakan pasar malam seminggu sekali untuk kawasan tersebut. Saya tidak melepaskan peluang untuk ke sana dengan guru-guru ini untuk melihat diri mereka yang sebenar. Saya dapati kehidupan mereka adalah cukup santai. Mereka berkumpul di pasar malam sambil membantu rakan yang berniaga di pasar malam tersebut. Apabila berkumpul begitu maka akan terkeluarlah cerita-cerita tentang sekolah. Banyak perkara yang diluahkan oleh mereka. Saya Cuma mendengar dan mengambil fakta-fakta yang patut saya ambil. Saya akui, semakin lama saya menyelami masalah mereka semakin bersimpati saya terhadap mereka. Tidak adakah sesiapa yang akan membela mereka?






...akan disambung sebelum 20hb. Jun 2008. Tolong ingatkan saya untuk menyambungnya dengan sms pada saya. wassalamm..






Pada waktu yang sama kisah beberapa orang guru yang begitu lantang telah diambil tindakan ditukarkan ke sekolah yang berlainan. Ini menghangatkan lagi situasi pada ketika itu. Tumpuan guru pada ketika itu adalah ketidakpuasan kenapa tindakan sebegitu rupa diambil oleh pihak pengurusan sekolah. Berbagai cara telah dilakukan untuk memulihkan keadaan itu akhirnya guru-guru tersebut ditukarkan juga. Ini memberikan impak yang lebih kuat kepada guru yang tinggal. Mereka semakin memberontak terhadap pihak pengurusan sekolah. Ini menyukarkan lagi untuk saya mempergunakan tenaga mereka untuk projek kaunseling saya. Saya terus cuba mengambil hati mereka. Saya masih ingat ketika itu teknologi kara-ok baru di negara ini. Banyak mesin-mesin dan alat-alat kara-ok dijual pada ketika itu. Saya tahu guru-guru yang sebegitu minat menyanyi. Saya cuba membelinya walaupun pada ketika itu gaji saya diperingkat ijazah belum lagi dapat dilunaskan. Saya membelanjakan sekitar RM650.00 untuk membeli alat kara-ok tersebut. Hasilnya sungguh positif sekali. Rumah bujang saya menjadi tempat baru mereka untuk mengisi masa lapang. Ini peluang baik untuk saya memberi suntikan nilai saya kepada mereka. Dengan perlahan-lahan saya meluahkan niat saya untuk membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Ramai antara mereka mengatakan bahawa usaha saya itu akan menjadi sukar kerana tidak pernah sebelum ini kursus seperti itu dapat dijalankan di sekolah itu. Azam saya bertambah kuat untuk merealisasikan kursus motivasi tersebut kerana saya dapat rasakan bahawa usaha saya ini akan disokong oleh guru-guru yang dikatakan bermasalah ini. Bagi mereka tiada halangan dan cuba membantu. Masalah mereka hanyalah mereka tiada pengalaman untuk menjadi tenaga penyumbang untuk kursus itu.

Saya membincangkan perkara ini kepada pihak pengurusan sekolah. Mereka tiada halangan untuk perkara itu. Cuma mereka agak sangsi dengan kejujuran guru-guru yang bermasalah ini untuk menyumbang tenaga mereka. Bagi mereka adalah satu keajaiban untuk guru-guru ini melakukan kerja sukarela seperti itu. Saya meyakinkan pihak pengurusan sekolah bahawa saya sanggup membimbing mereka dengan kos yang minima yang terpaksa ditanggung oleh pihak sekolah. Akhirnya kertas kerja saya usulkan dengan bajet sejumlah RM250.00 sahaja untuk kursus yang menampung hampir 200 orang pelajar tingkatan lima. Ini adalah kerana makan minum peserta kursus ditanggung oleh pihak asrama memandangkan kebanyakan pelajar tinggal di asrama. Perbelanjaan lain perlu saya fikirkan supaya tidak melibatkan kos yang tinggi.

Mulai saat itu saya memujuk seorang demi seorang guru-guru sekolah itu untuk membantu saya. Amat memeranjatkan mereka setuju untuk membantu. Saya perlukan lebih kurang 20 orang tenaga guru untuk menjadi fasilitator kursus. Saya melatih mereka setelah tamat persekolahan. Mereka nampaknya berminat dengan modul-modul motivasi yang saya perkenalkan. Saya mengambil masa satu minggu untuk melatih mereka. Tarikh dan masa ditetapkan agar guru-guru tersebut dapat memberi fokus dan tidak ke mana-mana pada tarikh tersebut. Pelajar pun diberitahu tentang projek itu dan mereka nampaknya gembira. Setelah dua tahun mereka di sekolah itu tiada satu program atau usahapun untuk meningkatkan potensi diri mereka. Mereka nampaknya tidak sabar-sabar menunggu saat itu. Projek itu telah menjadi bualan di kalangan guru-guru sekolah itu. Banyak pandangan pro dan kontra tentang projek itu. Maklumlah projek pertama kaunselor baru sekolah itu. Ada juga pandangan sinis tentang niat baik saya itu. Bagi saya biarlah apa yang nak dikatakan oleh mereka janji saya buat sesuatu untuk pelajar. Ini adalah lebih baik daripada melihat saja masalah tanpa melakukan sesuatu.

Masih saya ingat lagi semasa saya bersarapan di kantin, datang seorang guru senior yang diketahui mempunyai hubungan yang kurang baik dengan pihak pengurusan duduk di sebelah saya. Guru tersebut lalu bertanyakan kepada saya tentang projek saya itu. “Betul ke awok nak adakan kursus motivasi pada pelajar tingkatan lima kita?” begitulah lebih kurang pertanyaannya. Lalu saya mengiakan soalannya itu. Guru tersebut nampak gelisah dan menambah lagi dengan katanya, “Awok ni, koi (dalam bahasa tempatan bermakna saya) yang berasal dari tempat ini tak tergamok nak buat kursus macam ni, inikan awok orang luar pulak nak bantu pelajar sekolah ni. Awok tau, skarang ni semua cikgu tak suka dengan apa yang berlaku di sekolah ni tau, kalau boleh biar budok-budok ni turun prestasi mereka. Jangan buat apa-apa program pada budak ni, biar jatuh pencapaian akademik mereka. Biar pihak kementerian datang dan siasat apa dah berlaku di sekolah ni. Jadi bila awok nak buat projek motivasi ni kawan rasa kecewa la...” lebih kurang katanya lagi begitu.

Saya terdiam dan tak tahu nak respon bagaimana. Tapi apa yang saya beritahu guru tersebut ialah saya kesihankan pelajar ini. Perbualan kami seterusnya saya lebih memahami guru tersebut. Dia juga amat mengasihani pelajar-pelajar ini, tetapi memandangkan sesuatu perlu berlaku di sekolah ini bagi pihak kementerian mengetahui apa yang berlaku di sekolah ini. Maka antaranya biarlah baginya kumpulan pelajar tahun ini yang akan menduduki peperiksaan SPM menjadi mangsa untuk membuka mata pihak yang lebih tinggi membuat sesuatu tindakan. Saya menarik nafas panjang bila mendengar kata-kata guru tersebut. Ia membawa maksud biarlah satu kumpulan pelajar menjadi mangsa kehancuran demi untuk menunjukkan kepada pihak luar bahawa pengurusan pihak sekolah mengabaikan kebajikan guru-guru di sekolah tersebut.
Namun akhirnya, terlaksana juga kursus yang dirancangkan. Perjalanan kursus berjalan dengan baik dan tiada gangguan apa-apa. Guru-guru yang menjadi fasilitator juga bertugas dengan baik sekali. Sepanjang 3 hari 2 malam itu kami rasakan hubungan kami bertambah rapat. Mereka amat seronok mengendalikan modul kepada pelajar-pelajar yang menjadi ahli kumpulan mereka. Kursus itu sebenarnya telah memberi kesan yang mendalam kepada pelajar dan guru-guru yang terlibat. Kami merayakan kejayaan kursus itu dengan makan di luar dan membincangkan perkara-perkara yang berlaku semasa kursus dijalankan. Kami begitu seronok dengan pengalaman pertama yang kami lalui menerusi projek pertama saya itu.






akan disambung sebelum 30.06.08 ingatkan saya ok?






Kesan Kursus Motivasi

Setelah kursus itu tamat, ramai pelajar yang kelihatan lebih mengenali fasilitator mereka. Mereka sebelum ini mempunyai hubungan yang tidak rapat. Komunikasi boleh dikatakan tidak pernah berlaku antara mereka dengan guru yang menjadi fasilitator mereka. Lebih-lebih lagi mereka dari kursus yang berlainan. Contohnya guru yang mengajar Pendinginan dan Penyamanan Udara (PPU) tidak akan pernah berkomunikasi dengan pelajar yang mengikuti kurus Perniagaan begitulah sebaliknya. Untuk pengetahuan sebanyak 7 kursus vokasional terdapat di sekolah itu. Kebanyakan pelajar yang tidak menggunakan makmal seolah-olah diharamkan daripada melalui bengkel-bengkel. Tetapi apa yang berlaku selepas itu ramai guru-guru yang mengikuti kursus itu telah didatangi oleh ahli-ahli kumpulan mereka untuk mendapat bimbingan yang berterusan. Ini menjadikan beberapa orang guru yang tidak selesa dengan perkembangan itu telah menyalahkan kursus motivasi itu. Mereka mengatakan bahawa sebab kursus itu lah yang menyebabkan pelajar berani untuk berjalan-jalan ke bengkel-bengkel yang selama ini mereka tak pernah menjejakkan kaki mereka. Saya rasa agak tertekan dengan pandangan itu. Nampaknya mereka lebih suka sekiranya pelajar langsung tidak mengenal guru di sekolah itu. Mereka Cuma dihadkan untuk mengenal guru yang mengajar mereka sahaja. Itulah kesimpulan yang saya dapat buat setakat itu. Tetapi apa yang saya nampak ianya membawa perubahan besar di mana ramai guru mengambil tahu tentang pelajar di sekolah itu walaupun mereka tidak mengajarnya. Dan yang lebih penting ramai guru yang lebih sensitif dalam memahami pelajar daripada sebelumnya.

Tekanan demi tekanan saya dapat rasakan apabila setiap kali pelajar melakukan kesilapan akan mereka kaitkan dengan kursus motivasi. Kata-kata seperti, “awak ni dah pergi kursus motivasi pun macam ni jugak?”, “semenjak awak ikut kursus motivasi awak lebih teruk lagi...” dan berbagai-bagai sumpahan dan saranah yang keluar daripada guru-guru yang negatif. Apa yang harus saya lakukan selain daripada mendiamkan diri? Memang hajat di hati hendak memberitahu di majlis-majlis seperti mesyuarat guru, tetapi saya sedar saya guru baru. Saya hanya tersenyum walaupun di hati bagaikan dihiris sembilu. Saya mengadukan perkara ini kepada guru-guru yang bersama saya semasa menjalankan kursus tersebut. Mereka memberi sokongan dengan mengatakan bahawa memang guru-guru setengahnya macam tu. Tak boleh ubah diri mereka dan mereka pula tak boleh ubah orang lain. Mereka Cuma boleh membuat bising di belakang. Itu sahaja. Mereka suruh saya banyak bersabar. Saya gembira mendengar jawapan mereka. Bagi saya ianya sebagai satu sokongan moral yang amat penting untuk diri saya. Walaubagaimanapun saya amat gembira kerana dalam tahun pertama saya di sekolah itu saya mampu melatih seramai 20 orang guru teknikal yang dikatakan amat kasar dan aggressif serta tidak mempunyai komitment yang tinggi terhadap pelajar. Andaian itu silap... sangat silap. Dalam perbincangan kami, saya usulkan satu perkara iaitu untuk mengadakan kursus peringkat negeri bagi semua sekolah-sekolah teknik dan vokasional di negeri tersebut. Mereka sekali lagi memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

Kursus seumpama itu tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jika ianya berjaya ia adalah satu-satunya projek yang mana sebuah sekolah menganjurkan pada peringkat negeri. Saya lebih bersemangat untuk menjadikannya satu realiti. Dari waktu itu saya menubuhkan Pembimbing Rakan Sebaya sekolah. Ramai yang berminat. Saya memberi latihan kepada mereka. Mereka suka dan datang setiap kali perjumpaan. Rangkaian yang saya ada ini banyak membantu saya dalam mengendalikan kes-kes disiplin. Saya akan sebutkan perkara ini di bab yang lebih khusus nanti. Saya berjumpa dengan pihak pengurusan sekolah dan sekali lagi pihak pengetua tidak ada halangan. Saya sangat gembira dan memulakan kertas kerja saya serta menerangkan kepada tuan pengetua tentang modus operandinya. Kebanyakan tenaga adalah daripada guru-guru dan pelajar sekolah sendiri. Tiada satu kepakaran luar yang dijemput. Ini adalah untuk membuktikan kepada pihak sekolah bahawa guru-guru di sekolah ini amat komited dengan kerja yang diamanahkan kepada mereka. Mesej saya amat jelas iaitu untuk memberitahu kepada pihak pentadbir bahawa guru yang dilabelkan sebagai tidak produktif silap dan saya mengharapkan selepas ini pandangan itu berubah. Selain daripada itu, mereka boleh dan mampu untuk menaikkan nama baik sekolah ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Di waktu yang sama juga saya di lantik menjadi ketua warden asrama sekolah. Lantikan ini membuatkan pelajar sangat gembira dan ternanti-nanti dengan pendekatan baru yang akan saya perkenalkan. Saya akan membincangkan dengan lebih lanjut dalam bab khas tentang asrama kemudian nanti.

26.06.o8, 7.00 am, akan disambung sebelum 10.07.08. tq.






8 Julai 08, 1.00 tgh hari...





Pada tahun kedua saya di sekolah itu, saya bertambah semangat untuk melakukan perubahan terhadap persekitaran sekolah. Saya merancang lebih banyak program untuk mengubah senario sekolah dan pelajarnya. Saya beruntung mendapat kerjasama dari guru-guru yang sentiasa dibelakang saya. Guru disiplin juga tidak membawa masalah sangat kepada saya. Ini adalah kerana saya amat jaga hubungan saya dengan guru disiplin. Walaupun pada peringkat awalnya guru tersebut melakukan perakara-perkara yang amat bercanggah dengan etika perguruan seperti menghisap rokok depan pelajar atau menghukum pelajar secara keterlaluan. Hubungan yang dibina oleh saya tanpa banyak memberi komen yang negatif terhadapnya amat membantu. Saya amat dihargai oleh guru tersebut. Ini adalah kunci kejayaan seorang kaunselor iaitu mempunyai hubungan yang baik dengan guru disiplin. Jika tidak ianya akan mengundang kesukaran kepada seorang kaunselor untuk bekerja di mana-mana sekolah sekalipun.

Kursus peringkat negeri yang dicadangkan ialah pada bulan Mei tahun 1992. Saya dan rakan rakan telah merangka kerja mulai bulan Oktober 1991 lagi. Ini membawa maksud bahawa setiap program yang kita lakukan perlulah mempunyai perancangan yang amat jauh dan panjang bagi membuat persiapan yang sungguh rapi. Semua kertas kerja, surat menyurat kepada pihak pengurusan sekolah, pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri, jabatan pendidikan teknikal, kementerian pendidikan malaysia, biro tata negara dan kepada sekolah berkenaan telah dapat kami lakukan dengan cemerlang. Segala dokumentasinya telah saya jadikan dalam bentuk buku yang amat berguna untuk dibuat rujukan. Segalanya dilakukan oleh saya dan dibantu oleh rakan-rakan guru teknikal yang pada peringkat awalnya amat kasar dan tidak sensitif. Rupa-rupanya tanggapan itu silap. Mereka amat rajin bekerja dan sentiasa bertanya tentang kerja apa yang perlu mereka lakukan lagi. Saya merasa sangat terhutang budi dengan mereka.

Seperti projek yang pertama, saya juga melatih guru-guru ini dengan modul pengendalian kursus kepemimpinan untuk 5 hari 4 malam. Tiada masalah yang saya alami dalam memberi mereka latihan kemahiran tersebut. Dalam waktu yang sama juga saya melatih pembimbing rakan sebaya saya dan biro asrama dalam membantu menjadikan kursus ini licin dan berkesan. Pelajar-pelajar yang saya kumpulkan adalah terdiri daripada pelajar baik dan pelajar yang mempunyai rekod buruk di sekolah. Yang anihnya mereka semuanya memberi kerjasama yang amat baik. Betullah kata beberapa tokoh kaunseling yang mengatakan bahawa manusia ini perlukan persekitaran yang baik untuk menjadi baik serta menerima mereka tanpa syarat. Dalam masa saya mengadap perkara yang berlaku di depan mata saya, saya semakin berkeyakinan bahawa dalam pendekatan kaunseling boleh dan mampu membuatkan manusia berubah.

Kursus tersebut dijalankan semasa cuti persekolahan bulan Mei. Pelajar-pelajar yang dilatih termasuk pelajar yang mempunyai rekod yang buruk datang ke sekolah dan memberi tenaga mereka seratus peratus. Daripada kerja-kerja mencetak borang, membersihkan dormitori, membersihkan persekeliling asrama hinggalah membersihkan dewan serta mengecat dewan makan untuk dijadikan tempat kursus dilakukan oleh mereka. Segalanya masih saya simpan dalam bentuk video tape untuk rujukan. Amat menghairankan, pelajar yang membawa banyak masalah rupa-rupanya apabila diberi perhatian dan menerima mereka tanpa syarat mereka sebenarnya mempu menunjukkan potensi yang tidak pernah mereka tunjukkan sebelum ini. Komunikasi dengan mereka bagaikan kawan yang membuatkan kita makin dihormati dan disanjungi. Banyak kedengaran cerita-cerita daripada rakan-rakan mereka mengatakan bahawa mereka hendak berhenti daripada melakukan kesalahan. Agak-agaknya mereka rasakan tidak perlu lagi melakukan kesalahan untuk mendapat perhatian. Ini kerana mereka memang diberi perhatian dan diberi peranan penting dalam memajukan asrama.

Apabila waktunya sampai, klimaksnya adalah di malam sebelum pelajar datang melaporkan diri. Kami bertungkus lumus sehingga jam 3 pagi untuk menyediakan semua perkara yang kalau boleh sedikitpun tidak menampakkan kecacatannya. Pelajar dan guru sama-sama berganding bahu mengadakan gotong royong. Guru-guru yang dilabel bermasalah langsung tidak memberi masalah kepada saya. Tetapi sayangnya pihak pengurusan sekolah langsung tidak nampak perkara ini. Mereka langsung tidak datang menjenguk apa yang berlaku. Saya bernasib baik kerana tuan pengetua tidak menghalang kerja-kerja saya dan memberikan apa yang saya mahu. Matlamat besar saya ialah untuk menunjukkan kepada pihak pengurusan sekolah bahawa guru-guru ini adalah guru yang baik dan berguna kepada sekolah bukan pandangan sebaliknya. Kami bekerja dengan penuh riang dan ketawa. Kutuk mengutuk adalah asam garam kehidupan kami. Pada peingkat awal saya amat sensitif apabila dikutuk, tetapi oleh kerana telah memahami `kutukan membawa bahagia’, maka saya rela dikutuk dan saya pula dah pandai mengutuk orang lain (dalam bentuk gurauan) kepuasan dan keseronokan bekerja terpancar di wajah masing-masing. Apabila penat kami berehat beramai-ramai sambil membincangkan apa lagi yang belum kami lakukan. Rupa-rupanya pelajar yang dikatakan bermasalah ini mempunyai berbagai idea untuk didengari. Mereka akan lebih beremangat jika pendapat dan cadangan mereka kita ambil kira.

akan disambung sebelum 20 Julai 2008










Video di atas menunjukkan pelajar yang dikatakan`nakal' bertungkus lumus menyiapkan dewan makan walaupun sudah melepasi 1.00 pagi. Keesokan harinya mereka menerima pelajar luar untuk pendaftaran Kursus Kepemimpinan Peringkat Negeri Pahang. Semuanya dilakukan oleh pelajar dan guru sekolah. Video ini agak kabur kerana sudah lama iaitu diambil pada tahun 1992. Seronok sebenarnya bekerja dengan mereka. Bahagia... potensi pelajar sangat besar yang perlu dicungkil. Kebahagiaan kita yang buat, bukan konflik yang kita cari...







11 Julai 2008, 3.55 ptg.
Tuan-tuan tahu apakah yang ada dalam kotak pemikiran pelajar-pelajar yang dikatakan nakal itu? Ya, mereka amat tertunggu-tunggu hari peserta kursus datang untuk mendaftarkan diri. Mereka bertambah semangat dan menunjukkan skill mereka yang tinggi dalam melakukan apa-apa kerja yang disuruh. Mungkin tak perlu disuruh tetapi mereka yang memberi cadangan untuk sesuatu itu dilakukan agar mereka menampakkan mereka bekerja. Tidak lain dan tidak bukan adalah mereka hendakkan diri mereka dirasakan wujud dalam dunia ini. Mereka ingin merasakan kehadiran mereka dirasai. Mereka inginkan kehadiran mereka di rasakan penting oleh orang lain. Apa yang lebih ketara mereka bertambah rajin apabila bekerja dengan rakan mereka dari kalangan perempuan. Mereka lebih rajin lagi jika berdepan dengan peserta kursus perempuan. Mereka menampakkan mereka begitu gentleman dan saya suka dengan gelagat mereka. Saya memuji mereka begitu gentleman dan menarik. Mereka nampak sangat suka dengan pujian itu. Memang mereka amat boleh diharapkan. Tidak ponteng kerja malah sentiasa bersedia untuk melakukan apa-apa kerja yang diarahkan. Tugas mereka adalah sebagai `runner’ kursus. Merekalah yang akan ke sana dan ke mari untuk memenuhi peralatan kursus, memberitahu fasilitator supaya menamatkan sesi LDK, memberi arahan kepada peserta kursus, mengedarkan buletin kursus, menyediakan makanan dan melayan peserta kursus makan, melayan urusetia makan dan banyak lagi. Tiada apa yang boleh saya lihat sebagai sesuatu yang negatif. Mereka bekerja dengan baik sekali. Mereka bekerja hingga lupa nak tidor. Yang penting tiada tanda-tanda mereka hisap rokok. Agak menghairankan, mungkin mereka terlalu `occupied’ hingga lupa nak buat masalah. Dan yang lebih utama matlamat saya tercapai untuk melihat pemimpin pelajar dan pelajar yang dikatakan masalah ini berinteraksi dan bergurau. Indahnya dunia ini.






Dalam kalangan mereka yang menjadi urusetia, pelajar yang `baik’ diberi tugasan yang lebih intelectual berbanding mereka yang lebih realistic dan langsang. Tugasan pelajar yang baik ialah mencari berita dan menulis buletin. Saya sebagai ketua untuk semua perkara akan menyediakan layout dan melukis kartun dalam buletin. Kami mencetak buletin sekitar pukul 2 pagi. Begitulah setiap hari hinggalah hari kelima kursus. Awal pagi semasa peserta kursus sedang sarapan pelajar yang dikatakan bermasalah pula akan mengedarkan buletin. Mereka nampak seronok dengan tugas mereka lebih-lebih lagi apabila mereka mengedarkan kepada pelajar perempuan. Peserta kursus pula sangat suka membaca buletin yang keseluruhannya adalah berkenaan dengan kursus yang mereka hadiri.







Bagi fasilitator yang mana terdiri daripada guru pula ini adalah tugasan kedua mereka. Pengalaman diperingkat negeri ini menjadikan mereka lebih yakin dengan kebolehan mereka. Saya memuji mereka kerana cepat belajar. Mereka sudah pandai meneroka dan memberi falsafah. Mereka juga sudah pandai melayan dan menggunakan kemahiran-kemahiran asas kaunseling. Mereka juga mengakui jika mereka menggunakan pendekatan ini pelajar akan menjadi lebih senang untuk dikawal. Mereka juga merasakan diri mereka dihargai apabila pelajar datang dan bertanya serta meluahkan masalah kepada mereka. Saya amat gembira apabila guru-guru seumpama ini merapati pelajar. Ini akan menjadikan tugas saya lebih mudah. Saya seronok kerana strategi saya untuk menjadikan mereka seperti mana yang saya inginkan berjaya.




akan disambung sebelum 18 Julai 2008




14 Julai 08, 11.40 mlm




Gado-Gado dan Mee Kari
Maaf, saya rasa saya perlu menulis apa yang saya rasa ketika ini. Saya sedih dan amat ralat. Baru-baru ini saya mendapat panggilan talipon daripada anak buah saya yang bernama K. Saya adalah pakcik kepada 3 anak buah saya yang berstatuskan kawan. Kami berkenalan setelah dewasa. Pendekkan cerita kami bersama dalam banyak perkara dan kami lakukan terutama selepas tamat tingkatan 5. Kami sangat akrab. Antara cerita yang saya dah lupa ialah saya menyuruh K berkahwin dengan seorang perempuan yang baru dikenalinya kerana gerak hati saya rasa mereka sangat sesuai. K menurut saja dan mereka berkahwin. Mereka bahagia. Sebenarnya saya dah lupa cerita itu. Tetapi panggilan talipon yang baru saya terima mengingatkan semula kisah lama. K beritahu saya, bahawa orang yang saya suruh dia kahwin tu dah kritikal. Beliau kena barah paru-paru. Sekarang di Hospital Klang... kalau nak jumpa cepat atau mungkin tak sempat... katanya. Ya Allah... sudah terlalu lama saya tak jumpa... ketika itu saya sedang menyelia praktikum. Saya berjanji untuk datang malam itu juga. Saya dan isteri sampai di hospital jam 8 malam dari Tanjong Malim. Kesiannya... kurus... dan tak bermaya... saya memohoh maaf padanya. Saya sebak begitu juga dia... tak sama seperti dulu... saya dapat bersembang agak lama hingga pukul 11 malam. K banyak mengingatkan cerita lama... isterinya ketawa dalam keadaan orang yang tak bermaya. Ketawanya diselang selikan dengan batuk yang tidak terkawal. Banyak kisah kami K ungkaikan. Kisah lucu yang saya dah lupakan sejak berpuluh tahun... Isteri K bercerita tentang kenangannya semasa belajar di IPSI. Dia terkenangkan makanan yang menjadi kegemarannya iaitu mee kari (depan UPSI) dan Gado-gado. Saya mengiakan dan mengatakannya ianya masih ada dan memang sedappun. Saya masih teringat kata-katanya... sedapnya.... dan sayapun katakan padanya cepat-cepatlah sembuh nanti boleh datang dan tidur rumah saya. Nanti saya bawakan mereka makan gado-gado di sebelah pagi dan petangnya pula saya akan bawa mereka makan mee kari... isteri K Nampak gembira... Sebelum kami balik saya ingatkan dia semula supaya cepat sembuh nanti boleh datang ke rumah. Saya dah terbayang-bayang semuanya itu... ternampak-nampak dia sedang makan.. pasti dia suka... Saya sampai ke rumah pukul 1 pagi. Pengalaman malam tadi mengganggu saya. Esoknya saya bertanya kepada sesiapa yang hendak ke Klang. Saya cuma tanya secara rambang .. kalau ada rezki saya hendak kirimkan gado-gado dan mee kari. Saya tercari masa untuk menjenguknya untuk kali kedua dan menghantar makanan kegemarannya. Setelah seminggu saya mendapat panggilan daripada adik saya mengatakan isteri K sudah tiada... dia telah pergi untuk selama-lamanya. Ya Allah.... mana lagi saya nak cari dia??? Saya rasa nak cari dia hingga ke celah-celah bumi untuk menyampaikan hajatnya dan hajat saya yang tidak kesampaian...sebenarnya saya dah terasa sangat niat saya dah nak sampai... namun Allah lebih mengetahui... Sham... maafkan saya... alfatihah untuk Shamsiah. Kisah ini baru berlaku minggu ini... dan semalam 13 Julai 2008, saya saksikan tubuhnya yang tinggal tulang dikebumikan. Allah lebih sayangkannya.




OK SAMBUNG SEMULA MAAF LAMA BERHENTI... 19 Julai 2008, 12.35 mlm




Rumusan daripada kursus tersebut selama 5 hari 4 malam, segala penat lelah kami merasa amat berpuas hati. Daripada pihak Dato’ Shamsudin (Pengurus Besar Yayasan Pahang), pihak Biro Tata Negara yang menyumbangkan elaun bagi guru guru yang menjadi fasilitator, pihak sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dan semua yang terlibat amat cemerlang penglibatan mereka. Ianya telah menjadi sejarah kepada saya dalam menjalankan kursus ini. Pada saya ianya satu dan tiada duanya. Tiada sesiapapun yang melakukannya lagi selepas itu, walaupun di sekolah sekarang ini telah mempunyai 2 atau 3 orang kaunselor sepenuh masa. Tidak seperti saya dahulu yang masih mengajar beberapa kelas dan bukannya bertaraf kaunselor sepenuh masa. Saya bangga... ya bangga dengan apa yang telah dapat dijalankan. Lebih-lebih lagi apa yang saya saya lakukan itu telah dapat saya dokumenkan dalam bentuk laporan, soalselidik, buletin dan dalam bentuk rakaman video untuk tatapan orang terkemudian sebagai rujukan. Kepada guru-guru yang membantu saya sekali lagi saya tidak dapat membalas jasa mereka. Kepuasan kerja kami terasa amat sangat setiap kali berjumpa kami akan membincangkan dan menceritakan perkara yang telah kami sama-sama lalui.

Pendapat guru-guru lain? Biasalah, tiada siapa yang merasakan ianya sebagai satu tugasan besar yang telah dapat dijalankan oleh pihak kami. Tiada apa yang mereka nak gembirakan kecuali melihat perkara-perkara yang negatif yang berlaku seperti percampuran lelaki dan perempuan, lambat turun ke surau untuk sembahhyang subuh atau maghrib, bising semasa menjalankan aktiviti dan yang lebih penting mereka hendak melihat perubahan seratus peratus tidak kesampaian seperti perubahan perangai, cara bercakap dan berpakaian. Apa perlu diperkatakan lagi? Memang nasib kaunselor sedemikian rupa. Perubahan yang kita nampak tidak nampak pada orang lain atau mungkin mereka melihat peserta kursus yang melakukan kesilapan akan dilibatkan kesemuanya sebagai GAGAL!!! Sekali lagi saya merasakan tekanan tetapi cuba belajar daripada peristiwa lama yang akan di ulang-ulang lagi seperti lagu-lagu lama yang dipermainkan semula. Yang anihnya guru-guru yang banyak cakap di belakang tidak sedikitpun memberi sumbangan untuk menjayakan projek ini. Mereka hanya bercakap dan terus bercakap dan kerja mereka juga tidak menampakkan kesungguhan mereka dalam membentuk pelajar. Kerja mereka Cuma punch in dan punch out. Begitulah pujukan rakan-rakan saya dalam membandingkan diri saya dengan orang-orang yang banyak cakap di luar sana. Saya pasrah dan mengaku keadaan itu. Komen rakan-rakan memberi sokongan moral kepada saya untuk bekerja dan terus bekerja. Kerja-kerja buletin saya di peringkat ini disertakan di dalam lampiran di belakang. (saya cuba scan dan upload bagi tatapan pembaca).

Dalam waktu yang sama saya cuba untuk menarik minat pelajar masuk ke bilik kaunseling. Berbagai-bagai cara saya lakukan. Antara yang unik ialah dengan mempelawa pelajar yang mempunyai minat dalam melukis untuk diajar teknik melukis di jubin, mug serta pinggan. Aktiviti ini mendapat sambutan yang hangat. Ramai yang ingin belajar. Sebenarnya untuk pengetahuan pembaca saya mempunyai latar belakang dalam bidang seni lukis. Semasa saya menjadi guru dulu saya mendapat latihan dalam bidang Pengajian Inggeris dan Pendidikan Seni semasa menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bharu. Saya juga pernah menjadi artis jalanan semasa cuti semester dalam pengajian saya di UPM. Saya pernah melukis jubin, pinggan dan mug di depan KOMTAR di Pulau Pinang sekitar tahun 1988. Saya juga pernah menjadi johan dalam pertandingan melukis kartun yang dianjurkan oleh Syarikat Liberty Card dan akhirnya menjadi pelukis kartun untuk syarikat tersebut mengeluarkan kad-kad ucapannya. Saya juga pernah berpeluang untuk melukis di majalah Gila-Gila dan berbincang dengan saudara Jaafar Taib, seorang pelukis kartun yang terkenal dan tuan punya majalah Gila-Gila. Dengan pengalaman-pengalaman itu memudahkan saya menjalankan tugasan mengajar mereka dengan teknik-teknik yang saya telah kuasai. Pelajar amat mengkagumi kebolehan saya. Mereka ikut kata saya dan amat mudah kerja saya selepas itu iaitu untuk mempengaruhi mereka.

PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA WARDEN
BERHENTI... akan disambung sebelum 30 Julai 2008




TENTANG JIHAN...




Masih terbayang Jihan datang ke bilik saya mengajak saya mengamalkan cara perubatan alternatif. Saya galakkan dia belajar asalkan dia yakin dengan cara perubatan yang diamalkan. Untuk memberi semangat kepadanya saya bersetuju untuk belajar sama. Tempatnya di Kuala Lumpur dan saya mengajak beberapa pelajar dan rakan pensyarah sama. Kami ingin melihat apa yang diajar oleh pengamal itu. Bayarannya boleh tahan RM600 untuk dua hari tanpa penginapan. Dalam hati saya berkata, cekalnya budak ni… sanggup sampai begitu sekali. Bayaran mahal dan tempat yang begitu sukar untuk menuntut ilmu. Mungkin dia merasakan bahawa inilah saja harapan untuk dia sembuh. Saya melihat Jihan begitu gembira apabila saya menyambut pelawaannya. Gadis yang low profile ini tidak banyak mulut. Menjawab apabila ditanya dan banyak tersenyum. Tidak suka mengambil tahu hal orang lain. Semangat yang tinggi untuk menghabiskan pengajiannya di UPSI walaupun kadang-kala kesakitan yang dialaminya amat tidak tertanggung. Dalam banyak perkara yang saya pernah bincang dengannya tidak pernah saya bertanya tentang latarbelakangnya. Apabila saya melawatnya baru-baru ini dia sudah terbaring dan tidak mengenali saya dan orang yang melawatnya. 8 bulan satu jangkawaktu yang lama. Anak baik ini terlantar tanpa menggerakkan walaupun jari. Bapanya mengatakan dalam 24 jam dia tidur selama 23 jam. Bila matanya terbuka dia tidak dapat melihat. Mungkin sarafnya tidak berfungsi. Perbualan dengan bapanya barulah saya tahu bahawa kami bersaudara. Saya bersaudara dengan Jihan… oh… Jihan tidak tahu akan hal ini. Bagaimana harus saya memberitahunya bahawa orang yang berurusan dengannya selama ini mempunyai hubungan saudara dengannya? Jihan, cepat bangun… saya nak awak tahu bahawa saya ini saudara mu… Cepat sembuh sayang… Diharap pembaca sama-sama doakannya. Terima kasih, mungkin dia akan sembuh kerana doa anda… wallahualam.







PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA WARDEN

Menjadi ketua warden??? Ini satu perkara yang tidak masuk akal. Baru tahun kedua berkhidmat di sekolah ini telah dilantik sebagai ketua warden? Saya berjumpa dengan tuan pengetua untuk meminta tangguh untuk jawatan ini. Saya perlu mengenali dan membiasakan diri di sekolah ini lebih lama lagi untuk saya duduk dalam jawatan itu. Tetapi rayuan saya tidak diterima kerana bagi pihak pengetua asrama perlu berubah. Pelajarnya perlukan satu pendekatan lain. Itu memang saya setuju. Mungkin ianya juga berlaku pada sekolah lain di mana apabila melihat bagaimana pelajar-pelajar asrama dilayan oleh pihak warden dengan kekasaran, dendaan yang keterlaluan dan segala macam undang-undang tak masuk akal.

Membicarakan tengtang pelajar asrama, persepsi awal saya apabila mengikuti spotcheck yang warden-warden lama lakukan saya agak terkejut dengan kehidupan yang pelajar-pelajar lalui di asrama. Perkara-perkara seperti merokok seolah satu perkara biasa. Boleh dikatakan setiap dormitori akan ada pot atau tin yang dijadikan tempat habuk rokok. Dalam loker pelajar berbagai macam benda yang diharamkan terdapat di dalammya. Dari kaset blak metal, baju beruncurkan blak metal seperti wajah tengkorak dan keseluruhannya berwarna hitam, wajah tidak ceria penghuninya, busuk, baju dan tuala yang tidak dikeringkan dengan sempurna satu pemandangan biasa. Keadaan tidak terssusun, pelajar diherdik sentiasa, diketuk ditampar memang amalan yang berlaku sejak sekian lama.

Setiap kali cuti sekolah satu atau dua hari sebelum cuti ramai pelajar yang akan fly dari asrama. Satu istilah yang popular apabila pelajar lari dari asrama. Ada ketikanya hanya tiga suku pelajar tinggal di asrama, yang lainnya lari waktu malam. Apabila saya bertanyakan kepada pelajar mereka menyatakan bahawa pelajar perlu ambil kesempatan balik sebelum cuti supaya mereka dapat selamat daripada dipukul di perhentian bas tatkala mereka pulang kerumah apabila cuti sekolah bermula. Sememangnya setiap kali cuti sekolah ramai pelajar yang akan mengadu apabila kembali ke sekolah selepas sekolah dibuka semula bahawa mereka dibelasah oleh pelajar luar atau senior semasa mereka pulang dari asrama. Ini adalah perkara yang saya ingin benteraskan. Ianya telah berlaku sekian lama sehinggakan pihak sekolah mengambil tindakan menempatkan guru guru di bas station untun mengelakkan perkara ini berulang. Soalnya perlukan perkara ini berlaku? Tiada cara lainkan supaya mereka tidak melakukan perkara ini? Saya amat mengambil berat akan hal ini dan teramat ingin melihatnya berubah.

Sejak saya menjejakkan kaki di sekolah ini saya telah mengadaptasikan kepercayaan Rogers bahawa manusia itu baik dan sentiasa inginkan kebaikan. Apa yang perlu dilakukan ialah menyediakan persekitaran yang baik. Konsep penerimaan tanpa syarat saya pegang dan ianya berbaloi. Saya mendekati pelajar yang dikatakan nakal dan jahat. Saya duduk dengan mereka. Apabila berjumpa di luar sekolah walaupun mereka hisap rokok saya cuba untuk melihat kekuatan bukan keburukan mereka. Saya terima mereka tanpa syarat (bukan saya menggalakkan mereka menghisap rokok). Cuma apabila melihat kekuatan dan kebaikan mereka perkara negatif akan beransur-ansur menjadi sesuatu yang minor dan tidak kelihatan akhirnya. Saya percaya akan perkara ini. Ramai pelajar yang nakal memberi kerjasama kepada saya. Apabila saya mahukan mereka tidak merokok di sekolah umpamanya mereka hanya merokok di luar dan tidak membawa rokok ke sekolah. Kejayaan untuk melakukan perkara seumpama ini tidak menandakan tiada kegagalan. Ia adalah lumrah. Pelajar begitu ramai dan terlalu ramai untuk dipegang dan disentuh. Kadang-kala saya memikirkan sekiranya saya mempunyai lebih ramai seperti saya, maka amat mudah untuk saya bekerja. Tetapi apa kan daya saya melakukan seorang diri. Rakan-rakan guru yang baru hendak belajar tentang konsep kaunseling kadang-kalapun agak kabur tentang hala tuju tujuan sesuatu perkara yang saya lakukan. Amat sukar untuk membuatkan semua orang faham.

Namun apa yang saya dapat lakukan terhadap pelajar nakal ini bagi saya mencukupi untuk membantu saya. Ini terbukti apa bila saya dilantik menjadi ketua warden asrama. Saya hendak memperkenalkan seorang pelajar nakal yang saya rapati semenjak dia di tingkatan empat lagi. Pelajar A (saya akan namakan semua karektor dengan huruf agar lebih mudah untuk membicarakan sesuatu kes) ini saya panggil dengan nama timangan abang. Abang seorang yang aktif dan aggressif. Selalu ditangkap kerana lambat ke sekolah dan menghisap rokok serta keluar sekolah sebelum waktu sekolah tamat. Mempunyai badan yang besar dan berketurunan mamak serta fasih bertutur dalam bahasa cina. Ini adalah kerana pada waktu sekolah rendah, dia bersekolah di sekolah cina. Pelajar amat takut kepada abang kerana dia mempunyai ramai kumpulan gangster di luar sekolah. Semasa dia di tingkatan empat lagi dia kerap kali memukul pelajar tingkatan lima di luar sekolah. Tetapi saya melihat sebaliknya. Alangkah baiknya jika abang menjadi orang baik. Dapat membantu pihak sekolah dan pelajar. Masalahnya tiada siapa yang nampak potensi besar yang dia ada. Apabila saya dilantik menjadi ketua warden sesuatu yang lucu antara saya dan dia berlaku. Saya seolah-olah mengadu kepadanya tentang saya dilantik menjadi ketua warden. Apa responnya?

“Fuyoo, tahniah cikgu...” dia memberi tahniah dan menghulur salam tahniah kepada saya. Saya bercakap dengan dia sebagai kawan bukan sebagai guru. Ini menyebabkan dia lebih menghormati saya daripada guru-guru lain. Sering juga saya mengajak pelajar ini minum dan berbual-bual tentang berbagai-bagai perkara yang boleh dikongsikan bersama. Dalam banyak keadaan saya akan cuba mengaguminya, memang saya kagum padanya. Ini adalah kerana kelebihan yang dia ada terutama dalam penguasaan bahasa mandarin. Selepas mengucapkan tahniah kepada saya, saya beritahu dia bahawa perkara ini bukan perkara main-main. Saya rasa tidak bersedia untuk menjalankan tugas sebagai ketua warden. Akhirnya saya meminta bantuan daripadanya untuk membantu saya. Dengan rela hati dia amat bersedia untuk membantu saya. Saya memberitahunya bahawa saya perlukan dia untuk tinggal di asrama. Apa reaksinya? Ini antara respon yang masih saya ingat. “Cikgu jangan bidaah la cikgu...” maksudnya kepada saya tidak bergurau. Saya menyatakan kepada dia bahawa saya amat serius. Berbagai pertanyaan dia bertanyakan kepada saya. Antaranya layak kah dia tinggal di asrama? Bukankah dia banyak buat salah? Apa pula kata bapanya? Adakah bapanya akan membenarkan dia tinggal di asrama. Bukankah dia tinggal berdekatan dengan sekolah dan memang tidak layak untuk mendapat tempat di asrama? Akhirnya saya memberitahunya bahawa saya akan berbincang dengan bapanya untuk memberi laluan kepadanya tinggal di asrama dan dia bersetuju.

Saya memberitahunya bahawa dia harus menjadi ketua asrama untuk membantu saya. Dia melihat saya dengan pandangan yang pelik. Dia anggap saya terus bergurau. Saya nyatakan padanya bahawa saya serius. Dia bersetuju dengan beberapa syarat. Dia memberitahu pada saya bahawa pelajar asrama dapat dikawal dengan bantuan kawan-kawannya yang berada di luar dan juga di asrama. Ini bermaksud jika dia dilantik menjadi ketua pelajar asrama, maka saya juga harus melantik kawan-kawannya yang juga pelajar bermasalah untuk menjadi pengawas asrama. Setelah meneliti nama-nama yang diberi saya bersetuju. Maka bermulalah angan-angan saya untuk menjadikan asrama tempat yang selesa dan seronok untuk sesiapa tinggal di dalamnya.

Tugas Sebagai Ketua Warden BERHENTI 23.07.08
akan disambung sebelum 31 Julai 2008




Amat malang bagi saya apabila pengetua memberhentikan semua warden-warden terdahulu dan melantik saya bersama guru disiplin dan seorang lagi guru lelaki yang dipercayai oleh pihak pengurusan sekolah untuk menjaga pelajar asrama yang seramai 400 lebih itu. Apabila semua warden lama diberhentikan, maka mulalah pertikaian dan rasa tidak puas hati berlaku di kalangan warden-warden lama. Saya menjadi serba salah dan tidak tahu apa patut saya lakukan sama ada untuk suka atau sebaliknya. Saya menjadi buntu dengan keadaan itu buat seketika. Sudah menjadi kelaziman dan budaya mana-mana sekolahpun apabila seseorang menjadi kepercayaan pihak pengurusan sekolah dan di satu pihak pula seolah-olah tidak dipercayai oleh pihak pengurusan sekolah akan dilabel sebagai orang kepercayaan pengetua. Dengan itu sebenarnya memberi impak yang tidak baik kepada guru yang seolah-olah dipercayai oleh pihak pengurusan. Ini memberi kesan yang negatif dari segi perhubungan antara guru. Terpulanglah kepada saya dan rakan yang dilantik bagaimana hendak menarik kepercayaan kawan-kawan supaya perkara ini tidak menjadi lebih kritikal lagi. Tetapi apa yang saya nampak ialah akibat daripada tindakan pengetua ini menjadikan guru yang dipecat atau diberhentikan itu bertambah menjadi negatif dan hilang semangat. Saya tidak menyalahkan guru-guru tersebut. Umumnya akan berlaku sebegitu dan tidak dapat dipertahankan lagi. Saya mengambil keputusan untuk melihat perkara itu sepanjang proses ianya berjalan bukan untuk menyelesaikannya sekarang kelak akan menambahkan kecelaruan perhubungan antara kami.

Apabila sekolah dibuka dan pelajarpun dah pulang ke asrama, segala masalah tinggal masalah. Saya tidak mahu memikirkan perkara yang saya tak mampu selesaikan. Kerja di depan mata cukup banyak. Maka sayapun menyusun strategi untuk memantau pelajar dan bagaimana menangani masalah-masalah yang dihadapi.

Saya memanggil semua pelajar yang dikatakan bermasalah yang dilantik pengawas asrama. Saya berbincang dengan mereka untuk mendapatkan kesepakatan. Alhamdulilah tiada banyak rintangan yang saya hadapi. Mereka nampak mudah untuk bekerjasama dengan saya. Saya memberi mereka sedikit kelonggaran dan keistimewaan seperti bilik khas untuk pengawas dan sebagainya. Modus operandi saya amat mudah. Sekiranya dahulu mereka tidak mendapat perhatian dan penghargaan yang sepatutnya daripada pihak warden, maka kali ini saya memberi segala perhatian dan penghargaan kepada mereka. Teori hieararki Maslow banyak membantu saya dalam memahami apakah keperluan seorang manusia itu perlukan. Ianya adalah sesuatu yang diperlukan oleh semua manusia termasuk guru. Saya kerap memanggil mereka dan melontarkan masalah. Seolah-olah masalah itu tidak dapat saya selesaikan. Apabila mereka memberi saya cadangan saya akan menghargainya dan mengaplikasikannya. Apabila masalah dapat diselesaikan saya akan memuji cadangan yang mereka berikan. Ini akan mambuat mereka merasakan bahawa mereka dihargai. Dengan tidak secara langsung konsep kendiri mereka akan naik dan menjadikan mereka menyukai diri mereka dan memberi komitment yang tinggi terhadap persekitaran mereka terutamanya terhadap tugas mereka dan guru.

Mereka dijadikan oleh saya sebagai penasihat saya. Saya nampak dari riak geri mereka amat berbeza daripada sebelum ini yang mana mereka adalah sebagai `binatang-buruan’ oleh pihak warden. Ini dinyatakan sendiri oleh mereka. Mereka meluahkan dalam perbualan dan perbincangan kami bahawa sebelum ini mereka merasakan bahawa setiap warden melihat mereka sebagai pembawa masalah. Setiap gerak geri mereka diperhatikan. Merek amat tidak selesa dan merasakan setiap apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak menyumbang ke arah kebaikan. Ini yang menyebabkan mereka akan lebih bermasalah dan sengaja membuat masalah. Mereka tidak pernah dipanggil untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka selalu menjadi mangsa terutamanya daripada tuduhan-tuduhan pengawas asrama yang mereka gelar sebagi GP atau Gila Pangkat atau Poyo. Pelajar-pelajar yang gila pangkat ini tidak disukai oleh pelajar asrama yang lain, lebih-lebih lagi pada pelajar yang membuat masalah. Ini akan mengakibatkan pelajar-pelajar bermasalah cuba menyelesaikan masalah yang timbul di asrama di luar apabila mereka keluar bandar atau pulang ke rumah. Penyelesaian yang mereka laukan itu kerap kali akan berkesudahan dengan pergaduhan.
Berhenti 1 Ogos 2008 akan disambung 10 Ogos 2008












Sebenarnya jika ditanya secara jujur, saya dengan jujurnya juga mengakui bahawa pelajar bermasalah ini boleh bekerja dengan lebih berkesan jika dibandingkan dengan pelajar yang dikatakan baik. Antara lain ciri yang mereka ada yang pelajar lain tidak ada ialah mereka mempunyai keberanian yang luar biasa, bersuara lantang dan kuat, mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan pelajar, sporting dan boleh membuat kelakar serta menghiburkan. Selain dari mudah memahami rakan-rakan yang bermasalah juga, mereka selalunya diterima oleh kawan-kawan. Nasihat dan tegahan mereka diterima jika dibandingkan dengan pelajar yang mereka gelar sebagai GP tadi. Inilah apa yang saya perolehi daripada pemerhatian dan temuduga saya dengan pelajar lain.

Persoalannya apakah pula tugasan pelajar yang sepatutnya dilantik menjadi pengawas asrama? Dalam strategi yang saya lakukan, saya telah menjadikan pelajar bermasalah sebagai pengawas asrama yang akan menentukan pelajar asrama mematuhi undang-undang. Bagi pelajar yang dikategorikan baik-baik pula saya manjadikan mereka sebagai pembimbing pelajar. Tugas mereka adalah untuk merancang program-program untuk membantu rakan-rakan yang lain. Program-program seperti kemahiran belajar, kursus-kursus untuk fasilitator pelajar, persediaan untuk sesuatu program, majlis-majlis tertentu dan sebagainya. Umum mengetahui bahawa untuk membuat sesuatu program ianya mengambil masa yang lama dan memerlukan semangat sepasukan yang tinggi. Dengan itu mereka amat menyukai dengan tugas ini di samping mereka ini pula dibantu oleh pelajar bermasalah tadi. Dengan ini pelajar yang sepatutnya dilantik menjadi pengawas tidak terpinggir. Mereka juga sibuk dengan tugasan dan assignment yang silih berganti. Mereka juga merasai selamat dan seronok tinggal di asrama tidak seperti pengawas-pengawas dulu yang hidup mereka sentiasa tertekan dan terancam disebabkan oleh mereka ini adalah pengawas.

Saya amat dukacita apabila bersembang dengan pelajar-pelajar yang dikategorikan sebagai pengawas sekolah di sekolah-sekolah lain. Isu yang selalu diutarakan ialah mereka bekerja seolah-olah sebagai satu pasukan polis sekolah. Jika disiplin tidak baik mereka akan dipersalahkan oleh guru. Mereka pula selalunya tidak digemari oleh rakan mereka. Gelaran-gelaran yang mereka terima pula adalah berbagai. Antaranya ialah anjing kerajaan, poyo, gila pangkat, gipang dan berbagai-bagai gelaran yang menyakitkan. Kebajikan mereka juga selalunya tidak dijaga. Mereka hanya menjalankan tugas yang diarahkan. Apabila diluar mereka rasa terancam oleh rakan-rakan mereka yang diambil tindakan. Saya rasa perkara ini tidak patut diberi tekanan kepada mereka yang ingin menjalani kehidupan sebagai seoarang pelajar seperti pelajar lain. Mereka juga inginkan kehidupan yang bahagian di sekolah. Mereka juga inginkan keseronokan berkawan. Jika tekanan yang mereka terima, saya fikir mereka sebenarnya menjalani hukuman yang panjang selama mereka dilantik menjadi pengawas.

Ini berbeza dengan konsep yang saya jalankan di kalangan pelajar saya. Mereka adalah pembimbing rakan dan penunjuk jalan yang benar untuk mereka. Sekiranya mereka dapati rakan mereka membuat masalah mereka akan cuba mambantu supaya rakan mereka tidak diambil tindakan oleh guru atau pihak warden. Dengan ini mereka akan disanjungi oleh rakan mereka yang lain. Kadang-kala sesuatu masalah itu sebenarnya tidaklah besar sangat. Ianya boleh menjadikan kehidupan di asrama huru hara atau sebaliknya. Contohnya kes rokok. Memang di akui tiada satu kehidupan asramapun yang dapat lari dari permasalahan ini. Apa yang saya lakukan ialah saya pastikan bahawa pelajar bermasalah ini menentukan bahawa tiada aktiviti merokok dijalankan secara terang-terangan. Barang diingat bahawa mereka sendiri adalah kaki rokok. Sebenarnya mereka terperangkap dalam keadaan ini. Saya dapat melihat daripada nonverbal mereka yang agak serba salah. Sebenarnya saya agak gembira dan suasana agak lucu bila mengenangkan keadaan ini. Bayangkan bagaimana mereka terpaksa menjalankan tugas ini setelah saya kira mereka terhutang budi yang terlalu banyak yang saya telah berikan kepada mereka. Mungkin mereka segan dan terpaksa melakukan tugasan yang saya berikan.

Saya selalu pesan kepada mereka bahawa jika mereka ingin dan terpaksa merokok saya mahu pastikan bahawa mereka melakukan kesalahan itu tanpa di ketahui oleh orang lain. Mereka hendaklah melakukannya seorang diri tanpa kawan dan tiada kesan maksudnya habuk dan puntung rokok. Pada pandangan anda bagaimanakah mereka lakukan ini semua? Ini membawa maksud asrama tidak akan lagi dapat melihat pelajar merokok sewengan-wenangnya dan tiada lagi akan kita menjumpai bekas rokok atau puntung rokok bersepah-sepah seperti dahulu. Memang nampak berkesan dengan pendekatan yang dilakukan ini. Sememangnya pelajar lain hormat kepada pelajar bermasalah ini. Mereka kata mereka kotakan. Saya bersimpati dengan mereka seolah-olah dipergunakan oleh saya. Namun begitu saya tentukan mereka mendapat apa yang mereka patut dapat iaitu penghargaan dan nilai diri sebagai manusia yang tinggi, tidak seperti dahulu mereka yang dikatakan sebagai binatang buruan.

Strategi dan perlaksanaan dalam pemantauan pelajar saya lakukan dengan secara spontan dan kurang berstrategi. Saya perlukan pengalaman yang lebih dan hands on yang lebih banyak. Ini bermakna perngalaman hidup bersama pelajar akan memberi saya lebih idea dan membantu saya untuk menyusun strategi yang lebih berkesan di masa akan datang. Apa yang saya lakukan setakat ini amat berkesan bagi saya. Pelajar tutup lampu tepat pada waktunya. Pelajar ke surau tepat waktunya. Manakan tidak? Selalunya pelajar yang lambat turun adalah pelajar yang bermasalah yang telah bertukar peranan kepada pengawas asrama. Mereka pula yang terpaksa bangun awal dan mengejutkan pelajar lain. Saya tidak membangkitkan isu itu setiap kali saya berjumpa mereka. Apa yang saya tanya ialah ada atau tidak pelajar yang lewat ke surau? Mereka katakan tidak dan saya memuji mereka dengan mengatakan bahawa mereka amat berkesan, lebih berkesan daripada pengawas lama. Saya nampak mereka amat bangga dengan pujian saya itu.
Pujian demi pujian mampu untuk mengubah diri mereka untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Pelajar lain juga memuji mereka dengan memberitahu kepada saya bahawa mereka telah banyak berubah. Perubahan yang ketara ialah tidak mengganggu pelajar lain dan kerjasama daripada mereka amat berbeza tidak seperti mereka di tingkatan 4 dulu. Mereka bukannya lagi orang yang memberi ancaman kepada orang lain, juga mereka bukannya lagi orang yang membawa rokok dan menjualnya kepada orang lain dan mereka bukannya juga orang yang menggugut orang lain menyediakan rokok kepada mereka bila mereka memerlukan. Kini mereka seolah-olah pembela kepada rakan mereka yang lain. Mereka seolah-olah menjadi hero kepada rakan-rakan yang lain untuk menjadikan kehidupan yang lebih aman di asrama. Saya faham apa yang mereka lalui. Saya tersenyum puas dengan apa yang saya lihat di depan mata saya kini.

Dugaan Besar Yang Pertama akan disambung 20.08.08





Pelajar tingkatan empat akan melaporkan diri selepas keputusan peperiksaan PMR keluar. Ini bermakna saya mempunyai masa selama lebih kurang dua bulan untuk menyediakan pelajar asrama dan sekolah untuk menerima pelajar tingkatan empat ini. Ketika itu warden asrama Cuma saya, ketua guru disiplin dan seorang lagi guru lelaki. Untuk mengawal pelajar yang seramai 400 nanti saya kira amat berat. Pada pandangan saya menjaga pelajar asrama bukan bermaksud menjadi JAGA kepada mereka. Iaitu hanya melihat dan memerintah. Bagi saya menjaga adalah melayan dan memahami apa kehendak mereka. Menyusun stragegi dan mengambil tahu. Ini bukannya kerja yang mudah. Pelajar perlu dipantau 24 jam. Selepas pelajar masuk tidur bukan bermaksud tiada masalah. Kepekaan yang tinggi amat perlu supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Saya berjumpa dengan pihak pengetua dan memohon untuk menambah lagi warden. Pada peringkat awalnya tuan pengetua tidak setuju kerana masalah elaun tetapi apabila saya bersnggupan untuk berkongsi elaun dengan mereka dan pihak sekolah tidak perlu menyediakan elaun warden tambahan barulah dia bersetuju. Namun apa yang saya lakukan ini tidak menggembirakan pihak pentadbiran yang lain. Apa tidaknya, saya telah memasukkan guru-guru yang dikatakan tidak baik dan bermasalah. Itu hanya pandangan mereka, tapi bagi saya mereka adalah guru yang mempunyai pengaruh yang kuat pada pelajar serta dihormati oleh mereka. Setelah tindakan saya itu, nampak agak dingin layanan yang saya terima daripada pihak pentadbiran. Saya tidak kisah, yang penting adalah pelajar di bawah jagaan saya. Saya telah memasukkan seramai empat orang guru lagi untuk dijadikan warden. Namun elaun bukanlah matalamat mereka dan saya. Bagi kami itu semua tidak penting, yang penting adalah misi kami untuk membentuk budaya asrama dan sekolah yang baru.
Tiap malam sebelum masuk tidur saya mengumpulkan pelajar den bertanyakan masalah. Saya pastikan semua masalah mereka di ambil tindakan. Sekiranya saya tidak dapat mengambil tindakan masalah yang diutarakan oleh mereka saya selalunya akan berterus terang dan meminta maaf kepada mereka. Saya nampak pelajar boleh terima. Antara permintaan mereka adalah untuk menyediakan pa sistem asrama untuk mewujudkan rangkaian dejay asrama dan radio asrama. Waktu preb dilanjutkan, membenarkan mereka bermain gitar dan memohon untuk keluar pekan dua kali sebulan. Untuk makluman semua kemahuan mereka saya turuti.

Waktu preb saya telah ubah dari waktu selepas maghrib hingga pukul 10.00 malam. 10.00 solat isyak dan minum malam. Berkumpul pukul 10.30 dan tutup lampu pukul 11.00. saya memberi pilihan kepada mereka yang merasakan perlu untuk menyambung waktu prep mereka dibenarkan untuk menggunakan bilik bacaan hingga pukul1 atau 2 pagi. Pelik kan? Pada mereka yang ingin masuk tidur saya benarkan mereka naik ke atas dormitori masing-masing dan tidur. Syarat saya ialah tiada perkara yang tidak elok mereka lakukan di dormitori. Kami berada bersama pelajar sehingga mereka habis belajar di dalam bilik bacaan. Keadaan amat menyeronokkan. Ramai warden turun dan bersama pelajar. Hubungan kami adalah seperti rakan dan jurang tidak terlalu jauh. Kami sebenarnya amat rapat antara satu dengan lain. Segala isu dan perbualan seolahnya amat terbuka. Kami menemankan mereka study dan sekiranya mereka lapar mereka akan ke rumah warden untuk memasak cokodok atau nasi goring. Warden sentiasa membantu. Pelajar bebas keluar masuk bilik warden. Membasuh dan menggosok baju di lakukan setengah pelajar di dalam bilik warden. Selalunya baju dan seluar warden (tidak semua) pelajar yang dengan sukarelanya menggosok untuk kami. Saya tak tau berapa ramai yang setuju dengan tindakan ini, tetapi saya gembira melihat kehidupan pelajar dan warden begitu intim dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Hal study malam hanya satu syarat yang saya kenakan kepada pelajar sekiranya mereka hendak melewati pukul 12 malam iaitu saya tidak mahu mendengar rungutan daripada guru guru di sekolah bahawa mereka ngantuk sewaktu di dalam kelas, itu sahaja.
Untuk bermain gitar pula saya benarkan mereka menjalankan aktiviti tersebut di waktu petang dengan menubuhkan kelab muzik atau seumpamanya. Pada waktu dahulu, banyak gitar yang telah dirampas atau dimusnahkan. Ada juga insiden di mana gitar dimusnahkan depan pelajar yang terbabit. Ini menjadikan pelajar begitu marah dan memberontak. Ekoran daripada itu banyak barang-barang asrama telah dimusnahkan oleh pelajar tersebut kerana tidak puas hati. Dengan membenarkan mereka bermain di waktu petang, dan berhenti pada waktu yang ditetapkan akan menyebabkan pelajar berasa mereka diberi peluang untuk meluahkan perasaan atau bakat walaupun tidak seperti yang mereka mahukan. Tetapi apa yang berlaku amat memeranjatkan. Mereka hanya bermain hanya untuk tidak sampai dua bulan. Selebihnya banyak masa gitar tersebut tersimpan di bilik warden tanpa sesiapa yang mahu mainkannya. Rupanya mereka hanya hangat-hangat tahi ayam. Isu itu akhirnya hilang macam itu sahaja.

Saya telah memohon untuk mewujudkan pa sistem asrama seterusnya menjadikan permintaan pelajar sebagai satu realiti iaitu untuk mengadakan sistem hubungan radio di asrama. Pelajar inginkan asrama diceriakan di waktu pagi dan petang dan waktu-waktu yang dirasakan perlu supaya suasana asrama tidaklah begitu membosankan. Saya akur dengan kehendak mereka. Pengetua telah meluluskan sejumlah peruntukan yang agak besar untuk menjadikan ianya satu kenyataan. Pelajar-pelajar dengan inisiatif mereka telah mewujudkan ahli jawatankuasa pa sistem sendiri. Bagi saya ini memudahkan pengurusan apabila hal-hal seperti ibubapa datang untuk memanggil pelajar, jawatankuasa ini boleh digunakan. Lagu-lagu yang dibenarkan untuk dimainkan ditapis oleh pihak warden.

Pada awal tahun memandangkan pelajar tingkatan empat belum masuk mendaftar lagi, saya menjangkakan akan berlaku sesuatu yang tidak diingini jika tidak melakukan sesuatu dari sekarang. Saya berbincang dengan rakan-rakan warden untuk mengadakan kursus peringkat asrama. Tujuan kursus ini ialah untuk menjadikan pelajar asrama mempunyai visi dan misi yang lebih jelas, menjadikan mereka bersatu hati untuk melonjakkan nama pelajar asrama, meningkatkan disiplin dan akademik selain untun manjadikan budaya baru untuk dipraktikkan. Kursus ini telah dijalankan selama tiga hari dua malam tanpa apa-apa kos. Tenaga fasilitator adalah daripada warden dan guru-guru yang berminat untuk membantu. Saya berterima kasih kerana ramai yang tampil ke tengah untuk memberi sokongan. Seronok dan berpuas hati itulah rata-rata pendapat yang diberikan oleh pelajar setelah melalui kursus tersebut. Kesannya kebanyakan pelajar mahukan perubahan di mana pelajar tingkatan empat yang bakal diterima akan dilayan dengan baik dan tidak seperti mereka dulu yang dilayan dengan kasar dan sentiasa takut dengan pelajar senior. Rata-rata mahukan pendekatan kasih sayang yang akan mewarnai kehidupan di asrama. Mereka mahukan kehidupan yang lebih harmoni daripada apa yang mereka lalui dulu. Kehidupan berpuak-puak dan takutkan senior kalau boleh mereka hendak hapuskan. Itu harapan mereka. Sama ada boleh berlaku atau tidak kita tengok sama-sama akibatnya.





Mungkin apa yang akan saya lakukan agak kontraversi tapi saya kuatkan juga untuk membuat perubahan. Dulu apabila lelaki dan perempuan berjumpa akan ditangkap khalwat, apa jua sekalipun alasan mereka. Kini setelah mereka menjalani kursus dan mereka dikumpulkan dalam satu kumpulan mereka mula mengenali dan menghormati pandangan masing-masing. Ada suara-suara sumbang yang hendak menyalahkan saya telah kedengaran. Seolah-olah saya galakkan percampuran dan maksiat. Untuk makluman semasa saya mula datang ke sini ada beberapa kes yang melibatkan pelajar perempuan dan lelaki ditangkap berdua-duaan dan bersunyi-sunyian. Ini bermakna walaupun terlalu ketat untuk lelaki dan perempuan mendapat izin untuk berjumpa akhirnya mereka akan melakukan perkara ini juga secara sembunyian. Saya bertekat untuk menjadikan mereka tidak lagi seperti orang yang tidak pernah melihat perempuan atau lelaki. Keadaan agak memalukan terutama apabila mereka dikumpulkan di dalam dewan. Pelajar lelaki akan malu... terlalu malu untuk duduk di hadapan. Mereka akan bertolak-tolak untuk tidak duduk di hadapan. Hinggakan mereka terpaksa diheret untuk duduk di depan perhimpunan. Apabila perempuan memberikan pendapat pelajar lelaki akan menempek sorak dan mengejek mereka. Teruk bukan keadaan itu? Tidak matang dan amat memalukan. Begitu juga apabila waktu makan di dewan makan. Pantang salah sikit pelajar perempuan lakukan maka mereka akan di ejek dan ditempek beramai-ramai oleh lelaki. Hinggakan pelajar perempuan takut untuk melintas di tiap sudut di mana ada lelaki. Begitu juga keadaannya apabila waktu rehat. Pelajar perempuan akan diketepikan dan takut untuk ke kantin. Hinggakan seolah-olah ada laluan untuk lelaki dan perempuan. Samakah pemandangan ini di sekolah tuan-tuan? Kadang-kadang dirasakan undang-undang di sekolah ini mengalahkan undang-undang di sekolah agama.

Projek Minggu Silaturrahim Pelajar Tingkatan Empat




AKAN DISAMBUNG SEBELUM 10.09.08 INSYALLAH...




3.09.08




Selepas mengadakan kursus untuk pelajar tingkatan lima, `mind setting’ mereka telah di setkan untuk menerima pelajar tingkatan empat. Langkah seterusnya adalah untuk melatih barisan fasilitator dari kalangan pelajar tingkatan lima. Pelajar pengawas dikumpulkan bersama pelajar dalam kategori nakal. Mereka dilatih dengan kemahiran komunikasi, personaliti dan penggunaan modul. Mereka kini lebih mengenali manusia dan tahu bagaimana untuk melayan manusia. Selama satu minggu saya melatih mereka. Saya mengambil masa waktu petang setiap kali pelajar pulang ke asrama selepas sesi persekolahan tamat. Pelajar nampak sangat seronok menjalani sesi ini. Mereka tidak sabar untuk menunggu pelajar tingkatan empat mendaftarkan diri. Perkara yang selalu saya ingatkan kepada mereka adalah supaya menjaga imej dan melayan orang luar yang datang dengan sebaik mungkin. Ini termasuklah ibubapa pelajar tingkatan empat nanti. Saya amat yakin mereka mampu melakukan dan mampu menunjukkan imej yang baik dimata mereka yang datang.

Setiap masa yang terluang saya akan memanggil semua pelajar untuk memberitahu mereka perancangan yang akan dilakukan. Persiapan untuk menyambut pelajar tingkatan empat menjadi agenda utama kami. Kami tidak mahu lagi pelajar tingkatan empat lari dari asrama, kena buli atau menjadi orang suruhan pelajar tingkatan lima. Saya amat yakin ianya akan menjadi kenyataan. Ini adalah kerana pelajar yang dilatih untuk menjadi fasilitator adalah pelajar yang dikatakan nakal dan bermasalah. Sepanjang saya melatih mereka saya nampak pelajar bermasalah ini memberikan komitmen yang baik sekali. Kekadang kesungguhan mereka lebih bersungguh daripada mereka yang tiada masalah. Perancangan kami memang banyak. Selain daripada menjadikan mereka ini fasilitator, satu malam gilang gemilang iaktu malam penamatan minggu silaturrahim akan kami anjurkan. Kami bercadang untuk mengadakan persembahan dan teater. Ramai yang meraguinya. `Boleh ke ziz?’ tanya beberapa orang guru kepada saya. Tak pernah dibuat kerana sukar untuk mengawal tingkahlaku pelajar. Saya yakin dengan pelajar saya. Saya akan lakukan.

Banyak persiapan dilakukan termasuklah persiapan untuk mempersembahkan persembahan nyanyian dan teater. Kemas dormitori serta melabel bilik-bilik untuk memudahkan orang luar yang datang nanti. Jawatankuasa Radio Asrama sibuk melatih diri mereka menjadi deejay. Seronok melihat gelagat mereka. Dalam hati saya berkata sekiranya mereka ini sibuk dengan tugasan dan perkara yang mereka minat untuk dilakukan, maka mereka sebenarnya lupa untuk membuat masalah kepada sekolah. Tiada ruang langsung di pemikiran mereka untuk buat perkara yang negatif. Terlalu banyak yang mereka terpaksa lakukan hinggakan dengan tidak secara langsung lupa nak buat perkara yang mereka lakukan dulu. Masalah yang selalu pelajar hadapi ialah mereka bosan untuk tinggal di asrama kerana tiada aktiviti yang boleh menyebabkan mereka gembira untuk mereka lakukan. Aktiviti-aktiviti yang membosankan seperti kena paksa mendengar ceramah dan kerja-kerja yang mereka tidak mahu buat akan menyebabkan mereka cari jalan untuk membuat masalah. Itu tanggapan saya dan saya kira itu benar.

Tibalah masanya pelajar tingkatan empat mendaftarkan diri. Kami telah menyusun dengan begitu sistematik sekali. Perjalanan amat licin. Segalanya pelajar uruskan. Daripada membantu membawa beg pelajar baru, melayan ibu bapa dan menyenangkan tugasan-tugasan yang adik-adik mereka tidak tahu melakukannya. Sepanjang pendaftaran itu, ajk radio asrama memainkan muzik yang sedap telinga mendengar. Tiada muzik keras seperti yang mereka suka dahulu seperti trash, black metal, heavy metal dan lain-lain yang manyakitkan hati apabila mendengarnya. Ramai ibubapa yang memuji tentang persembahan kami dan kami amat berbangga sekali.

Perjalanan seminggu minggu orientasi telah berjalan dengan begitu licin. Pelajar tingkatan empat telah diberikan dua orang fasilitator terdiri daripada akak dan abang senior. Seperti yang diketahui fasilitator adalah campuran daripada pelajar baik dan nakal. Bila pelajar nakal ini menjadi fasilitator, pelajar tingkatan empat lebih rapat dan mengenali mereka. Di waktu malam tiada kerisauan dipihak kami takut-takut pelajar tingkatan empat ini diganggu oleh mereka. Mereka diberi ruang yang seluas-luasnya untuk mengenali adik-adik mereka. Ini tidak berlaku tahun-tahun sebelumnya. Mereka tidak langsung diberi peluang untuk mengenali adik-adik. Pelajar-pelajar seperti ini memandang tingkatan empat dengan penuh geram dan tidak sabar-sabar menunggu waktu yang membolehkan mereka memanggil adik-adik untuk di orientasikan.

Pelajar yang tidak dilantik menjadi fasilitator adalah pelajar yang dipertengahan. Tidak sebagai pemimpin dan tidak pula terlalu nakal. Mereka ini jenis mengikut. Memandangkan ketua-ketua yang dulunya nakal telah menjadi baik, maka tiada siapa yang akan menjadi ketua untuk mengajak ke arah perlakuan negatif. Setiap malam mereka menjadi fasilitator hingga ke pukul 11.00 malam. Saya faham mereka kepenatan melayan adik-adik. Oleh itu mereka tidur senyenyak-nyenyaknya hinggalah hari esoknya untuk solat subuh. Tiada kekacauan berlaku dan adik-adik terasa mereka selamat dan gembira dengan pendekatan ini. Pada waktu itu, pendekatan yang dilakukan oleh saya amat asing bagi sekolah-sekolah seperti sekolah vokasional ini. Mungkin sekarang ini ianya sudah berluasa.

Adalah bohong untuk menyatakan bahawa tiada masalah langsung apabila saya menggunakan pendekatan ini. Ada tetap ada, tetapi terkawal. Pelajar nakal lumrahnya akan membuat nakal juga akhirnya. Ada dua tiga orang pelajar yang telah diambil tindakan kerana tidak dapat nak ditolong lagi. Memang mengecewakan. Bukan saja kami kecewa, rakan-rakan yang menaruh harapan tinggi nak melihat mereka berubah pun kecewa juga. Bagi guru-guru yang diluar sana memandang perkara ini dengan sinis dan sentiasa memerli akan perkara itu. Begitulah lumrah kehidupan di sekolah, kekadang bila difikirkan lebih baik tak buat apa-apa. Kalau buat sesuatu maka orang tertunggu-tunggu akan kegagalan dan mereka akan bersorak melihat kegagalan kita. Selamatlah kepada guru-guru yang hanya datang ke sekolah dan balik bila loceng tamat sekolah dibunyikan. Senang dan mudahnya menjadi guru. Tetapi saya bukannya nak jadi guru, tetapi pendidik, pemulih, pendorong, pembuka jalan, pendakwah, pemberi kegembiraan, penyerap kekecewaan dan kesedihan dan penyumbang kasih sayang di mana-mana saya berada. Saya bertekat untuk membawa kegembiraan dan harapan kepada sesiapa di sekeliling saya di sekolah. Satu kerja yang amat menyakitkan.

Malam penutup minggu silaturrahim amat gemilang. Muzik kenny berkumandang dalam dewan. Macam dalam hotel. Susunan pelajar pun dibuat macam kat hotel. Pelajar duduk dalam kumpulan bersama fasilitator dan meja mereka dihias cantik. Tiada terpekik terlolong. Tiada menjerit seperti selalu. Mereka menjaga diri mereka dengan penuh kesopanan. Apabila dipertontonkan teater semua diam. Waktu ketawa semua ketawa. Tiada ketawa yang tak munasabah. Ketawa mereka seperti seorang dewasa yang matang. Seperti orang bertamadun ketawa. Bukan dibuat-buat. `Lain pula kali ini,.’ bisik guru sekolah pada saya. Tak macam selalu. Saya faham maksudnya. Pelajar seperti pelajar di sekolah pandai-pandai, baik-baik dan pelajar elit. Sebetulnya mereka tidak seperti itu. Mereka adalah golongan yang mendapat keputusan di bawah sederhana semasa PMR dulu. Mereka mendapat aggregade dalam lingkungan 24 ke atas. Tidak bijak bukan? Tapi perangai mereka macam orang bijak-bijak, sopan-sopan dan golongan elit. Mereka berlakun ke? Mungkin juga, ini kerana saya sentiasa ingatkan mereka supaya berkelakuan demikian. Saya sentiasa mengingatkan mereka supaya berada dalam alam sedar. Sedar tentang perlakuan mereka, sedar apa yang dilihat oleh orang luar. Sedar apa yang orng lain kata tentang mereka. Ini menyebabkan mereka bertingkahlaku dengan lebih baik lagi.

Apabila selesai minggu silaturrahim, saya pun memikirkan perlunya asrama yang tidak ceria ini dilakukan sesuatu. Saya pun memulakan peranan saya dengan membuat satu isu. Dalam satu perhimpunan saya telah menyatakan kepada pelajar bahawa saya telah melihat sekolah sains di negeri ini yang mempunyai keceriaan yang amat baik. Cat bangunan yang tidak ada contengan, tasik-tasik kecil menghiasi asrama mereka dan tiap dormitori diserikan dengan langsir. Sentuhan saya itu lantas dijawab oleh pelajar istimewa yang mengatakan bahawa kita juga mampu menjadikan asrama kita sebegitu. Bila saya tanya bagaimana? Mereka menyatakan bahawa kita semua bergotong royong untuk mengecat asrama. Cepat-cepat saya mengatakan bahawa saya tidak setuju kerana mereka akan mengambil peperiksaan penting. Mereka lantas menjawab bahawa mereka masih boleh membuat persediaan kerana masa masih panjang. Untuk pengetahuan semua, saya mempraktikkan komunikasi PAC yang diutarakan oleh Eric Berne dan ianya ternyata amat berkesan. Sepanjang saya berinteraksi dengan pelajar saya sentiasa menggunakan kaedah dan teori ini. Saya dapat merasakan konsep win-win situation. Pelajar tidak rasa diarah dan saya tidak rasa di permainkan. Seronok sekali melihat satu demi satu apa yang dihajati berjalan lancar. Akhirnya kesimpulan mereka bersetuju. Saya memberitahu pelajar bahawa saya akan memohon cat dengan pihak pengetua. Memandangkan prosedur yang agak lama pelajar sentiasa bertanya bilakah mereka boleh dapatkan cat? Hampir tiga minggu cat yang di tunggu tidak tiba-tiba. Satu hari semasa pelajar balik dari pekan, saya amat terperanjat apabila melihat beberapa orang pelajar membawa bersama mereka tin-tin cat. Apabila ditanya mereka mengatakan bawaha merke hendak memulakan cat kerana cat yang pengetua pesan terlalu lama. Mereka tidak sabar untuk mengecat dormitori mereka. Tuan-tuan bayangkan, betapa terharunya saya ketika itu. Mereka sanggup berkongsi wang untuk membeli cat semata-mata untuk merealisasikan impian saya. Mereka mengecat bilik mereka setiap petang. Ini bermakna waktu riadah mereka diperuntukan untuk projek ini. Akhirnya tiada siapa sangka selepas tiga bulan mereka telah mengecat dua blok asrama tiga tingkat, surau dan dewan makan luar dan dalam. Asrama begitu berseri. BERJAYA... AMAT BERJAYA... Bila dikenang kembali saya selalu berfikir bagaimanakah boleh dilakukan perkara seumpama itu. Bukannya mudah, tetapi telah berjaya.

Selesai mengecat, pelajar ini membuat projek-projek mini taman untuk setiap sudut di asrama. Seingat saya ada tiga tasik mini yang dibina. Mereka meletakkan ikan-ikan supaya menambahkan keceriaan pemandangan asrama. Saya akui untuk mencuba sekali lagi perkara sebegini sukar untuk saya lakukan lagi. Kadang-kala saya fikirkan di mana kekuatan dulu yang saya ada hingga perkara seperti ini dapat dilakukan. Yang anehnya, guru-guru di sekolah dapat lihat perubahan itu tetapi tiada sesiapapun yang benar-benar ikhlas mengakui kejayaan itu. Mereka melihat seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Biasakan? Di situlah saya belajar jangan mengharap pujian apabila melakukan sesuatu, tetapi bersedialah untuk menerima kritikan. Benar, kritikan yang diterima banyak contohnya pelajar tidak membuat kerja rumah kerana sibuk mengecat asrama. Kelakar bukan??? Bukankah masalah ini masalah lama? Masalah ini tetap akan ada walaupun tidak ada kerjapun pelajar ini lakukan??? Adakah ini masalah baru? Kenapa mereka mengaitkan dengan aktiviti mengecat asrama dan tidak membuat kerja rumah??? Tuan rasa tak apa yang saya rasa ketika itu? Sedih dan sakit hati. Tapi saya memujuk diri untuk menjadi posititif...

Projek seterusnya? Ternyata lebih besar iaitu Kursus Kepemimpinan Peringkat Negeri Pahang khas untuk sekolah-sekolah vokasional dan teknik di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal. Memang besar cita-cita tu. Baru masuk tahun kedua menjadi kaunselor telah berani untuk menjayakan kursus seperti itu. Bila saya mengusulkan kepada tuan pengetua, alhamdulillah tiada bangkangan. Beliau memberi sokongan. Tujuan saya hanya satu iaitu untuk memberitahu kepada semua orang bahawa pandangan mereka terhadap guru-guru yang dilabel tidak baik itu silap... silap besar. Saya bertekat untuk tidak menggunakan tenaga luar. Saya bertekat untuk menunjukkan kepada orang-orang diluar bahawa sekolah ini mempunyai guru-guru yang berkaliber dan boleh diharap. Tiada lagi satu sekolah yang berani membuat kursus seumpama ini. Sebagai sekolah yang menganjurkan projek ini, banyak kerja yang perlu dibuat. Membuat kertaskerja untuk dihantar ke pihak Jabatan Pendidikan Teknikal. Sebelum itu kena lalui Pejabat Pendidikan Daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri. Selepas itu pemberitahuan kepada semua sekolah yang terlibat. Menetapkan pelajar yang akan mengambil bahagian, menetapkan serta menguruskan perbelanjaan. Melatih fasilitator di kalangan guru saya serta memantapkan urusetia yang terdiri daripada pelajar yang dikatakan nakal dan pembimbing rakan sebaya serta pengawas sekolah. Namun saya bernasib baik, guru-guru yang rapat dengan saya memberi kesanggupan untuk menjadikan ianya satu lagi realiti. Masa yang diambil begitu lama untuk menanti saat-saat berlakunya event ini. Kami bekerja selama 6 bulan. Seronok bekerja dengan guru dan pelajar-pelajar termasuk pelajar istimewa ini. Banyak perkara yang tidak dapat dilupakan berlaku semasa proses ini. Projek ini saya memohon peruntukan elaun daripada Biro Tata Negara Negeri Pahang. Alhamdulillah semua fasilitator dibayar dengan elaun yang boleh dikatakan baik juga.

Kursus ini kami jalankan diwaktu cuti sekolah. Pelajar yang terlibat dalam menjadi urusetia tidak balik kampung. Kami berkampung menyiapkan segala kelengkapan untuk projek ini. Untuk pengetahuan pembaca, saya masih menyimpan dokumentasi kursus ini termasuklah segala surat menyurat, buletin, kertas kerja dan video sepanjang kursus ini. Bila saya melihat kembali pelajar-pelajar ini membersihkan dewan makan hingga pukul 2 pagi saya begitu bersemangat untuk kembali ke waktu itu semula. Kadang saya berasa bersalah membuatkan pelajar begitu workaholic hinggakan terlupa untuk memikirkan diri mereka. Kursus itu telah berjalan selama 5 hari 4 malam dan ianya telah menjadi satu kursus yang sangat berjaya dan berkesan. Pada waktu itu pengerusi Yayasan Pahang datang untuk merasmikan pembukaan kursus itu. Statistik kursus tersebut adalah seperti berikut. Bersama ini juga saya lampirkan buletin-buletin yang kami buat untuk setiap hari perjalanan kursus tersebut berjalan. Sebenarnya secara ikhlas, kursus itu berkesan hingga jauh disudut hati setiap peserta. Orang yang terlibat sahaja yang tahu apa yang berlaku sepanjang kursus itu. Kursus tamat hari sabtu. Keesokannya iaitu hari ahad pelajar akan kembali ke asrama. Pada hari tersebut kami bagaikan hilang upaya kerana bekerja tanpa henti selama beberapa hari semasa kursus dan hari-hari sebelumnya persediaan untuk kursus. Apapun saya tetap bangga dan ianya menjadi lipatan sejarah untuk saya kenang sepanjang hidup saya. Sehingga buku ini ditulis saya tidak mendengar kursus seumpama ini dilakukan oleh sekolah tersebut atau mana-mana sekolah sekalipun. Bayangkan guru yang satu ketika dulu saya meragui boleh melibatkan diri dengan kaunseling, tetapi akhirnya kami berjaya menjadikan satu kursus peringkat negeri satu realiti di mana fasilitatornya adalah terdiri daripada guru-guru teknikal yang pada pandangan kasarnya agak brutal dan tidak berhati perut. Dan yang menyebabkan saya bertambah bangga ialah pada tahun kedua saya bertugas sebagai kaunselor saya mampu mempengaruhi guru-guru di sini untuk menjadi lebih peka terhadap pelajar dan membuatkan mereka percaya bahawa kaunseling boleh membantu mengubah manusia. Kaunseling juga adalah satu cara alternatif untuk mendisiplinkan pelajar. Kaunseling juga membantu melembutkan pelajar-pelajar yang satu masa dulu begitu keras dan tidak berperikemanusiaan.

Bagaimana pula pandangan bahagian pentadbiran pula? Datang untuk memberi sokongan pun tidak, hanya pengetua yang datang. Kenapa berlaku begini? Mungkin kerana saya melantik ramai daripada guru-guru yang tidak dipercayainya untuk menjadi urussetia dan fasilitator. Nampaknya apa yang saya lakukan ini satu kejayaan yang mereka mahu nafikan. Sedih melihat cikgu-cikgu tersebut bertungkus lumus bekerja tetapi pada pihak-pihak tertentu tidak langsung memandang walaupun hanya sebelah mata. Saya kira saya gagal bagi menyedarkan pihak terbabit betapa andaian dan label yang diberikan kepada guru-guru tersebut adalah salah. Cukup mengecewakan apabila tuduhan-tuduhan seperti mereka ini tidak tahu membuat kerja, tidak bertanggungjawab dan seumpamanya masih terlekat dan tidak mengubah setelah beberapa usaha dibuat. Saya kira apa yang berlaku dan apa yang saya saksikan situasi seperti ini berlaku juga mungkin di tempat lain.

Statistik

Tiga Serangkai

Semasa menjadi warden saya dibantu oleh tiga serangkai pelajar. Seorang dulunya kaki pukul dari Mentakab, seorang pelajar bermasalah dari johor dan seorang pelajar bermasalah dari Jengka. Mereka bersemangat tiap kali berjumpa saya. Masing-masing telah meninggalkan tabiat lama. Amat lucu apabila mereka dilihat duduk di meja mentelaah buku. Kurang percaya apabila melihat situasi ini. Orang boleh mengatakan mereka berlakon. Apapun mereka telah tidak lagi melakukan perkara seperti fly dari asrama, supply rokok dan memukul pelajar lain. Itu bagi saya sudah cukup baik. Saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi terutama dari segi pencapaian akademik mereka. Dari dulupun akademik mereka agak merudum.
Mereka merangka dan memberi cadangan kepada saya bagaimana hendak mendisiplinkan pelajar lain. Kata perumpamaan inggeris `its take a thief to catch a thief’ amatlah benar. Mereka lebih mahir, lebih mengetahui dan lebih berani dalam mengambil tindakan. Mereka telah menyelesaikan banyak kes-kes yang sekiranya tidak diambil tindakan oleh mereka akan menjadi kes besar di asrama. Mereka dapat menghidu pergerakan pelajar dan amat memahami politik yang berlaku dalam asrama. Mereka tahu siapa geng siapa dan siapa musuh siapa. Mereka juga tahu siapa akan pukul siapa. Mereka sangat sensitif, dan kepekaan mereka yang tinggi ini banyak membantu saya dalam mengambil tindakan yang proaktif. Saya mengaku memberi muka kepada mereka untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka. Memberi muka bagi pandangan orang lain tetapi bagi saya tidaklah keterlaluan. Bukannya bermaksud saya tidak langsung mengambil tindakan sekiranya mereka melakukan kesalahan. Tetapi saya banyak memberi ruang masa untuk mereka bersama saya. Saya selalu mengajak mereka minum dan bersembang bersama. Selalu kelihatan mereka di bilik saya. Hasilnya, mereka juga amat rapat dengan pengawas sekolah dan tidak berkongflik kerana saya bersama mereka sama-sama bekerjasama dengan pengawas untuk merangka strategi menjadikan sekolah aman dan harmoni. Salahkah tindakan saya?

Dalam waktu sibuk dengan projek tahun 1993, diam tak diam keputusan peperiksaan pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1992 pun keluar. Memang saya dan warden lain amat takut untuk menerima apakah keputusannya kelak. Ini adalah kerana banyak tohmahan dari guru-guru tertentu yang mengatakan keputusan peperiksaan yang bakal keluar adalah teruk. Ini kerana dikaitkan dengan layanan yang kami berikan kepada pelajar pada pandangan mereka sebagai memanjakan mereka. Memberikan muka sangat kepada mereka. Tidak tegas seperti warden-warden lama. Mereka ingin melihat pelajar ini didera, diterajang dan dihukum seperti mana yang pernah mereka lihat ianya diperlakukan sedemikian. Maka pihak pentadbiran telah pergi ke PPD untuk mendapatkan keputusan tersebut. Apabila diumumkan kami begitu terperanjat kerana keputusan kali ini telah memecahkan rekod-rekod sebelumnya. Saya sertakan disini analisis yang saya kumpulkan bagi pelajar asrama sahaja. Analisis boleh dibuat dengan melihat tiap kursus yang mana mempunyai warden sealiran dengan nya mendapat keputusan seratus peratus. Hanya kedapatan pelajar yang tiada dapat bimbingan yang kuat dari pihak warden yang tidak mencapai seratus peratus. Sekolah agak gempar dengan pencapaian tersebut. Tetapi sekali lagi saya rasa tuan puan pembaca dapat mengagaknya bahawa ucapan tahniah tidak untuk kami yang bertungkus lumus. Ucapan tersebut hanya layak diberikan kepada guru-guru matapelajaran yang mengajar. Kami memujuk hati dengan mengatakan kepada diri sendiri apa yang kami lakukan hanyalah satu usaha yang ikhlas tanpa meminta apa-apa pujian. Saya rasa kejayaan pelajar ada kaitan dengan kesihatan eq yang seimbang. Sekiranya mengharapkan iq, pelajar saya jauh tertinggal. Tetapi memandangkan masalah emosi mereka dijaga dan stabil menyebabkan mereka seronok belajar dan melupakan masalah yang mereka hadapi. Perkara ini harus dilihat secara serius oleh guru-guru yang hanya mementingkan pencapaian pelajar dengan memberi penekanan disiplin dan iq. Pelajar akan lebih tertekan dengan harapan yang tinggi sedangkan emosi mereka tidak dijaga. Apapun kami amat berpuas hati dan saya kira pelajar yang terlibat lebih layak membuat penilaian terhadap kejayaan mereka. Terima kasih pada guru yang mengajar dan tidak lupa yang mengendalikan urusan kehidupan mereka di asrama. Sama-sama memberikan sumbangan dan sama-sama pula mendapat hasil yang sama-sama usahakan. Sepatutnya begitu kan?

Kegiatan Keagamaan Di Asrama

Walaupun seorangpun di kalangan kami bukan dari kalangan uztaz tetapi saya bangga tentang apa yang telah kami wujudkan dalam hal keagamaan di kalangan pelajar asrama. Pada peringkat awal kami menjaga asrama kami dapati bahawa ada di kalangan pelajar asrama yang berpuasa sunat untuk hari-hari Isnin dan Khamis. Kami mengucapkan tahniah kepada pelajar tersebut dan kami galakkan. Ada di antara warden juga telah mengambil tindakan berpuasa dengan pelajar sekali. Setiap kali mereka berbuka puasa kami akan mengucapkan selamat berbuka puasa kepada mereka dan ada kalanya kami membelikan kuih muih untuk mereka berbuka. Rupanya ini menjadikan satu motivasi untuk mereka terus mengamalkan rutin ini. Semakin lama semakin ramai yang mengikuti jejak rakan mereka. Mereka nampak gembira melakukan ibadat tersebut.

Begitu juga dengan hal-hal solat sunat tahjud dan sembahyang hajat. Seolah-olah menjadi amalan pelajar. Saya akui ini adalah hasil salah seorang daripada warden saya yang menyukai aktiviti ini. Dia bersama pelajar menyempurnakan amalan solat tahjud hinggakan ianya seperti menjadi rutin. Sekurang-kurangnya dalam satu minggu mereka melakukannya dua atau tiga kali. Yang seronok didengar ialah pelajar bertanya kepada warden adakah mereka akan sembahyang tahjut dan ingin dikejutkan apabila perlu. Semakin lama semakin ramai yang secara sukarela melakukan ibadat ini. Walaupun ianya sesuatu yang tidak wajib tetapi bagi saya ianya sungguh membanggakan sesiapa yang melihat keadaan sebegini.

Paling menyeronokkan apabila kami menjalani ibadah puasa. Sepanjang bulan puasa berbagai perkara baru yang dulunya tidak ada kami lakukan bersama-sama. Kami bersahur sama-sama, sembahyang terawih bersama-sama dan menghias asrama bersama-sama. Pelajar di asrama terdiri daripada pelajar yang mengambil pelbagai kursus kemahirahan termasuklah elektrikal, elektronik, penyamanan udara, kimpalan, binaan bangunan, pengurusan pejabat dan pengurusan perniagaan. Anda dapat bayangkan apa yang boleh kita lakukan dengan pelajar-pelajar seperti ini. Pelajar dari aliran elektrikal sibuk membuat lampu-lampu hiasan sempena bulan ramadhan. Semakin hampir dengan bulan syawal semakin rancak persiapan kami. Pelajar binaan bangunan sibuk menyiapkan lampu-lampu pelita. Mereka membuat tiang-tiang lampu bagi menyambut malam tujuh lekor. Kami benar-benar menyemarakkan bulan ramadhan. Tidak dapat saya gambarkan betapa keadaan pada bulan tersebut amat-amat kami lalui dengan begitu gembira dan penuh kesyukuran.

Satu perkara lagi yang kami lakukan ialah membersihkan dua kolam besar yang terapat di depan asrama kami. Saya kira kolam-kolam tersebut tidak pernah dibersihkan semenjak ianya dibina pada tahun lapan puluhan. Semua pelajar asrama bergotong royong menimba air dan mengeringkannya. Membersihakan dinding kolam dan menyental segala kekotoran yang ada dalam kolam tersebut. Setelah dibersihkan kami mengisi semula air kolam tersebut. Beberapa orang pelajar mengikut beberapa warden untuk mencari ikan yang boleh diisi ke dalam kolam tersebut. Warden yang mempunyai kepakaran dalam elektrikal membina idea untuk memasukkan lampu dalam kolam. Pada malam itu kami bersama-sama menyaksikan ikan-ikan berenang dalam kolam yang selama ini kami tak nampak apa yang berada dalam kolam tersebut. Tapi pada malam itu kami melihat dalam kolam ada lampu yang berwarna-warni dan ikan berkejar-kejaran. Sangat indah pemandangan itu. Ini juga bagi saya satu terapi memulihkan emosi.

Asrama Berhantu?

Benarkah apa yang didakwa oleh ramai pelajar dan guru? Hakikatnya memang ramai yang diserang histeria terutamanya pelajar perempuan. Ini salah satu masalah yang sukar untuk diselesaikan dan ianya adalah di luar kawalan kami. Kami tidak tahu bila dan siapa yang akan diserang histeria. Banyak masa telah diperuntukan untuk melayan isu ini. Amat malang kerana masa yang begitu berharga boleh disumbangkan untuk aktiviti lain. Untuk pengetahuan pembaca, asrama yang kami tinggal itu adalah mengikut maklumat yang kami terima telah dibina di atas bekas tapak kubur orang asli. Sebenarnya sekolah ini juga dibina berdekatan dengan perkampungan orang asli di sini. Antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah antara lain kisah seorang pelajar perempuan yang diserang histeria dan amat sukar diubati. Pada suatu malam tanpa diundang bapanya datang ke asrama membawa seorang bomoh. Mereka melakukan penyembelihan ayam hitam serta melakukan upacara yang tak diduga. Menurut kata bomoh yang melakukan upacara itu apa yang berlaku pada pelajar tersebut adalah disebabkan oleh angkara tok batin orang asli. Perkara itu saya fikirkan habis macam tu saja. Apa yang menjadikan situasi lebih teruk ialah dengan tanpa diduga sekali lagi bomoh tersebut telah pergi ke rumah tok batin dan menyerangnya. Perkara ini telah menjadi bualan di kalangan penduduk orang asli. Malangnya mereka tidak mengenal siapa yang menyerang mereka. Mereka hanya mengagak orang yang menyerang itu ialah guru yang menjadi warden asrama. Ini adalah kerana bomoh tersebut ada menyebut kepada tok batin bahawa sekiranya dia menganggu pelajar asrama lagi dia akan mendapat balasannya. Yang membuatkan lebih malang lagi ialah mereka telah membuat perjumpaan dan memerhatikan kesemua warden yang keluar masuk asrama tanpa saya sedari. Amat memeranjatkan sekali apabila mereka menyangkakan sayalah orang yang menyerang tok batin mereka. Mereka telah membuat perancangan untuk melakukan sesuatu kepada saya. Perancangan mereka ini saya dapat tahu daripada seorang guru yang mempunyai hubungan yang rapat dengan orang asli. Tanpa berfikir panjang saya bersama guru tersebut terpaksa mengadap tok batin dan bertanya adakah saya orangnya yang menyerangnya. Selepas itu barulah saya boleh lena tidur setelah tok batin mengesahkan bahawa orang yang menyerangnya bukan saya. Setelah menerangkan segala apa yang berlaku barulah keadaan kembali aman. Sebenarnya secara peribadi saya amat takut dan resah kerana terlibat dengan perkara ini lebih-lebih lagi apabila melibatkan dengan masyarakat orang asli.

Membicarakan tentang serangan histeria, keadaan di asrama pada ketika itu gawat sekali. Semakin ramai pelajar perempuan yang kena histeria. Sepanjang kegawatan tersebut berlaku saya tidak tidur selama dua malam kerana menjaga keadaan pelajar. Akhirnya kami berpakat untuk bertindak memanggil anak murid ulama terkenal di Bangi untuk menguruskan perkara itu. Kami berbincang dengan pengetua, tetapi malangnya beliau tidak mahu masuk campur hal sedemikian rupa. Saya faham apa yang membuatkan dia berfikiran seperti itu. Ini adalah kerana hal-hal seperti ini memang sukar untuk dibuktikan. Akhirnya kami berpakat kumpul duit di kalangan warden dan memanggil uztaz-uztaz tersebut. Proses mengambil pun memakan masa yang lama dan apabila mereka datang merekapun terus menguruskan makhluk-makhluk halus itu.
Banyak peristiwa pelik berlaku di depan mata saya ketika proses menghalau makhluk halus itu dilakukan. Antaranya ialah bola-bola api berterbangan di dalam dormitori asrama serta ada yang menuju ke arah kami. Ada juga pelajar yang nampak benda-benda yang ganjil yang tak terlintas di kepala dan tak mahu saya menceritakan lebih lanjut di sini. Sesuatu yang amat pelik berlaku antara lain pengalaman saya memberi `kaunseling’ kepada pelajar yang dirasuk. Ini seolah-olah saya meneroka dan memujuk orang halus keluar dari badan pelajar yang kena rasuk. Amat lucu bila mengenangkan kembali peristiwa itu. Agaknya orang yang kena rasuk pun jika kita berkemahiran, boleh memujuk dengan menggunakan pendekatan dan kemahiran kaunseling hinggakan makhluk halus tersebut bersetuju untuk keluar dari badan mangsa. Dipendekkan cerita akhir sekali ketua kepada semua makhluk halus telah menyerah diri dan berjanji tidak akan mengganggu lagi pelajar asrama. Yang lucunya uztaz tersebut membuat perjanjian dengan ketua makhluk halus tersebut dengan menanam kacang hijau yang digoreng di pagar asrama. Uztaz berkata kepadanya bahawa dia boleh masuk semula ke asrama jika kacang hijau tersebut tumbuh. Lucu kan? Kacang hijau yang telah digoreng tidak akan tumbuh walaupun ditanam, ini bermakna makhluk halus itu akan tunggu dan tunggu dan akhirnya tidak akan membawa hasil dari penantian tersebut. Anehnya sama ada betul atau kebetulan, pelajar asrama tidak lagi diganggu oleh makhluk halus dan tiada lagi kejadian histeria berlaku. Kami sangat-sangat bersyukur dan amat lega kerana masalah itu telah berakhir dan kami telah dapat hidup dengan aman selepas itu.

Sepanjang proses kejadian itu, saya ingin berkongsi tentang sikap guru yang saya kira tidak membantu. Bagi saya para warden telah banyak membantu saya. Mereka juga tidak tidur bersama saya serta memberi semangat kepada pelajar. Kami lihat pelajar amat mengasihani kami. Mereka kesiankan kami kerana melihat kami bersungguh-sungguh cuba menangani masalah ini. Ini bukan lakonan atau kepura-puraan. Keikhlasan dan kejujuran dapat dilihat daripada tindak tanduk kami. Yang saya hendak menceritakan di sini ialah sikap sebilangan guru yang hanya pandai mengkritik dengan mengatakan bahawa kami dilanda bala lah, banyak aktiviti yang tak baik dijalankan di asrama lah, pelajar mengada-ngada untuk mendapatkan perhatianlah dan sebagainya. Apabila pelajar perempuan mendapat histeria di sekolah ada di antara guru-guru ini dengan lantangnya menyuruh guru perempuan menyelak kain pelajar yang diserang histeria ini dengan mengatakan apabila kain mereka diselak, mereka akan sedar dan malu. Bagi mereka, pelajar ini cuma berlakon dan berpura-pura. Saya kecewa tanggapan ini. Mereka tidak langsung cuba membantu tetapi hanya pandai membawa cerita yang bukan-bukan dalam bentuk yang negatif. Saya ingin menceritakan di sini tentang seorang guru perempuan yang berbangsa cina. Beliau mengajar subjek Bahasa Inggeris. Saya tertarik dengan tindak tanduknya yang banyak membantu pelajar yang majoriti melayu, Islam. Dalam kontek pelajar histeria ini, setiap kali berlaku dia adalah antara orang yang pertama sampai. Pelajar juga akan mencari guru ini untuk mengadu hal. Dalam satu insiden apabila seorang pelajar mendapat histeria, maka ramailah yang berkerumun pelajar tersebut. Dengan berangnya dia memarahi pelajar-pelajar yang berkerumun itu dengan nada yang tinggi beliau berkata, `Apa yang awak semua kerumun dia? Lemaslah dia? Pegi ambil Yasin baca ramai-ramai, cepat pergi??’ Saya tak tau nak kata macam mana perasaan saya ketika itu. Guru ini juga adalah antara guru yang selalu menawarkan diri untuk mengikut apa-apa kursus yang saya anjurkan. Beliau tidak pernah terlepas untuk mengambil peluang menjadi fasilitator kursus. Beliau juga banyak memberi galakan dan sokongan moral kepada saya. Semoga dia berjaya dalam hidupnya sekarang ini.

Saat Meninggalkan Sekolah (akan disambung secepat mungkin...)




Saat Meninggalkan Sekolah
Bermula dengan cadangan untuk menukar angin dengan meletakkan jawatan sebagai ketua warden dan menjadi warden biasa mengundang masalah yang lebih besar. Peringkat awalnya saya hanya mengura-urakan supaya ketua warden diambil alih oleh orang lain memandangkan jawatan kaunselor pelajar yang saya pegang dalam keadaan tertentu sukar untuk saya berperanan untuk mengambil sesuatu tindakan. Bukanlah masalah besar cuma dalam keadaan tertentu sahaja. Sekiranya ketua warden dipilih daripada kalangan guru lain, maka saya fikir saya boleh menumpukan kepada program-program perkembangan yang lebih aggressif. Itu hanya harapan dan impian saya. Walaupun ramai warden-warden saya tidak setuju, saya mempengaruhi mereka supaya mencuba dahulu dan melihat apa perkembangan yang akan kami terima. Pendekkan cerita pengetua setuju dan ketua warden pun dilantik dikalangan uztaz. Saya memandang positif atas pertukaran itu walaupun beberapa warden dilihat tidak selesa untuk bekerja dengan uztaz.

Mesyuarat pertama kami yang diketuai oleh ketua warden baru tersebut telah mengguris hati dan perasaan beberapa warden, termasuklah saya sendiri. Dia telah menyuarakan pendapatnya dengan mengatakan bahawa kita patut tingkatkan usaha kita dalam menjaga pelajar, pelajar adalah amanah ibubapa. Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab ini. Disiplin perlu ditingkatkan dengan mengetatkan beberapa perkara yang saya nampak sudah elok dan pelajar telah sesuai dengan cara tersebut. Pelajar tidak lagi dibenarkan memasuki bilik warden dan warden hendaklah tidak membenarkan pelajar memasuki pejabat warden. Selama ini memang pelajar ramai yang memasuki pejabat warden untuk menjalankan tugasan masing-masing.
Kami amat resah mendengar satu demi satu cadangan yang diutarakannya. Sebalum dia dilantik menjadi ketua warden, dia terlebih dahulu dilantik menjadi warden kerana dia seorang guru agama. Bagi saya itu satu tindakan yang baik. Malangnya terus terang saya mengatakan bahawa dia kurang menjalankan tugasnya sebagai guru agama yang mempunyai peluang yang cukup banyak untuk membimbing pelajar. Sepatutnya dia banyak menghabiskan masa dalam meberi dakwah dan membimbing pelajar yang bermasalah dan kurang pendidikan agama mereka. Kami tidak kisah sangat tentang perkara itu kerana kami memang menjalankan tugas-tugas itu selama ini secara tidak formal. Untuk pengetahuan, warden-warden yang terdiri daripada guru teknikal yang mempunyai asas agama yang baik selama ini mengetuai solat dan menggalakkan pelajar melakukan solat sunat seperti solat tahajut dan solat hajat. Begitu juga seperti yang telah diterangkan sebelum ini bahawa hal-hal ibadah yang sunat-sunat seperti puasa sunat dan sebagainya memang kami galakkan dan kami juga bersama pelajar melakukan ibadah tersebut. Kami menjadikan perkara seperti ini besar dan memang menjadi agenda tersembunyi kami untuk membentuk pelajar menzahirkan perkara-perkara yang selama ini tidak nampak pada pandangan mereka. Sebenarnya sekiranya usaha dan galakan kita terhadap pelajar menjuruskan mereka kepada aspek keagamaan secara sukarela akan menampakkan minat pelajar yang lebih ikhlas. Apa yang memeranjatkan kami semua ialah pengumuman ketua warden tidak membenarkan pelajar berpuasa sunat isnin khamis kerana mengikutnya ramai pelajar mengambil kesempatan untuk tidak solat maghrib berjemaah kerana berbuka puasa di dewan makan. Begitu juga dengan solat sunat malam dengan memberi alasan pelajar mengambil kesempatan untuk melakukan perkara yang tidak baik. Kami amat terkilan kerana selama yang kami ingat tidak ada pelajar yang secara terang-terangan mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak kami suka.
Mungkin ada pelajar yang sebegitu tetapi bagi saya tidak perlu untuk mengadakan undang-undang tidak membenarkan pelajar melakukan ibadat tersebut. Ramai pelajar yang berjumpa kami tidak setuju tetapi kami tidak boleh berbuat- apa-apa. Kami juga tidak puas hati dengan saranan-saranannya yang berkehendakkan kami bekerja keras untuk pelajar. Kerja keras bagaimana lagi? Saya rasa warden-warden saya telah bekerja tersangat keras hinggakan kadang-kala terasa sudah teramat penat melayan pelajar. Kami benar-benar menyayangi pelajar hinggakan perkara-perkara seperti meminjamkan wang, menghulur derma dan membelanjakan wang untuk belanja pelajar memang menjadi amalan kami. Mungkin bagi pandangan setengah orang ianya tidak perlu dilakukan, tetapi kesan terhadap apa yang kami lakukan kepada mereka amat mendalam. Menjaga mereka melakukan prep waktu malam dan selalunya melewati pukul 12 malam adalah rutin harian kami. Bagi kami pukul 12 terlalu awal untuk tidur. Kami perlu menemani pelajar yang inginkan masa yang lebih untuk belajar. Kami sama-sama belajar dengan pelajar. Waktu prep malam keadaannya amat meriah dengan warden mengajar dan membimbing pelajar-pelajar dalam kursus mereka masing-masing. Perkara yang mereka lakukan ini bukan arahan daipada saya yang ketika itu ketua warden. Ia datang dengan semulajadi hasil hubungan yang rapat antara pelajar dan warden. Kami sangat positit dengan pelajar. Kami tidak mahu melihat perkara yang negatif yang dilakukan oleh sebilangan kecil pelajar. Kami mahukan perkara positif mendominasi dan menenggelamkan amalan negatif pelajar. Sedikit demi sedikit perkara negatif akan mereka tinggalkan akhirnya. Kami amat percayakan perkara itu akan berlaku. Yang penting kita mesti bersikap terbuka dan positif, memberi kepercayaan yang tinggi kepada pelajar dan memberi penghargaan. Ini akan melahirkan pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi dan keyakinan yang jitu.

Hal-hal seperti mengejutkan pelajar sembahyang subuh apa yang kami amalkan ialah dengan mengejut secara baik pelajar-pelajar untuk solat subuh. Perkara ini memang pelik bagi setengah orang. Kami akui kadang kala sehingga dua atau tiga kali kami terpaksa mengejut mereka. Kami hanya mengambil tindakan yang agressif sekiranya mereka masih tidak bangun untuk solat subuh. Bagi setengah orang ini seolah-olah tidak tegas tetapi pandangan kami berbeza. Kami rasa pelajar boleh terima sekiranya kami mengambil tindakan yang agressif setelah tindakan yang berhemah tidak dipedulikan oleh pelajar. Bukannya kami tidak pernah bertindak agressif, tetapi ianya amat berpatutun dan masuk akal. Saya sebagai ketua warden merangkap kaunselor pelajar juga memarahi pelajar sekiranya perlu. Konsep dendaan dan ganjaran bagi saya perlu di gunakan.

Berbalik kepada motivasi warden merudum. Para warden tidak tahu apa lagi yang perlu dibuktikan untuk meyakinkan bahawa mereka telah melakukan sehabis-habisnya untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar. Ini telah terbukti dengan peningkatan drastik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Kami juga sepanjang dua tahun menjadi warden telah dapat mengendalikan kursus Kepemimpinan Peringkat Negeri, dua kursus motivasi pelajar, dua kursus kepimpinan asrama, dua kali kursus motivasi matematik, satu kali kem perkampungan mentor mentee selain daripada banyak perkara yang tidak pernah dilakukan selama ini kami telah lakukan. Tidakkah mereka nampak perubahan asrama yang begitu ketara dengan bangunannya dicat baru, lanskap asrama yang cantik dengan tapak-tapak lanskap dan kolam mini yang indah di sekeliling asrama. Tidakkah mereka nampak dua kolam besar di depan asrama yang tidak pernah terlintas untuk dibersihkan telah kami bersihkan? Tidak cukupkah kami dengan bekerja tanpa mengharapkan balasan dari segi kewangan? Elaun warden saya dan guru disiplin telah diagihkan dan dipecah kan kepada 8 orang? Tidak cukupkah pengorbanan kami dengan membantu pelajar dari segi kewangan sekiranya mereka tidak punya wang? Tidak cukupkah... tidak cukupkah??? Apa lagi yang perlu kami korbankan lagi? Hidup saya semenjak jadi warden adalah untuk pelajar. Saya masih ingat lagi selepas saya berkahwin dan membawa isteri bersama. Saya ketika itu hendak sewa rumah di luar asrama supaya selesa. Tetapi ia menjadi kontroversi dengan tanggapan bahawa saya abaikan tugas di asrama. Oklah sayapun masuk ke asrama walaupun tinggal dalam bilik stor yang mempunyai bilik air yang kecil dan tanpa bilik... isteri saya menangis tetapi saya lebih pentingkan pelajar. Dalam banyak waktu saya berada di luar rumah. Saya hanya balik ke rumah (tidak layak dipanggil rumah) untuk sembahyang mahrib kemudian saya akan keluar semula dan balik dalam pukul 1 pagi ke atas... kejamnya saya pada isteri. Beberapa kali saya perasan isteri saya menangis dalam tidurnya. Isteri saya seorang emas yang banyak bersabar dan memberi peluang kepada saya untuk saya melakukan apa yang saya suka tetapi dalam keadaan seperti ini mungkin dia kurang boleh terima. Apakah pengorbanan seperti itu tidak cukup??? Apa yang `orang itu’ nak lagi??? Sangat benci untuk mengungkit apa yang telah dilakukan. Ini bukan dasar kami bekerja, tetapi kalau dipertikaikan kita akan sebut satu persatu. Sebelum kami memegang asrama ramai pelajar yang telah dihukum dan dibuang asrama, banyak kes pukul dan lari dari asrama. Apabila hendak cuti sekolah ramai pelajar yang lari dari asrama kerana takut dipukul sehari sebelum cuti. Perkara-perkara ini tidak berlaku ketika kami menjaga asrama. Perhubungan pelajar dengan warden amat akrab. Kami tidak bermusuh dengan sesiapa. Ibubapapun amat berpuas hati cara kami menjaga anak mereka. Kami melayan ibubapa dengan baik sekali. Kami tidak pernah menghalau ibubapa walaupun mereka datang waktu malam atau setelah tamat waktu melawat kerana ingin berjumpa anak mereka macam setengah warden buat. Kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan ibubapa pelajar. Kami jadikan asrama sebagai satu keluarga yang besar dan mengamalkan kasih sayang antara satu sama lain. Semua orang merasai suasana itu. Kesal dan amat kesal apabila semua kerja-kerja itu seolah-olah tidak nampak oleh orang-orang yang sengaja mahu melihat keburukan.

Konflik bertambah rumit apabila kes pelajar keluar asrama untuk ke pekan dan pulang ke rumah telah dikritik oleh ketua warden baru. Dia tidak setuju pelajar dibenarkan keluar dari asrama tanpa pengetahuan dia. Kami bersepakat untuk tidak lagi membuat apa-apa keputusan tentang apa yang berlaku di asrama selepas itu. Apabila pelajar ingin mendapatkan kebenaran untuk lakukan sesuatu kami mengarahkan kepada mereka untuk berjumpa ketua warden baru. Maka ramailah pelajar ke rumah warden baru itu untuk mendapatkan kebenaran itu dan ini. Akhirnya dalam satu mesyuarat dia telah meluahkan bahawa dia penat bekerja melayan kehendak pelajar. Semua masalah dia perlu selesaikan. Sedangkan menurut katanya dia telah mengimamkan pelajar bersolat takkan pula semua perkara lain dia perlu ambil tahu? ASTAGHFIRULLAHALAZIM... Bagi kami, kami tidak terima kata-katanya ini. Sedangkan sebelum dia masuk ke asrama di kalangan kamilah yang menjadi imam dan tidak pernah pula bersungut dan mengeloh. Memang tidak pernah kami mengeloh kerana kami suka melakukan kerja-kerja ini. Di antara kamilah yang mengejutkan pelajar dan di antara kamilah juga yang menjadi imam... Kerja membantu manusia dan memanusiakan manusia. Konflik dan tidak puas hati semakin lama semakin hangat. Motivasi warden menurun begitu teruk. Pelajar nampak kesan yang kami terima. Apa yang mereka ingin lakukan tidak dapat kami luluskan kerana kelulusan apa-apa aktiviti adalah terletak kepada kuasa ketua warden. Akhirnya asrama sunyi dan sepi tanpa aktiviti apa-apa. Kami betul-betul mati akal dan buntu dan rasanya tidak perlu lagi terus duduk di asrama tanpa apa-apa aktiviti. Kehidupan pelajar begitu kosong dan membosankan.

Pada suatu hari semua warden berkumpul di bilik kaunseling untuk membincangkan sama ada kami perlu terus menjadi warden atau meletakkan jawatan beramai-ramai. Perdebatan hangat di kalangan mereka. Saya hanya memerhatikan gelagat mereka. Mereka begitu emosional. Tekanan adalah lebih kepada untuk meninggalkan asrama. Tetapi ada beberapa warden yang begitu sedih kerana dia tahu sekiranya kami meninggalkan asrama maka tiada siapa yang akan mengambil tahu hal pelajar selepas ini. Dua daripada kami menangis macam budak-budak. Mereka tidak dapat bayangkan sekiranya kami meninggalkan asrama yang sedang dibina. Melihat bunga-bunga yang sedang mekar dengan dibajai dan disirami dengan penuh kasih sayang tiba-tiba terus mengambil keputusan untuk ditinggalkan. Akhirnya kataputus dibuat iaitu meninggalkan asrama. Saya sedih, benar-benar sedih melihat keadaan itu. Saya hilang kudrat untuk menangani masalah itu. Saya mengalah dan saya sendiri sebenarnya hilang terus motivasi dan tiada lagi bersemangat.

Balik dari sekolah semuanya murung dan tidak bermaya. Mereka terus mengemas bilik masing-masing dan memasukkan barang-barang dalam kotak untuk membuat persiapan meninggalkan asrama. Pelajar kehairanan dan tertanya-tanya apa yang berlaku. Mereka tidak membenarkan kami keluar dari asrama. Bagi mereka kalau kami hendak keluarpun biarlah mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dulu. Beberapa warden asrama menangis tetapi tidak menjawab soalan dan luahan pelajar. Mereka terus membisu hanya meminta maaf kepada pelajar kerana terpaksa membuat keputusan sedemikian rupa. Sebenarnya pelajar tidak tahu apa yang berlaku di antara kami. Tidak perlu rasanya menceritakan kepada pelajar tentang cerita-cerita buruk yang berlaku di kalangan guru. Ia benar-benar memalukan. Mereka meninggalkan asrama dengan keadaan sedih dan menyewa di luar. Maka tinggallah saya seorang yang masih tinggal di dalam kerana saya tingal di kuarters sekolah yang baru siap dibina.. Saya berbincang dengan isteri saya untuk memohon pertukaran ke sekolah lain. Kebetulan pula ibu bapa saya tidak sihat dan mengharapkan saya pulang ke Klang. Sementara menunggu permohonan saya itu saya rasa lebih baik saya terus tinggal di dalam kuarters guru. Jika tidak amat menyukarkan untuk berpindah ke luar.





Akan disambung secepat mungkin...

6 September 2008, 2.45 pm

gambar Miss Kan dan barisan fasilitator yang banyak membantu saya. Ramai lagi yang tiada dalam gambar ini. Cuba cari mana saya?

sambung lagi... selamat membaca...


Sepanjang menjadi warden yang tidak berperanan, saya tidak dapat buat apa-apa untuk pelajar. Saya hanya mendengar rintihan pelajar dan hilang kuasa untuk melakukan apa-apa. Saya hilang kudrat dan tiada bermaya. Sehari demi sehari saya melihat keruntuhan pelajar. Banyak perkara yang tidak diambil perhatian. Asrama semakin kotor, pelajar semakin terbiar, perjumpaan pelajar dan warden hampir tiada lagi. Kegiatan merokok menjadi-jadi semula seperti dahulu. Pelajar menghisap rokok bermaharajalela. Pengawas tidak bermotivasi dan membiarkan kawan-kawan mereka membuat kesalahan demi kesalahan. Pelajar-pelajar baik menjadi mangsa. Saya tidak terdaya, sedih, tidak bermaya dan hilang kreativiti. Hari-hari saya lalui dengan kesedihan dan mengharapkan permohonan untuk bertukar sekolah cepat diluluskan.

Kematian ibu dan bapa

Tidak lama selepas itu ibu saya telah dimasukkan ke hospital. Maka ketika itu saya terus hilang tumpuan kepada asrama. Saya berulang-alik ke Klang untuk melihat ibu saya yang sakit. Ketika itu ibubapa saya mengharapkan saya kembali ke Klang. Saya beritahu mereka permohonan saya sedang diproses. Mereka nampak gembira kerana mereka sangat mengharap untuk saya kembali ke Klang dan tinggal bersama mereka. Ini kerana rumah kami di Klang sudah tiada siapa lagi kecuali ibubapa yang sudah agak tua. Saya memberi harapan bahawa saya akan bertukar ke Klang tidak lama lagi. Harapan tinggal harapan. Pada suatu hari saya mendapat panggilan menyuruh saya balik ke Klang secepat mungkin kerana ibu nazak. Saya terus memohon untuk balik awal dan bersiap-siap untuk pulang ke Klang. Sedang saya bersiap saya terima satu lagi panggilan telefon mengatakan bahawa ibu saya telah meninggal dunia. Gelap dunia rasanya sekejab. Saya terus balik ke Klang dengan perasaan yang bertambah sedih.

Apabila pulang semula ke sekolah sayapun berjumpa dengan pengetua dengan harapan saya ditukarkan segera. Tetapi menurut pihak jabatan, saya diperlukan lagi di sekolah tersebut. Saya memohon lagi dengan alasan bapa saya tinggal seorang di rumah dan amat memerlukan saya. Saya berhubung banyak kali ke jabatan dan mungkin rezki saya tiada maka permohonan saya senyap agak begitu lama. Malang lagi bagi saya selepas tiga bulan ibu saya meninggal dunia, saya menerima panggilan telefon bapa saya pula sakit teruk. Saya lebih bersemangat untuk berpindah, tetapi akhirnya ayah saya pergi dulu sebelum sempat saya berpindah. Bulan April 1994 saya mendapat surat mengatakan permohonan saya untuk berpindah ke Klang berjaya. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Rasanya tiada guna lagi saya balik ke Klang kerana tiada apa-apa lagi untuk saya balik ke Klang.

Rakan-rakan ramai yang datang membantu mengemas barang-barang untuk saya keluar dari rumah tersebut. Untuk pengetahuan semua percaya atau tidak saya berpindah keluar rumah hanya dengan satu kereta tanpa membawa apa-apa barang. Kesemua barang-barang saya dikemas dan dibungkus oleh pelajar dan kawan-kawan di sana. Mereklah juga yang mengangkut barang ke lori dan menghantar ke Klang serta membawa turun barang serta mengemas di rumah saya di Klang. Pelik bukan? Agaknya begitulah kebaikan dibalas dengan kebaikan. Saya sangat terasa kebaikan saya dibalas ketika itu. Terima kasih kawan-kawan dan pelajar yang saya sayangi.

Sekolah Baru

Kerja di sekolah baru bermaksud segala-galanya kena buat dari keadaan sifar semula. Kena bermula dari kosong. Sekolah ini lagi besar dan lagi ramai pelajarnya dan saya kira lebih mencabar. Hampir 70 peratus pelajar nya tinggal di luar asrama, membawa maksud sukar untuk mengawal dan sukar untuk memberi perhatian kepada mereka. Di tambah lagi pelajar bukan bumiputranya lebih ramai daripada sekolah lama. Persekitaran sekolah pula adalah di kawasan bandar. Cikgu yang mengajar sekolah ini tinggal bertaburan di merata tempat. Tidak seperti di sekolah lama di mana kami tinggal sekelompok, mudah untuk merancang dan melawat antara satu sama lain. Nampaknya segalanya sukar untuk dimulakan. Saya memulakan dengan banyakan bertemu pelajar dan mendapatkan banyak maklumat tentang guru dan pelajar di sekolah ini. Perkara yang paling saya ingin tahu ialah sikap guru disiplin sekolah ini. Malang sekali daripada maklumat pelajar guru disiplin sekolah ini amat ditakuti dan sangat garang serta tegas. Ramai pelajar tidak gemar dengan caranya. Dari penglihatan saya pula guru disiplin ini sukar untuk didekati, mulut agak celupar, lepas cakap dan mempunyai pengaruh besar terhadap guru-guru. Dia juga amat tidak mempercayai bidang kaunseling. Dari risikan saya kedatangan saya dianggapnya sebagai menyusahkan kerjanya sahaja.

Segala-galanya perlu dilakukan dari mula, seolah-olah seperti tahun pertama di sekolah lama. Keadaan di sini pula nampak berpuak-puak antara guru graduat dan guru tidak graduat, guru bengkel dan juga guru akademik semuanya nampak renggang dan tidak serapat di sekolah lama. Budaya sekolah juga amat berbeza. Keadaan pelajar perempuan dan lelaki juga amat renggang. Mereka tidak boleh berjumpa sebarangan. Percampuran mereka terbatas.

Kes terawal saya dapat ialah luahan rasa pelajar perempuan yang tidak berpuas hati dengan pelajar lelaki. Mereka selalu mengejek dan menggelar pelajar perempuan dengan gelaran yang tidak baik seperti perempuan sundal, pelacur, bohsia dan seumpamanya. Terutamanya apabila pelajar perempuan dalam perjalanan mereka ke asrama puteri. Pelajar lelaki akan menyorok dalam dormitori mereka dan menunggu pelajar perempuan yang mereka ingin kenakan. Apabila pelajar perempuan berkenaan melintas maka pelajar lelaki akan beramai-ramai keluar dari persembunyian mereka lalu menjerit sekuat-kuat hati mereka memanggil pelajar tersebut dengan nama-nama yang teruk. Mereka sangat tertekan dan tidak tahu apa perlu dilakukan. Begitu juga apabila mereka di dewan asrama. Saya dapat melihat sendiri keadaan di asrama di mana pelajar perempuan dan lelaki diasingkan dengan dinding besi sebagai penghadang. Ini bermakna pelajar lelaki tidak nampak pelajar perempuan begitulah sebaliknya. Adakah ini bermakna tiada masalah? Pelajar perempuan sering mengadu bahawa pelajar lelaki selalu membaling tulang ayam dan sebagainya ke seberang dinding hingga menyebabkan pelajar perempuan terpaksa membersihkan pakaian mereka kerana terkena kari atau kuah lain yang dibaling oleh pelajar lelaki. Lebih malang apabila mereka mengadu kepada warden, tiada tindakan berkesan yang diambil.

Saya mengambil agak lama untuk menjadi kaunselor yang berpengaruh. Tetapi saya cuba juga pada bulan ke lima saya di sekolah ini saya menganjurkan kursus motivasi untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya cuba mendapatkan kerjasama daripada guru-guru di sini untuk menjadi faislitator. Saya mempunyai masalah kerjasama di sini. Semasa latihan melatih kaunselor ramai yang kurang memberi komitmen. Sukar untuk melatih mereka. Pada waktu kursus dijalankan amat malang lagi ada fasilitator yang tidak datang menjalankan tugas mereka. Ada yang datang lewat dan berbagai maslah lain. Pelajar mendapat fasilitator yang bertukar ganti. Saya amat marah dengan keadaan ini. Sangat kecewa. Ini memberi kesan yang tidak baik kepada kursus anjuran saya. Seperti dulu-dulu juga saya tidak pernah memanggil mana-mana tenaga luar untuk membantu saya. Itulah cara saya bekerja. Pertama saya fikirkan kekangan kewangan. Saya malu untuk memanggil tenaga rakan luar tetapi tidak dapat memberi upah yang sepatutnya. Saya menerima keadaan ini memandangkan inilah projek pertama saya. Saya pun ketika itu kurang mengenali guru-guru. Guru-guru yang menjadi fasilitator adalah guru yang dicadangkan oleh pengetua untuk itu saya kira kebanyakan daripada mereka adalah tidak ikhlas. Saya akan cuba lagi.

Selepas menjalankan kursus motivasi, sesuatu yang saya tidak dapat terima berlaku. Saya sebenarnya sudah bersedia untuk itu namun masih tidak menerima. Semasa perhimpunan pagi dijalankan, guru disiplin telah memarahi pelajar kerana lambat beratur. Dia telah menengking pelajar dengan mengatakan, `nama saja baru kursus motivasi... motivasi basi!!!’ lebih kurang begitulah yang saya dengar dari corong pembesar suara. Ketika itu semua pelajar dan guru dengar. Saya rasa amat tercabar dan terlalu marah. Kenapa dikaitkan dengan motivasi? Kalau tidak diadakan kursus motivasi maka ianya tidak disebut. Saya rasa apa yang hendak disampaikan ialah kursus itu tidak membawa makna dan tak perlulah dibuat, Cuma buang masa sahaja. Itu pandangan guru disiplin. Pandangan yang mudah dan kurang ilmiah untuk dilontarkan.
Saya rasa nak menyerang dia ketika itu, tapi saya sedar saya akan kalah... sudah pasti... oleh itu sabar sahaja lah... Hati memberontak tidak terkata... bosan... bosan... bosan... sakit hati... meluat... tak adil... aduh... apakah nasib saya gelap di sini? Saya rasa saya tidak diperlukan langsung... sedih sangat... tiada penghargaan langsung...
Perhubungan dengan guru disiplin agak dingin. Masing-masing mencurigai antara satu sama lain. Dia kurang merapati saya begitu juga saya. Dia cuba untuk menjauhkan diri, saya faham dan saya biarkan keadaan itu berlaku. Kali ini agak lama untuk saya dapat mempengaruhi seorang guru yang bernama guru disiplin. Tindakannya terhadap pelajar sangat keras dan saya tidak pernah menegurnya. Pernah satu ketika saya melihatnya berdiri di atas meja membuka bajunya dan membuat flying kick kepada pelajar. Saya lihat pelajar itu terpelanting dan dia mencabar pelajar itu dengan angkuhnya... Saya tidak boleh terima tapi apakan daya. Saya perlu berlakon...Saya biarkannya dan ada kalanya saya menyokongnya walaupun tidak sepatutnya saya berbuat demikian. Saya faham sekiranya saya memberi komen atau mengkritiknya maka saya akan mencari masalah yang lebih besar dengannya. Saya teruskan sebegitu sehinggalah saya fikir masa yang amat sesuai untuk melakukan tindakan baru. Sementara itu saya hanya melakukan kerja-kerja biasa yang memberi impak yang biasa juga. Kerja-kerja seperti kursus kemahiran belajar, kursus pembimbing rakan sebaya selain daripada ceramah-ceramah biasa dan kaunseling di dalam bilik kaunseling.

Masa untuk Berubah
sambung yer nanti...

Pada suatu hari saya didatangani oleh guru disiplin untuk meminta tolong daripada saya. Dia mengatakan bahawa taman perumahannya ingin menjalankan kursus untuk anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan. Saya terima tawaran itu. Sejak itu dia sentiasa tanya khabar saya dan bertanya apa yang hendak dilakkukan dalam kursus tersebut. Saya nampak inilah satu-satu jalan yang boleh menukar persepsi dirinya terhadap kaunseling. Sayapun mengajarnya sedikit sebanyak modul dan apakah impak yang akan peserta terima sekiranya mereka menjalani kursus tersebut. Saya nampak dia berminat untuk menyaksikannya.

Apabila tiba masanya kamipun menjalankan kerja memberi kursus untuk anak-anak taman perumahan guru disiplin tersebut. Selama tiga hari dua malam kami menjalankan kursus tersebut, maka hubungan saya semakin rapat dan banyak perkara yang tidak saya ketahui telah saya ketahui kini. Pendekkan cerita kursus itu telah menjadi sangat berkesan. Respon yang saya dapat daripada pengerusi taman perumahan tersebut adalah dia mengatakan, `cikgu sekiranya saya ada satu juta ringgit, saya akan memberikannya kepada cikgu,’ itulah kata-kata yang saya ingat sampai kini. Dia begitu berterima kasih kepada saya dan rakan yang membantu. Tenaga kerja yang menjalankan kursus ini tidak ramai Cuma saya bersama rakan saya, tetapi ibubapa yang mengikuti kursus ini agak ramai. Mereka memberi kerjasama yang baik dengan memasakkan makanan yang enak untuk kami. Kursus ini berakhir dengan begitu tinggi kesannya terutama melibatkan emosi kerana isu yang dibincangkan pada akhir kursus adalah melibatkan isu-isu apa yang berlaku di taman perumahan mereka. Mereka berjanji untuk membantu rakan-rakan mereka yang telah jauh menyeleweng. Mereka berjanji akan melakukan sesuatu apabila mereka balik ke taman perumahan mereka kelak.

Saya sudah menjangkakan insiden dan peristiwa ini akan memberi rahmat yang besar kepada saya. Mulai saat itu guru disiplin itu nampaknya mengkagumi saya. Banyak benda yang ditanya kepada saya. Nampaknya dia ingin belajar banyak perkara. Saya melayannya dengan baik sekali. Dia selalu memberi maklumbalas tentang anak-anak remaja taman perumahannya yang telah mengikuti kursus kami. Dia mengatakan bahawa pelajar –pelajar itu membuat mesyuarat di surau. Memanggil rakan-rakan mereka untuk menyemarakkan surau dan anyak aktiviti masyarakat yang mereka lakukan. Mereka juga menubuhkan jawatankuasa untuk menjadi pembantu kenduri kendara di tempat mereka. Sebelum ini amat sukar untuk mendapatkan kerjasama anak-anak muda taman itu untuk menjadi pembantu kenduri kendara. Tetapi kali ini amat mudah untuk mendapatkan kerjasama mereka. Pelajar-pelajar ini amat suka untuk membuat kerja-kerja rewang (rewang adalah kerja-kerja kenduri-kendara).

Antara aktiviti yang menjadi pujian pihak jiran muda negeri ialah pelajar ini telah mengendalikan hari kemerdekaan di taman perumahan tersebut. Mereka menjadi penganjur dan ibubapa pula menjadi tetamu dalam program tersebut. Ibubapa amat gembira dengan projek pertama itu selepas balik dari kursus. Kesemuanya peserta kursus yang kendalikan, daripada pa system, susunan kerusi, penyediaan makanan dan banyak perkara lain. Ibubapa Cuma memudahkan keperluan yang mereka minta. Selepas itu mereka mengadakan kursus `adikku sayang’ di mana semua pelajar darjah tiga hingga enam diberi kursus cara belajar dan kursus kesedaran selama dua hari satu malam di perkarangan taman perumahan tersebut. Hasil daripada kursus itu, mereka amat rapat dengan adik-adik mereka di taman perumahan tersebut. Adik-adik mula pandai bermesra dengan abang dan kakak fasilitator. Mereka rasa satu kerugian dan bertanya pada saya kenapa perkara ini tidak dilakukan lama dulu. Nampaknya mereka sudah merasai nikmat hidup berkasih sayang. Mereka seronok dengan adik-adik mereka. Mereka kini main bersama, adik-adik mula menegur dan memanggil-manggil nama mereka. Ketua segala aktiviti ialah Paan. Seorang remaja yang dulunya mengaku terlibat dengan banyak masalah penyelewengan yang dilakukannya secara rahsia. Kini tumpuannya adalah untuk menjadikan hidupnya lebih bermakna. Ramai juga yang hairan dengan perubahan dirinya. Duit gajinya tidak lagi dihabiskan dengan benda-benda yang tidak berguna.

Untuk kumpulan ini, kami menghabiskan masa menjalankan sebanyak tiga kali kursus. Kumpulan ini telah menjadi satu model bagi kumpulan remaja atau kumpulan jiran muda yang lain. Paling mengharukan ialah apabila tiba bulan Ramadhan. Mereka akan menyemarakkan masjid dengan aktiviti-aktiviti kuliah agama. Mereka juga mengadakan gotong royong memasak bubur lambok dan diedarkan kepada semua masyarakat islam di taman perumahan tersebut. Hebat bukan? Saya sendiri kurang percaya apa yang berlaku. Kesan terhadap kursus amat hebat. Di sini saya nampak bahawa untuk mewujudkan situasi seperti ini kita sebagai orang dewasa perlu mendampingi budak-budak muda ini. Buat sesuatu program untuk mereka yang boleh menarik minat mereka. Mereka akan mengikut kata kita dan menarik rakan-rakan mereka yang lain untuk menjadi seperti mereka. Banyak kes-kes seperti hidu gam dan bohsia dapat ditangani oleh mereka dengan baik tanpa mengkusutkan lagi isu itu.

Apa yang saya dengar berita yang saya terima dari jauh adalah sesuatu yang menyedihkan. Kumpulan ini dapat bertahan selama hampir lima tahun. Pelbagai aktiviti mereka lakukan termasuklah mendaki gunung. Aktiviti mereka dapat menarik ramai adik-adik mereka. Ada dua sebab kumpulan ini tidak bertahan. Pertama disebabkan oleh kematian ketua mereka iaitu Paan. Paan telah meninggal dunia akibat kemalangan. Motosikal yang dinaikinya terbabit dengan kemalangan ngeri dan dia mati di tempat kejadian. Kematiannya adalah tanda-tanda akan berkuburnya kumpulan ini. Ketika itu saya sudah jauh dari mereka dan tidak dapat membimbing dengan secara dekat. Saya ketika itu telah berpindah ke sekolah lain yang jauh dari daerah Klang. Kematiannya juga membuatkan saya teringat tentang azamnya untuk meninggalkan tabiatnya yang saya tidak akan nyatakan disini. Biarlah ianya menjadi rahsia saya, kerana sesiapa yang berkenaan sekiranya membaca cerita ini akan mengenali beliau. Saya harap rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. sebelum saat-saat kematiannya arwah juga amat merapati ayah dan keluarganya yang mana selama ini dia mengabaikan keluarga terutama ayahnya. Itu apa yang saya dengar dan diceritakan oleh orang yang saya percayai. Saya gembira menjadi antara penyumbang kepada perubahan ketara anak muda ini. Alfatihah untuk pejuang ini.

Satu perkara lagi yang amat saya kesali yang menjadi penyebab tumbangnya kumpulan ini hinggakan setiap ahlinya tidak lagi bersatu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Ibubapa kumpulan ini telah berpecah dan bertelagah teruk akibat kekalutan politik sekitar 1998. mereka telah menubuhkan kem berasingan dan tidak lagi bersatu di bawah satu payong. Mereka telah bercakaran dan tidak ada masa untuk melihat perkembangan anak-anak mereka. Perpecahan melayu amat teruk dan menjejaskan segalanya. Apabila saya berkesempatan bertanyakan kepada bapa salah seorang peserta kumpulan ini apabila saya berjumpa dengannya dia tidak mempunyai jawapan. Dia sendiri tidak mampu untuk memperbaiki keadaan itu. Dia hilang kawalan dan hanyut dengan perkembangan politik yang amat dasyat ketika itu. Tiada lagi kemesraan seperti dulu, yang ada cuma umpat dan keji serta perasaan serong terhadap satu dengan yang lain. Bapa peserta ini menangis dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia mencadangkan saya untuk memperbaiki keadaan ini. Saya tidak nampak ianya baik untuk saya kerana ketika itu saya mempunyai visi dan misi yang lebih mencabar di sekolah baru. Saya juga mempunyai masalah yang hebat ketika itu. Saya tidak mahu membebankan diri saya dengan masalah yang dicari. Saya biarkan ianya berlalu dan tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Saya tidak bertanya dan pergi ke tempat itu hingga hari ini. Apa yang pasti yang membanggakan saya ialah inilah satu projek yang boleh dijadikan contoh tentang intervensi yang dilakukan oleh seorang kaunselor pelajar yang berkhidmat di sekolah mampu untuk merubah kehidupan di dalam satu komuniti di luar sekolah. Sesuatu yang sepatutnya seorang kaunselor beri sumbangan ke arah membina masyarakat penyayang.

Mendominasikan Peranan di Sekolah

Sementara itu di sekolah pula semakin hari saya mendapat kepercayaan daripada pihak pentadbir untuk melakukan banyak lagi perubahan untuk kebaikan pelajar. Selepas kursus untuk taman perumahan tersebut, guru disiplin ini mengikut ke mana saja saya pergi. Tiap kursus yang saya anjurkan dia pasti akan bersama. Ini menjadikan dia seorang yang juga pakar dalam mnejalankan kursus. Perubahan ketara berlaku juga pada dirinya. Ramai orang hairan melihat perubahannya daripada seorang yang ganas menerajang dan melempang pelajar menjadi seorang yang di sukai oleh pelajar baik lelaki mahupun perempuan. Dia menjadi seorang guru disiplin yang amat di sayangi oleh semua pelajar. Dia mudah didekati dan selalu bergurau dengan pelajar. Ini amat menghairankan setengah guru-guru di sekolah itu. Seperti yang dijangkakan, tidak semua guru suka dengan perubahan ini. Ramai yang mengatakan bahawa guru disiplin ini telah dipengaruhi oleh saya. Bagi saya dia telah dengan kuasa yang ada padanya ingin berubah dan mengambil keputusan untuk dirinya untuk berubah. Saya Cuma alat untuk menjadikan perkara ini berlaku. Semuanya kehendak Allah s.w.t. seingat saya dia mengikuti setiap kursus saya selama lebih 4 tahun. Tahun paling banyak kami mengadakan kursus ialah pada tahun 1997. pada tahun itu kami tidak tahu di mana datangnya tenaga yang hebat hingga kami mampu mengadakan kursus sebanyak 13 kursus yang berbentuk 3 hari dua malam. Ini termasuklah kursus untuk pelajar nakal, pelajar lemah dulunya dinamakan sebagai kursus galus, kursus fasilitator, kursus kepemimpinan, kursus trainers, kursus peningkatan intelektual, kursus asrama, kursus pelajar tingkatan empat, kursus team building di mana ketika itu sebanyak dua buah kelas tingkatan lima mengadakan kursus team building untuk memulihkan kelas mereka daripada konflik selain dari memotivasikan kelas tersebut. Dan berbagai kursus lagi. Untuk pengetahuan pembaca kebanyakan kursus-kursus ini dijalankan dengan perbelanjaan sumbangan pelajar. Ramai yang bertanya dari mana datangnya duit? Contohnya seperti kursus team building kelas, pelajar ini memohon kebenaran daripada pengetua untuk mengutip derma dan menjalankan aktiviti perniagaan seperti apples day, chocholate day dah seumpamanya. Saya begitu terharu dengan usaha mereka untuk mendapatkan wang bagi membiayai kursus yang ingin mereka adakan. Rata-rata satu kepala peserta diperlukan sebanyak RM 70 untuk menampung bas pengangkutan, tempat kursus dan makan.

Tahun 1997 adalah tahun di mana saya tidak sedar bahawa kami telah banyak buat aktiviti hingga saya rasakan ianya keterlaluan. Barang diingat semua aktiviti itu saya tidak menjemput tenaga luar. Pada ketika ini kami berjaya membentuk team yang kuat untuk membantu Unit Bimbingan dan Kaunseling untuk melakukan perubahan. Saya telah kenalpasti seramai hampir lapan orang guru yang setia dengan unit dalam membantu pelajar. Mereka amat komited dengan tugas mereka. Sekiranya hendak dibandingkan dengan sekolah lama, saya kira masih baik sekolah lama. Di sini banyak guru terlalu sibuk dengan aktiviti perniagaan selepas waktu sekolah. Untuk pelajar mereka rasakan cukup sekadar dalam masa waktu persekolahan. Sebenarnya tahun 1997 juga adalah tahun untuk membuat perubahan drastik untuk sekolah tersebut.

Pada tahun tersebut kami memulakan projek Trainers. Trainers adalah terdiri daripada kumpulan pemimpin pelajar iaitu Majlis Perwakilan Pelajar yang dipilih melalui pilihanraya, pembimbing rakan sebaya (PRS), pengawas sekolah, biro asrama dan pelajar high risked. Kami membuat kursus dalam 3 fasa. Fasa pertama adalah kursus kepemimpinan pelajar, fasa kedua memberikan latihan dengan input-input kemahiran seperti komunikasi dan psikometrik dan mengenal manusia dan fasa ketiga adalah penggubalan modul. Nampaknya apabila kita buat banyak program dengan mereka, mereka akan merapati kita. Ketika itu bilik kaunseling penuh dengan pelajar dari pelbagai latarbelakang. Bukan untuk pengawas, juga bukan untuk PRS tetapi juga untuk semua pelajar. Mereka nampak semua pelajar masuk ke dalam Bilik Kaunseling itu. Ini memberi gambaran bahawa sesiapa yang masuk ke dalam bilik kaunseling itu bukan bermakna bermasalah. Mereka datang ke dalam bilik tersebut untuk bersosialisasi, bertukar fikiran dan menyusun strategi untuk menjadikan sekolah lebih selamat dan tiada pergaduhan antara pelajar.

Keadaan yang dapat dilihat pada ketika itu ialah pelajar membancuh minuman dan makan roti dan makanan ringan dan melakukan berbagai kerja. Bilik Kaunseling amat meriah dengan kedatangan pelajar. Sekiranya ada tetamu yang datang, pelajar PRS akan menyediakan minuman dan melayan mereka. Pernah satu ketika bilik ini dilawat oleh seorang dj radio dan menceritakan pengalamannya memasuki bilik saya dalam rancangan di dalam radio. Begitu juga seorang penerbit radio television malaysia datang sebanyak dua kali untuk membuat penggambaran dalam bilik saya dan dikeudarakan untuk rancangan dalam television pendidikan. Bangga, memang bangga sekali. Dalam masa tiga bulan saya kira tiga kali pembimbing rakan sebaya saya masuk tv. Bila PRS dah agak popular maka mulalah ramai yang cari kesalahan PRS. Banyak lagi persatuan yang hidup segan mati tak mahu dan pelajarnya pula banyak yang terlibat dengan disiplin, tetapi tiada siapapun yang memandang. Tetapi bila budak PRS lakukan sesuatu yang bukan kesalahan berat, maka hentaman dan serangan datang dari atas dan bawah. Banyak pula nama-nama samaran untuk PRS yang telah dicipta khas seperti Perosak Rakan Sebaya, Perogol Rakan Sebaya, Poyo Rakan Sebaya dan berbagai lagi. Akhirnya setelah berpakat dengan pelajar maka kamipun menukar nama PRS kepada PEERS yang membawa maksud Pembimbing ElitE Rakan Sebaya. Bila tukar nama nampaknya tiada kedengaran lagi nama-nama pelik ciptaan manusia yang tidak senang melihat orang lain bahagia. Lucu juga bila mengenangkan perkara ini.

Dalam kumpulan Trainers segala macam ketua dikumpulkan di sana. Ketua pelajar nakal yang bernama Apek (panggilan sebenar), ketua pengawas, ketua biro asrama, ketua MPP dan juga ketua PEERS. Pada ketika itu ketua PEERS adalah imam besar di asrama. Dia selalu kena kutuk dengan pelajar yang bernama Apek ini. Digelar dengan berbagai nama timangan yang menyakitkan. Semasa dalam kursus trainers saya meletakkan dia dengan Apek. Sejak itu saya nampak dia boleh bergurau dan mengutuk semula si Apek tu. Dia sendiri mengaku bahawa sebelum kursus dia amat takut dengan Apek dan sentiasa mengelak untuk bertembung dengan Apek kerana Apek akan sentiasa mencari jalan untuk mengutuknya dengan menggelarkannya Poyo, Gipang (Gila Pangkat), anjing cikgu dan berbagai lagi. Ini yang saya fikir tidak boleh diteruskan. Saya yakin pelajar yang berjawatan di sekolah perlu menikmati kenikmatan bersekolah seperti rakan mereka yang lain. Sekiranya pelajar ditekankan dengan tugas dan jawatan mereka, mereka akan tidak disukai oleh rakan mereka sendiri. Mereka akan sentiasa merasa terancam. Strategi saya dan guru disiplin adalah untuk mencampur adukkan mereka. Kami mahukan mereka berkawan dan berkenalan, boleh tegur sapa dan bergurau. Sekiranya pelajar nakal buat masalah kami akan menghantar Apek dan kawan-kawannya untuk membuat perundingan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini di asrama dan sekolah. Selalunya pelajar lebih tahu politiking yang berlaku di sekolah dan di asrama. Cikgu adalah orang yang terakhir akan tahu. Lebih malang lagi bila kejadian memalukan berlaku barulah cikgu tahu dan baru nak ambil tindakan. Selama saya berkhidmat di sana strategi ini amat berkesan dan kurang kekacauan yang berlaku kerana kami mengenal baik dengan mereka. Mereka juga kami anggap sebagai rakan yang membantu, bukan musuh. Mereka dilihat amat menghormati kami. Contohnya apabila kes-kes yang melibatkan rokok mereka berjanji hanya merokok di luar sekolah. Masalah tidak selesai dalam jangkawaktu yang singkat, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak melakukannya di kawasan sekolah untuk permulaan amat memadai. Banyak kes yang telah mereka berikan kerjasama yang baik. Kami amat terhutang budi dengan kumpulan ini. Mereka datang ke sekolah dengan memberikan masalah yang minima kepada kami. Seronok bekerja dengan mereka, lebih-lebih lagi apabila melibatkan juga dengan guru disiplin.

Apabila rakan-rakan kaunselor datang ke sekolah saya, ramai di antara mereka tidak mempercayai apa yang mereka lihat. Antarnya ialah guru disiplin duduk di dalam bilik kaunseling bersama kaunselor pelajar. Ya, itulah hakikatnya. Sejak tahun 1996 hingga tahun 2000 begitulah keadaannya. Pelajar juga seronok apabila berinteraksi dengan guru disiplin. Guru disiplin juga tahu menggunakan kaedah komunikasi yang disarankan oleh Eric Berne iaitu Parent Adult Child. Beliau juga mempunyai pengetahuan yang banyak tentang teori kaunseling. Beliau juga saya akui amat berkesan menjalankan sesi kaunseling. Saya pernah melihat beberapa kali beliau menjalankan sesi kaunseling tak kira apa latarbelakang pelajar baik lelaki mahupun perempuan. Begitu juga ibu bapa pelajar. Selalunya sesi yang dilakukannya berakhir dengan kejayaan. Saya bangga dengan apa yang saya sudah lakukan. Sebenarnya apabila saya tiba di sekolah ini saya bertekat untuk menjadikan beliau sebagai guru disiplin contoh. Hakikatnya saya berjaya. Beliau telah beberapa kali dijemput untuk menjadi panel dan penceramah di majlis PEKAS iaitu Persatuan Kaunseling Selangor, Jabatan Pendidikan Selangor juga Kementerian Pendidikan Malaysia selain daripada puluhan aktiviti Pejabat Pendidikan Daerah. Namanya memang ramai yang mengenalinya. Dia telah menjalankan dan menyelesaikan permasalahan disiplin dengan menggunakan kaedah kaunseling. Orang yang mengenalinya sebelum ini amat terperanjat apabila melihatkan perubahan yang ketara pada dirinya. Apa yang menjadikannya lebih istimewa dia juga adalah seorang motivator yang hebat. Beliau mampu menjalankan kursus tiga hari dua malam untuk kursus-kursus kepemimpinan, pembimbing rakan sebaya, pelajar nakal, galus, keibubapaan, team building, kemahiran belajar dan berbagai lagi. Just name it. Bagaimana ianya berlaku? Ya... ini sebab sikapnya yang ingin menguasai ilmu. Untuk pengetahuan pembaca dia adalah seorang yang amat setia dengan saya. Semua kursus yang dikendalikan oleh saya akan disertai olehnya. Dia melihat dan mengkaji hinggakan dia mampu melakukan seperti mana saya boleh buat. Dia kini banyak melibatkan dirinya dengan kursus-kursus anjuran pelbagai pihak. Apabila saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pensyarah sekarang, selalu saya amat yakin bahawa sekiranya saya mampu untuk melatih guru disiplin hinggakan menjadi motivator dan penceramah yang baik juga boleh mengendalikan sesi kaunseling, maka saya tidak ragu-ragu dapat melatih juga pelajar saya yang sememangnya sudah berada dalam bidang ini. Inilah yang sedang saya usahakan sekarang. Saya mahu menjulang nama UPSI sebagai tempat melatih kaunselor yang terunggul. Saya mahu semua pelajar yang keluar dari UPSI akan mendapat kemahiran yang amat tinggi yang diperlukan oleh pihak sekolah. Saya malu untuk melahirkan pelajar yang tidak tahu membuat kerja-kerja yang diperlukan oleh seorang kaunselor. Namun, batasan dan kekangannya juga ada. Tidak semua orang suka apa yang saya buat. Ada juga usaha-usaha untuk menggagalkan usaha saya ini. Sedih... amat sedih... dan yang lebih sedih ada juga pelajar yang menikam dari belakang. Setelah usaha yang diakukan terlalu banyak dan sangat terasa letihnya sebelum anugerah demi anugerah diterima, namun betullah apa yang orang nasihatkan pada saya. Aziz, semakin tinggi kau pergi semakin ramai orang nak tengok engkau jatuh... Benarkah begitu??? Tapi apa yang telah saya lakukan kepada mereka? Apa yang telah saya menyusahkan mereka? Saya tidak menyusahkan sesiapa... saya bangun dengan sendiri, saya tidak menjatuhkan sesiapa... saya juga tidak pernah dengan bangganya mengatakan bahawa pelajar hebat saya yang melatih mereka... Memang betul...tidak semua pelajar yang berminat dan tidak semua pelajar yang berkebolehan. Namun kudrat yang ada saya akan salurkan usaha saya ke arah itu. Setakat ini sudah menampakkan kejayaan yang sedikit yang saya boleh lihat dan rasai. Ramai kaunselor di luar sana yang menyaksikan kebangkitan pelajar saya. Mereka mengaku bahawa pelajar saya mampu melakukan berbagai kerja dari pengurusan, dokumentasi dan juga melakukan program dan menjalankan kursus. Mereka jelas berbeza daripada kaunselor yang lahir dari universiti lain. Saya tidak mahu mereka tahu dari segi teori sahaja tetapi juga praktikalnya. Saya akan terus berjuang dan berjuang untuk melatih dan menyebarluaskan kemahiran yang saya ada untuk tujuan itu.

Dalam membicarakan guru disiplin ini, sebenarnya banyak kes-kes yang pelik yang saya kira sukar untuk diselesaikan dapat kami selesaikan. Saya akan pergi satu persatu tentang kes-kes tersebut. Antara yang paling tidak saya lupakan ialah apabila pelajar Melayu di sekolah saya telah dipukul oleh sekumpulan pelajar India dari Teluk Panglima Garang. Merek datang dengan menaiki kereta Proton Saga dan membelasah pelajar dengan kayu hoki. Ramai pelajar yang bertempiaran lari kerana mereka menyerang secara membabi buta. Asalkan pelajar melayu mereka akan menghayunkan kayu hoki mereka untuk mencederakan mereka. Setelah disiasat kami mendapati bahawa kumpulan ini telah dipanggil oleh pelajar India dari sekolah kami. Mereka tidak puas hati apabila pelajar melayu memanggil mereka dengan panggilan Kling. Saya memanggil ketua pelajar India yang juga mempunyai banyak kes disiplin. Pelajar ini tidak di masukkan ke dalam kumpulan Trainers kerana kesukaran untuk mendapatkan kerjasamanya. Tetapi perhubungan kami dengan pelajar ini amat baik. Kami juga merasai dihormati oleh pelajar ini walaupun mereka dikategorikan oleh guru lain tidak makan diajar. Antara pelajar yang masih diingati yang banyak membantu adalah seperti Patmanadan, Joshua, Robert dan beberapa orang lagi yang saya tidak ingat nama mereka. Mereka selalu menghabiskan masa selepas sekolah dan bersembang dengan kami dalam bilik kaunseling. Kami tidak pernah mencari kesalahan mereka, Cuma kami selalu membincangkan apa yang berlaku kepada mereka. Kami menasihat mereka secara tidak langsung.

Berbalik kepada isu pergaduhan tadi, saya berbincang dengan guru disiplin untuk mengajak tiga orang pelajar India untuk bermalam di pantai Morib. Ini satu aktiviti yang memang tak masuk di akal. Kamipun menyusun strategi dan mengharapkan supaya pelajar tersebut bersetuju. Tanpa kesukaran cadangan kami itu telah disambut dengan tangan yang terbuka. Mereka seronok untuk pergi ke sana dengan kami. Mereka juga berjanji untuk membawa kari yang disediakan oleh ibu mereka. Mereka mencadangkan untuk menangkap ikan dengan menarik pukat di dalam laut yang cetek itu. Bila tiba masanya kami bertolak ke sana dan singgah di rumah pelajar tersebut di Teluk Panglima Garang untuk mengambil mereka. Perbualan kami dengan ibubapa mereka kami dapat merasakan bahawa ibu bapa mereka agak pelek dengan apa yang mereka lihat. Mereka mengatakan tidak pernah berlaku anak mereka pergi berkhemah dengan guru yang berbangsa melayu. Selalunya mereka akan berkhemah dengan rakan-rakan mereka dari bangsa india juga. Daripada apa yang kami lihat ibubapa mereka sungguh bangga anak mereka `berkawan’ dengan guru disiplin dan dan guru kaunseling. Kami nampak persediaan mereka untuk aktiviti ini sangat rapi. Bapa dan abang mereka juga memberi tips-tips dan nasihat untuk dibawa bekalan ke sana. Ibu mereka juga menyiapkan rempah kari untuk menggoreng ikan dan ketam jika ditangkap nanti.

Kami tiba di pantai Morib bersama tiga orang pelajar India pada waktu petang dan membuat persediaan menyediakan khemah dan perkara yang perlu. Saya dan guru disiplin tidak membincangkan langsung perkara yang berlaku pada pelajar sekolah kami baru-baru ini yang melibatkan pelajar melayu kena pukul dengan pelajar india. Kami banyak cerita hal-hal yang mereka suka bualkan. Selepas isyak aktiviti menarik pukat pun dijalankan. Pada saya inilah pengalaman yang pertama saya rasakan. Meletihkan juga kerana terasa sangat berat untuk menarik pukat yang direntang memanjang pantai. Apabila sampai di pantai saya tak percaya apa yang kami dapat. Rupa-rupanya banyak ikan dan ketam yang kami dapat. Malam itu kamipun masak ikan dan ketam dengan kari yang pelajar itu bawa. Memang sedap, terasa karinya. Terasa keletihan yang dialami sebelum ini berbaloi. Malam itu kami bercerita berbagai topik hinggalah kami rasa boleh masukkan isu tentang pergaduhan tersebut. Kami tidak mengarahkan dan marahkan apa-apa, Cuma kami mengeloh dan menceritakan kepada mereka bahawa kami tertekan dengan guru-guru yang menyalahkan kami kerana pergaduhan itu. Kami sengaja mereka cerita untuk meraih simpati mereka. Kami nampak mereka mengasihani kami. Kami mohon mereka bantu kami dengan memberitahu rakan-rakan mereka tidak lagi datang ke sekolah kami untuk mengugut pelajar melayu kami. Ramai pelajar yang tidak terlibatpun merasa tidak selesa kerana gangguan kumpulan itu. Mereka memahami dan tidak banyak berhelah. Mereka berjanji untuk membantu. Kami rasakan lakonan kami berjaya dan mendapat jaminan mereka bahawa perkara ini akan diselesaikan oleh mereka. Cuma mereka mahukan pelajar melayu tidak lagi memanggil mereka dengan perkataan kling dan saya pula berjanji untuk menyelesaikan perkara itu. Mereka setuju untuk bersemuka dengan pelajar tersebut.

Hai.. dah letih nampak? Cukuplah setakat ini dulu yer... sambung kemudian... :)



Apabila sampai di sekolah saya telah memanggil wakil pelajar melayu yang berkonflik dengan pelajar india ini. Dia meminta tempoh untuk berbincang dengan kawannya. Akhirnya mereka bersetuju dengan syarat mereka semua yang terlibat dijemput sama. Saya bersetuju, maka kesemua mereka berkumpul di dalam bilik kaunseling. Seramai 16 pelajar berkumpul di dalam bilik saya, 4 orang pelajar India dan 12 orang pelajar melayu. Inilah penyelesaian konflik yang paling mencabar. Saya tak tahu untuk memanggil sesi ini sesi kaunseling atau apa, tetapi apa yang saya tahu saya gunakan segala kepakaran untuk mendengar segala rasa tak puas hati antara dua kumpulan ini. Pelajar melayu banyak menyerang pelajar india dengan tuduhan-tuduhan yang berlebihan. Manakala pelajar india nampaknya lebih defensif. Kesian pula saya tengokkan keadaan mereka. Saya dapat mengawal ketegangan yang timbul. Sekiranya suara mereka meninggi, saya akan ingatkan mereka supaya turunkan suara mereka dan bercakap pada aras adult-adult. Percaya atau tidak sesi itu berjalan dari pukul 10.30 hingga ke pukul 2.30 iaitu kira-kira empat jam. Segala teori saya gunakan dan habis kepakaran dan kesabaran saya telah saya peruntukan. Saya menahan kemarahan saya yang begitu memuncak kadang kalanya kerana pelajar melayu yang berlebihan mereka sangat provokasi tanpa mereka sedar tindakan mereka mengundang masalah kepada keseluruhan pelajar melayu yang tidak bersalah. Mereka tidak sedar apabila berlaku perakara yang kritikal seperti pelajar melayu diserang, mereka sendiri tidak mahu bertanggungjawab dan mereka sendiri rasa takut untuk berhadapan dengan peristiwa seumpama itu. Pendekkan cerita, mereka bersetuju untuk tidak memanjangkan sengketa mereka dan mereka berjanji tidak melibatkan orang luar serta melupakan apa yang telah berlaku.

Memang benar janji mereka. Perkara itu selesai dan kumpulan india tersebut tidak lagi mengganggu pelajar kami. Kami merasakan bahawa apa yang kami lakukan tidak banyak rintangan, Cuma yang penting ialah strategi yang tepat dan mengena. Ajaibnya segalanya berjalan lancar dan masalah itu selesai dengan sendirinya. Keadaan tenteram kembali dan saya bersyukur semuanya dah berlalu. Saya merasakan amat penat memproses kedua-dua luahan. Saya kira kalau saya tidak sabar, saya akan kecundang dan gagal dalam menyelesaikan perkara yang rumit ini. Saya akui dalam keadaan tertentu saya sangat sakit hati dengan gelagat pelajar. Kadang-kadang rasa macam nak mengamuk dan menjerit melihat mereka telah menyusahkan kami. Saya rasa muka saya pucat lesi menahan kesemuanya itu. Penat, geram, marah, sakit hati, benci, menaruh harapan dan berbagai lagi. Pada ketika itu saya seorang sahaja yang menyelesaikan kemelut itu kerana guru disiplin ada kerja lain dan tidak berada di sekolah pada waktu itu. Saya menanggungnya seorang diri dan meresap segalanya tanpa sokongan dari mana-mana pihak.

Apa yang diceritakan itu adalah satu kejayaan yang mana sepatutnya usaha kami itu diberi pujian. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai tidak tahu apa yang kami lakukan dan tujuan untuk apa. Kami pula tidak mencanangkan apa yang kami buat. Mungkin ini juga satu kesilapan, tetapi memang menjadi lumrah saya bekerja tidak suka menghebohkan apa yang saya telah lakukan. Cerita kami membawa tiga pelajar india ke pantai Morib pindah dari mulut ke mulut dan kamipun dikatakan oleh guru-guru tertentu sebagai memberi muka kepada pelajar tersebut. Bayangkan apa yang kami lakukan dengan masa dan tenaga serta wang ringgit langsung kami tak pernah tuntut dan di balas dengan kata-kata sinis sebegitu. Saya dan guru disiplin duduk dan membicarakan perkara itu, tapi saya dikuatkan oleh guru disiplin untuk tidak menghiraukan apa orang lain kata. Paling penting ialah kami telah menyelesaikan perkara yang sangat kritikal. Memang sejak dari hari itu pergaduhan antara pelajar melayu dan india tidak kedengaran untuk masa yang begitu lama sekali.

Peliknya pujian hanya saya dapat dari seorang guru India yang mengajar di sekolah itu. Cikgu India ini mendapat cerita daripada pelajar India yang melaporkan perkembangan kepadanya. Dia memuji saya dan guru disiplin kerana tidak cenderung untuk berpihak kepada pelajar melayu atau menampakkan bias kerana katanya pelajar india itu terasa diri mereka terbela. Dia juga memberi jaminan bahawa pelajar india itu akan memberi sokongan kerana mereka juga berjanji kepadanya untuk membantu supaya perkara seumpama itu tidak berlaku lagi. Saya bangga. Kalau lah semua guru macam ni, sentiasa memberi sokongan kepada perkara baik yang kita lakukan. Bukannya sentiasa prejudis dan meragukan rakan sekerja sendiri. Wallahualam.

Untuk maklumat pelajar sekolah ini majoriti melayu. Pelajar india Cuma dalam lingkungan tidak lebih 20 orang dan pelajar cina pula hanya dua orang. Yang menariknya salah seorang daripada pelajar cina ini adalah pengawas perempuan. Agak tidak menonjol, dan disebabkan dia seorang pengawas, maka dia dilibatkan dengan kumpulan trainers. Apa yang hendak diceritakan di sini ialah semasa kursus pelajar ini di bawah seorang fasilitator iaitu guru teknikal yang mengajar automatif. Akhirnya pelajar ini menganggap guru ini sebagai ayah angkatnya dan memanggil guru ini sebagai abah. Hubungan mereka akrab dan saya nampak di sini bahawa dengan aktiviti seperti ini pelajar minoriti tidak rasa dipinggirkan. Bilik kaunseling adalah sebagai perantaraan dan tempat `melting pot’ bagi pelajar. Banyak perkara yang pelajar belajar secara tidak formal di sini. Saya bangga dapat mewujudkan persahabatan, perhubungan, pergaulan yang sihat di kalangan pelajar dengan pelajar dan guru dengan guru. Saya rasa sangat puas melihat kegembiraan dan kebahagiaan yang tercipta oleh pelbagai program yang dijalankan. Pelajar lebih peka begitu juga guru (tidak semua). Satu lagi peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila saya dapat tahu daripada jaringan saya mengatakan seorang lagi pelajar cina menerima musibah di mana rumahnya di Sabak Bernam terbakar. Setelah mendapat tahu saya mengumpulkan trainers saya dan mengumumkan diperhimpunan tentang perkara itu. Secara spontan, pengawas telah menanggalkan songkok mereka dan memungut derma dari pelajar yang sedang beratur di perhimpunan tersebut. Pada pagi itu kami berjaya mendapat RM200 lebih dan menyumbangkan duit itu kepada pelajar yang bernama Wong itu. Pada peringkat awal pelajar itu segan untuk menerima tetapi apabila dipujuk dia menerima dan menangis melihatkan keperihatinan kawan-kawan. Dia tidak sangka pelajar yang hanya dua orang cina di sekolah itu dapat sokongan dan bantuan moral dan kewangan dari kawan-kawan melayu mereka. Indahkan pemandangan itu? Siapakah yang menjadikan semua ini? Ia tidak terjadi dengan sendiri, tetapi ianya dicipta. Untuk menciptakan perkara serupa ini berlaku bukanlah satu perkara yang mudah dan tidak berlaku dalam masa satu hari. Ianya adalah perancangan dan proses yang amat panjang.

Kawalan Disiplin Sekolah

Sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama ialah cara menangani masalah disiplin di sekolah ini. Bagaimana kita mengawal pelajar? Bagaimana mengetahui apa yang berlaku di belakang kita. Siapa yang akan melakukan masalah disiplin? Siapa yang akan menimbulkan masalah? Siapa yang akan memukul siapa? Sukar untuk mengetahui semuanya ini sekiranya kita tidak mempunyai strategi yang berkesan dan boleh dipraktikkan.

Untuk menjawab soalan itu kami, iaitu saya dan guru disiplin telah berpakat untuk mewujudkan strategi yang boleh membantu kami. Antara perkara yang kami aktifkan ialah dengan memfokuskan aktiviti perhimpunan pagi, mengaktifkan kumpulan trainers iaitu gabungan daripada kumpulan Pengawas, Majlis Perwakilan Pelajar, PEERS (Pembimbing ElitE Rakan Sebaya), Biro Asrama dan Pelajar High Risk. Kami juga bersetuju untuk mewujudkan kotak cadangan dan ditempatkan di Pusat Sumber dan di Kantin. Kotak cadangan ini bertujuan untuk pelajar mencadangkan kepada pihak sekolah apa yang perlu dilakukan untuk membawa kearah kebaikan kepada pelajar. Begitu juga sekiranya pelajar mempunyai idea, maka mereka akan salurkan ke dalam kotak cadangan itu.

Bagaimana untuk menjadikan perhimpunan pagi ceria? Bagaimana untuk menarik perhatian pelajar untuk menjadikan perhimpunan pagi menarik? Bagaimana hendak menjadikan pelajar bersemangat untuk ke perhimpunan pagi? Seorang rakan sekerja yang bernama Cikgu Ratna Dewi mempunyai kemahiran untuk melakukan senam korporat. Kami telah menjadikan modul senam korperatnya sebagai satu imej sekolah. Peringkat awal agak sukar untuk melatih seramai hampir seribu pelajar. Kami mengambil masa selama satu minggu untuk melatih setiap pagi. Lama kelamaan pelajar dapat mengadaptasikan senaman korporat dan menjadi tradisi untuk mengadakannya setiap pagi. Ini bermakna setiap pagi tepat pukul 7.30 pagi muzik akan dimainkan untuk pelajar memulakan senam korporat. Pada ketika itu suasananya amat meriah. Pelajar nampak suka untuk melakukannya. Bagi pelajar yang datang agak lambat mereka akan terkejar-kejar untuk mengikukti senam korporat tersebut. Boleh dikatakan setiap guru juga mengetahui cara senam korporat ini. Hinggakan pada satu peringkat TV3 dan TV2 datang untuk membuat penggambaran senaman korporat ini. Senam korperat ini seakan sebati dengan kami. Pantang kami dengar muzik di mainkan tangan akan secara automatik dihayun, begitu juga dengan anggota badan yang lain. Bagi pasukan Trainers kami senam korporat menjadi identiti kami yang amat kami banggakan. Sekiranya kami berkursus dengan pelajar sekolah lain, kami sentiasa akan mempamerkan kemahiran kami bersenam korperat kepada mereka. Kami bangga mereka amat mengkagumi kami.

Apa yang kami lakukan dalam perhimpunan ialah untuk menjadikan mereka seronok. Pelbagai perkara yang dilakukan untuk mencuri perhatian mereka. Antaranya ialah memberi motivasi di awal pagi. Saya tidak menggunakan bahasa-bahasa yang biasa digunakan oleh guru. Bahasa saya sangat santai hingga menyebabkan pelajar merasa selesa. Saya selalu membaca surat-surat yang dihantar ke dalam kotak cadangan. Saya juga membaca email-email yang dihantar oleh pelajar. Mereka nampaknya suka dengan kisah-kisah atau aduan yang ditulis oleh rakan-rakan mereka sendiri. Daripada maklumat yang dihantar terus kepada saya melalui email saya dapat mengawal dengan mudah pelajar. Contohnya email dari pelajar yang mengadu tentang pelajar pengawas merokok di kawawan sekolah. Ciri-ciri pelajar itu disertakan. Begitu juga laporan yang memberitahu kegiatan pelajar lelaki dan perempuan yang membuat dating. Pelajar yang terlibat akan memberhentikan kerja-kerja mereka serta merta. Ada juga yang datang mengadap saya kerana mereka rasa bersalah dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

Penerbitan PUSAKA 01
Semasa tahun pertama saya sebagai seorang pensyarah di UPSI, saya terasa sesuatu pelik berlaku pada diri saya. Saya hilang kawalan terhadap diri saya. Saya amat letih, tidak bermaya, berat badan turun mendadak sehinggakan pada suatu ketika berat badan saya cuma mencecah 35 kg. Muka saya mengelupas dan kemerah-merahan. Sendi saya sakit. Setiap hari selepas pukul 2 tengah hari ke atas saya akan mengalami sejuk badan dan tidak mampu untuk mandi. Perubahan ketara ini menyebabkan saya tercari-cari apakah yang berlaku pada diri saya. Prestasi saya juga terjejas. Sekiranya dulu saya boleh dan mampu mengendalikan kursus selama 3 hari 2 malam seorang diri namun ketika saya berkeadaan sedemikian tidak mampu untuk memberi ceramah lebih dari 4 jam. Saya merasa sangat letih. Terbatuk-batuk. Pelbagai andaian yang dilakukan oleh rakan-rakan kepada saya. Namun akhirnya selepas menerima rawatan demi rawatan di Hospital Putrajaya saya akhirnya diberitahu bahawa saya mengidap SLE (Sistemic Lupus Areothesis). Satu penyakit yang sangat asing bagi saya. Tidak pernah tahupun kewujudan penyakit ini. Saya fikirkan ianya tidak serius. Apabila saya mencari maklumat yang lebih dari internet barulah saya tahu keadaan sebenar. Saya sebenarnya sedang mengidap penyakit yang kronik. Penyakit yang amat sukar untuk pulih. Tiada ubat yang dikenalpasti boleh memulihkan penyakit ini. Hanya bergantung kepada steroid untuk bertahan. Dari maklumat yang diperolehi dari internet saya faham kenapa saya selama ini tidak bermaya, letih yang melampau hinggakan menyempurnakan solatpun saya mengah dan tercungap-cungap, mengelap badan sendiri dengan tuala mandipun amat sukar juga memakai stokin pun amat meletihkan. Rupanya sintom penyakit itu memang begitu. Semua orang yang berpenyakit SLE merasainya begitu. Muka saya mengelupas dan kemerah-merahan yang amat teruk sekali yang dalam istilah penyakit ini dipanggil Malar Rash. Saya berchating dalam internet dengan ahli SLE seluruh dunia dan mereka menyarankan saya berhenti bekerja dan rehat di rumah. Bolehkan saya lakukan itu? Bagi mereka yang mempunyai latarbelakang ekonomi yang kukuh mungkin tiada masalah tetapi saya? Saya katakan kepada mereka saya tetap bekerja seperti biasa dengan mengendalikan kursus-kursus dan ini amat memeranjatken mereka. Dalam pada waktu yang sama, saya telah diberikan stereoid dan beberapa ubatan yang menyebabkan penyakit saya ini hanya dapat bertahan. Keadaan saya berubah menjadi berisi dan muka saya menjadi balloon face. Berat badan saya naik hingga ke 70 kg. Pinggang seluar saya membesar dari 29 inci bertukar ke 35 inci. Begitulah perubahan yang amat ketara yang boleh pembaca bayangkan. Muka saya beransur menjadi normal. Alhamdulillah. Saya bersyukur, walaupun tidak memulihkan, cuma saya dapat bertahan. Keletihan tetap seperti biasa. Amat letih begitu juga sakit sendi. Saya terpaksa menerima kehidupan yang begini untuk saya jadi normal. Jika tidak saya akan bermasalah kerana tidak dapat menerima diri saya yang baru. Saya harap penyakit saya tidak akan melarat hingga merosakkan organ-organ yang lain seperti buah pinggang, hati, limpa kerana semulajadinya penyakit ini adalah seperti ini. Kesimpulannya untuk saya menjadi seperti orang lain adalah amat menyakitkan. Orang lain berjalan seperti biasa tetapi untuk berjalan seperti biasa saya sebenarnya mengerah kudrat yang maksimum untuk menjadi seperti biasa. Saya tidak boleh terdedah dengan cahaya matahari. Ia akan membunuh saya.

Saya teringat seorang pelajar dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling. Anak perempuan yang sopan dan anak yang baik. Saya mengesyaki dia pun mempunyai penyakit seperti saya. Saya sarankan dia berjumpa doktor kerana mukanya mempunyai tanda-tanda malar rash. Dia berjanji selepas ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) dia akan berjumpa doktor. Malangnya ibubapanya menghalang dan tidak percaya pada doktor. Pendekkan cerita dia terlibat dengan aktiviti perkhemahan pakaian seragam di Trengganu. Dia terdedah dengan cahaya matahari yang melampau. Saya tidak tahu akan hal itu. Saya mendapat panggilan dari pelajar lain bahawa pelajar yang bernama Amar ini sakit tenat. Pinggangnya tidak berfungsi dan ramai pelajar datang ke rumahnya untuk melihat keadaannya. Ketika itu saya di Kuala Lumpur menghadiri jamuan perpisahan Timbalan Naib Canselor HEP yang akan bertukar ke Kementerian Pendidikan Tinggi. Saya terus mengarahkan pelajar tersebut menghubungi pensyarah lain untuk membawanya ke hospital di Slim River. Usaha itu berjaya dan doktor mengesahkan dia mengidap SLE seperti yang saya jangkakan. Doktor telah memberi rawatan dan memberi steroid dan sebagainya. Apabila perkara ini diketahui oleh bapa dan ibunya mereka telah mengambil anak mereka dan berubat secara tradisional di Melaka. Saya pesan pada pelajar itu jangan tinggal ubat. Tapi apakan daya. Selepas 3 bulan dia telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Saya amat terkilan yang amat sangat. Berita itu memberi kesan yang mendalam kepada saya.

Sebenarnya perasaan untuk hidup tidak lama telah saya rasai sebelum kisah ini berlaku. Saya rasakan saya tidak akan lama dan bertahan dengan keadaan saya. Pada ketika yang agak kritikal dan tercari-cari penawar iaitu sekitar tahun 2003. Dengan tidak semena-mena saya mengeluarkan semua bahan yang ada dalam komputer saya dan menyerahkan kepada sebilangan pelajar. Tindakan saya ini telah ditegur oleh beberapa orang pensyarah yang mengatakan bahawa bahan saya adalah sangat berharga dan mempunyai nilai yang tinggi. Mereka menyarankan supaya di komersialkan bahan-bahan saya itu. Saya bersetuju dan saya namakan bahan atau produk saya itu dengan nama PUSAKA 01. Saya sebenarnya bersiap sedia untuk meninggalkan sesuatu dalam bentuk Pusaka kepada pelajar saya jika saya tiada nanti. Memang di luar jangkaan bahan saya menjadi rebutan pelajar. Sememang ianya amat berguna dan diperlukan oleh seorang kaunselor apatah lagi bakal kaunselor yang tidak mempunyai pengalaman. Semua ini berlaku secara kebetulan.

Pada tahun 2005 Pusat Kualiti telah menganjurkan Minggu Kualiti dan mempelawa mana-mana pensyarah yang mempunyai idea yang inovatif menghantar produk mereka. Saya cuba dan menghantarnya dan tanpa saya duga produk PUSAKA 01 telah berjaya. Saya telah berjaya mendapat Anugerah Inovasi 2005 UPSI. Saya lebih berbangga ianya terpilih untuk dihantar ke Pameran Inovatif di Geneva. Sebenarnya memang sejak dari dulu saya mempunyai niat di hati untuk menjadi orang yang pertama dalam sesuatu hal dalam bidang kaunseling ini. Saya ingin menjadi orang yang pertama untuk menjadikan seorang guru disiplin duduk bersama seorang kaunselor di dalam satu bilik yang mana ianya amat mustahil jika difikirkan. Saya juga ingin menjadi orang yang pertama menjalankan segala program tanpa melibatkan tenaga luar dan saya telah membuktikan ianya berlaku sepanjang penglibatan saya sebagai kaunselor selama 12 tahun di sekolah. Saya ingin menjadi orang yang pertama mengendalikan kursus peringkat negeri yang dikendalikan oleh seorang kaunselor pelajar dan dibantu oleh rakan-rakan guru dari sekolah yang sama dan ianya telah dilakukan. Saya ingin menjadikan diri saya orang yang pertama dalam mengendalikan disiplin pelajar melalui portal dalam internet dan ianya telah dapat dilakukan. Saya ingin menjadi kaunselor pertama dapat menulis biografi tentang pengalaman menjadi kaunselor pelajar di sekolah. Saya ingin menjadi kaunselor pelajar pertama kalau boleh untuk segalanya namun tidak saya sangka saya menjadi kaunselor pelajar pertama dalam mengeluarkan produk kaunseling dan mengambil bahagian dalam pameran di peringkat antarabangsa di Geneva.

Berbalik kepada keadaan saya yang tenat ketika itu, saya terus tanpa berlengah menawarkan diri untuk mencurahkan segala ilmu saya dalam pengendalian kursus. Kursus yang pertama untuk pelajar saya ialah kursus Extrovert 03 yang dikendalikan di Kem Jalan Kebun Klang. Seramai 150 orang pelajar terlibat. Mereka telah didedahkan dengan modul-modul ciptaan dan pendekatan saya. Pelajar yang melaluinya akan terasa kelainan dari kursus-kukrsus yang mereka lalui selama ini. Mereka merasakan sangat berbeza dan impaknya sangat besar terutama apabila mereka melalui modul Agape Love. Tujuan saya adalah supaya pelajar saya melalui dan seterusnya saya ingin melatih mereka dengan modul saya. Jangkaan saya tepat. Pelajar amat mengkagumi modul-modul ini dan mereka ingin mempelajarinya. Tidak lama selepas itu saya mengendalikan kursus Training of Trainers di Kem Selesa di Tanjong Malim dan seramai 100 orang pelajar telah mengikutinya. Barang diingat kesemua perbelanjaan kursus ini adalah dikeluarkan oleh pelajar sendiri. Saya kagum dengan kesungguhan mereka.

Tanpa pandang ke belakang diam tak diam saya telah mengendalikan sebanyak 6 kursus extrovert dan 4 kursus Training of Trainers. Bukan itu sahaja, saya juga terlibat dalam pengendalian kursus-kursus pelajar untuk yang dikendalikan oleh pihak HEP. Kebanyakan kursus ini saya kendalikan selama 3 hari dua malam dan pengendalian saya ini dibantu oleh seorang pensyarah dan beberapa orang pelajar. Pembaca sila bayangkan di manakah datangnya kudrat dan tenaga saya? Pada hakikatnya saya memang sudah tiada apa yang boleh saya sandarkan. Pada keadaan tertentu saya kadang kala terasa saya tidak dapat meneruskan kursus yang sedang saya jalankan namun ianya sangat berisiko sekiranya saya tidak teruskan. Saya teruskan juga walaupun dalam keadaan yang amat sukar. Kadang kala saya merasakan biarlah saya mati ketika saya menjalankan kursus dalam memertabatkan bidang kaunseling ini. Saya akan bangga. Saya ingin menjadi pejuang dalam bidang kaunseling. Saya ingin meneraju sesuatu yang baru dalam bidang ini. Saya ingin cetuskan cara bekerja yang berbeza yang diamalkan oleh kaunselor pelajar sebelum ini. Sesuatu yang baru sesuatu yang diterima oleh semua. Saya sedih kerana tugas seorang kaunselor selalu tidak mendapat sokongan dari pihak sekolah dan selalu jadi perbualan yang negatif kerana tugas soerang kaunselor amat sukar difahami orang yang tidak terlibat dengannya. Dengan cara pendekatan bekerja yang agak berbeza saya harap profesion ini akan dilihat relevan dengan keperluan semasa.

Pengalaman Mengerjakan Umrah
Masih berkenaan kesihatan saya. Mungkin dari penulisan ini akan memberi sesuatu pengajaran kepada pembaca. Saya ingin berkongsi tentang pengalaman semasa mengerjakan umrah. Ini adalah usaha yang maksima untuk saya lakukan. Memang telah lama saya berhajat untuk mengerjakan umrah sejak sepuluh tahun yang lalu. Masa memang sentiasa tidak mengizinkan. Saya bertekad untuk pergi juga. Saya berbincang dengan seorang sahabat iaitu pensayarah ditempat yang sama dan dia bersetuju. Ini menguatkan semangat untuk pergi. Harapan saya hanya satu iaitu untuk berdoa di depan kaabah supaya Allah makbulkan doa saya. Banyak persoalan yang bermain di fikiran saya. Adakah saya mampu untuk pergi? Dengan keadaan cuaca yang panas ketika itu mencecah hampir 43-47 degree celcius. Bolehkah kulit saya bertahan? Adakah ianya nanti tidak memberi kesan kepada saya kelak? Bolehkah saya melakukan tawaf? Bolehkah saya melakukan saie? Saya merujuk kepada beberapa orang kawan dan bertanya kepada mereka adakah rakan-rakan mereka yang mempunyai penyakit SLE macam saya yang mereka tahu pernah pergi menunaikan ibadat haji atau umrah? Tidak ada jawapan. Mereka tidak boleh menjawab. Apabila mendapatkan rawatan saya bertanya kepada doktor yang merawat saya bolehkah saya meneruskan hajat saya. Doktor menasihatkan saya agar berjaga-jaga. Jangan lupa memakai lotion pelindung matahari dan jangan berjalan tanpa payung serta berbaju lengan panjang. Selain dari itu jangan lupa ubat. Saya bertekad untuk teruskan niat saya itu dan saya pergi. Apa nak jadi, jadilah... saya tawakal.

Menjejakkan kaki ke tanah suci saya dapat rasa bahang yang saya akan tempuhi selama sepuluh hari. Mampukah saya? Peringkat awal saya cuba mengelak dari pancaran matahari yang sangat terik itu. Saya berlari untuk ke tempat redup tiap kali saya terdedah pada matahari. Lama kelamaan saya menjadi imune dan tak kisah lagi. Saya bertawakal. Bertawaf dalam keadaan yang kalau boleh waktu yang agak redup atau waktu malam. Itu sahaja pilihan yang ada. Begitu juga dengan saie. Untuk mengerjakan saie rupanya jauhnya perjalanannya adalah sejauh perjalanan antara Kuala Kubu Bharu dengan pekan Kerling. Mana kudrat saya dapat sayapun tak tahu. Akhirnya diam tak diam dapat juga mengadakan lima kali umrah. Niat untuk melakukan 7 kali umrah tidak tercapai. Dalam waktu-waktu tertentu saya terperangkap apabila dalam mengerjakan tawaf matahari agak terik. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan ialah semasa melakukan tawaf widat yang mana mahu tidak mahu perlu dilakukan pada waktu tengah hari selepas solat zohor. Bayangkan keadaan ketika itu. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku.

Saya cuba mendapatkan tempat doa yang paling afdal seperti di ar raudah di Masjid Nabawi, di depan Kaabah, di dalam Kaabah, di makam Nabi Ismail, di Multazam dan juga semasa mengucup hajar aswad. Kesemuanya dapat saya lakukan. Walaupun keadaan sangat sesak namun saya kuatkan semangat untuk merebut peluang itu. Entah bila lagi dapat melakukannya jika tidak pada waktu itu. Keadaan paling teruk ialah semasa hendak bergayut di Multazam. Multazam adalah antara hajar aswad dan pintu kaabah. Memang menyiksakan untuk ke sana. Orang terlalu ramai dan berebut-rebut. Sukar untuk mempercayainya bahawa saya berjaya lakukannya. Masa yang saya ambil semasa bergayut itu adalah Cuma tak sampai 15 saat pun. Keadaan menyebabkan tidak mampu untuk bergayut lama. Saya sempat berdoa agar pulih dari penyakit saya ini dan doa saya untuk pelajar saya yang bakal menjadi kaunselor di sekolah agar mereka menjadi kaunselor yang hebat dan banyak membantu orang lain. Saya berdoa agar kesihatan pulih seperti dulu agar saya ada kudrat bagi melatih pelajar saya dan kaunselor yang ada dalam memertabatkan dunia kaunseling. Itu sahaja yang saya ingat. Selepas saya melakukannya saya duduk di tangga masjidil Haram mengadap ke Kaabah. Saya memerhatikan gelagat manusia yang sedang berebut-rebut itu. Tiba-tiba saya jadi sebak dan menangis semahu mahunya. Saya hairan bagaimana saya berada dalam golongan manusia yang berebut-rebut itu dan berjaya pula bergayut di Multazam. Maha besar Allah yang menyempurnakan hajat saya. Saya bersyukur. Satu ... satu muka pelajar saya terbayang di pemikiran saya ketika itu. Ya.. mereka akan menjadi manusia yang hebat, saya pasti. Dua doa yang tidak boleh panjang dan tidak boleh lama di tempat itu iaitu di Multazam dan juga semasa mencium hajar Aswad. Kedua-dua doa itu lebih tertumpu pada kesihatan dan anak murid serta keluarga. Keadaan ketika hendak mencium Hajar Aswadpun begitu juga malah lebih mencabar. Penuh dengan keadaan sesak dan bertolak-tolak. Doa-doa lain yang boleh dilakukan dalam keadaan yang lebih tenang barulah dapat memasukkan doa untuk rakan-rakan, keadaan kerja, masyarakat dan apa sahaja yang dihajati. Namun apapun saya rasa bertuah kerana dapat melakukannya. Daripada berjuta-juta manusia, tidak ramai yang dapat melakukan apa yang telah saya lakukan. Syukur kepada Allah.


Saya tidak kalah di Geneva
Pengalaman menyertai Pameran Inovasi di Geneva amat berharga. Selama sepuluh hari di sana saya dapat menilai penyertaan orang lain dan dapat menilai diri sendiri. Saya menyarankan kepada teman seperjuangan dalam bidang kaunseling bahawa sebenarnya ada ruang untuk kita melakukan sesuatu dalam bidang kita ini. Sesuatu inovasi boleh meningkatkan lagi pforesion kita. Saya faham dan maklum ramai antara kaunselor pelajar yang melakukan berbagai kerja-kerja yang kreatif tetapi tidak diketengahkan. Ini amat rugi bagi dunia kaunseling itu sendiri. Ilmu kaunseling itu sendiri tidak dapat dikembangkan. Pada masa kami sedang menyiapkan booth pameran saya terkejut kerana produk saya telah dilabelkan dengan label kelas C. Kategori C bermakna saya bertanding dalam kategori software yang saya kira jauh daripada apa yang kami daftarkan sebelum ini. Saya daftarkan produk saya dalam kategori E iaitu kategori pendidikan. Profesor Mustamam iaitu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovatif, sebagai ketua delegasi telah membuat bantahan. Mereka menolak bantahan tersebut kerana perkara ini telah diputuskan oleh panel yang telah bermesyuarat sebelumnya. Saya ketika itu amat kecewa dan tidak bersemangat untuk meneruskan misi besar ini. Untuk pengetahuan dalam kategori C peserta yang mengambil bahagian adalah seramai 112 penyertaan. Untuk kategori E pula Cuma 45 penyertaan sahaja. Kesemua penyertaan dalam bidang pendidikan telah berjaya menjdapat pingat. Sedih sungguh dan saya rasa tidak bermaya untuk pulang ke UPSI. Saya gagal untuk menggembirakan pihak UPSI. Saya memang kecewa. Apapun saya berbesar hati apabila sepanjang pameran di sana ramai pengunjung yang memberi pujian. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak terfikir akan produk yang saya lahirkan itu. Bagi mereka ianya sebagai satu idea untuk mereka mencipta produk mereka sendiri dengan menggunakan cara yang saya lakukan. Sesuatu yang melucukan berlaku apabila sepasang suami isteri dari Perancis yang menanyakan saya tentang produk ini dalam versi Perancis. Ini bagi membantu anak mereka yang sedang belajar di sebuah universiti di sana yang kurang mahir dalam bidang dokumentasi. Lucu bukan?

Tidak lama selepas pulang dari Geneva, Pusaka 01 telah mengambil bahagian dalam Eduresearch peringkat Regional dan berjaya mendapat tempat kedua dalam poster presentation dan tempat ketiga dalam product presentation. Ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya sebelum ini. Banyak lagi langkah yang perlu dilakukan. Perjuangan mesti diteruskan. Seterusnya saya mengambil langkah untuk memperbaiki produk saya itu. Antara lain langkah yang saya jalankan ialah dengan membuat kajian tentang keberkesanan Pusaka 01 itu. Satu kajian rintis telah dilakukan terhadap 30 orang pelajar dan daripada dapatan kajian amat mengkagumkan. Dalam waktu yang sama saya telah membuat kaloborasi dengan fakulti lain seperti Fakulti Teknologi Maklumat untuk meningkatkan kualiti produk saya itu. Semasa buku ini ditulis kami dalam usaha untuk memasarkan Pusaka 01. Pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan sedang membantu untuk merealisasikan usaha ini. Ianya akan menjadi produk keluaran UPSI dan saya harap akan membawa dana yang lumayan pada universiti. Selain itu cita-cita saya agar UPSI akan menjadi tempat untuk melatih kaunselor yang berkesan dalam perkhidmatan mereka di sekolah.

sebelum saya meneruskan cerita ini saya nak selitkan kisah satu dalam seribu ...

SATU KEJAIBAN

6.9.08 jam 4.15 petang semasa saya hendak mengambil anak dari tuisyen saya dapat panggilan. Saya kurang perasan nombor telefon tersebut. Saya agak tertanya-tanya siapa orang di hujung talian. Cara dia bercakap agak berbeza daripada orang-orang yang bercakap dengan saya sebelumnya. Percakapannya teratur dengan bahasa ibunda yang tinggi nilainya. Dia mengatakan dia dari UK dan sedang mengikuti blog saya dengan penuh minat kerana ia ada kena mengena dengan apa yang dia telah lalui semasa remajanya. Seorang yang tidak langsung dihargai dan potensi diri yang hampir tidak dipandang dan diketahui. Saya bertambah minat hendak mengetahuinya dengan lebih lanjut. Dia mengatakan dia tercari-cari seorang pendidik yang amat aktif dalam mendidik anak didiknya dengan cara yang sedang saya lakukan ini. Sayapun tidak tahu apa yang saya buat ini sesuatu yang dalam pencarian oleh orang lain. Bagaimanapun saya rasa bangga dengan apa yang saya dengar. Dalam hati saya merasai dari perbualan kami terasa begitu dekat di hati. Entah mengapa.

Beliau telah menyebut nama seseorang yang bernama Afiti yang mana sering berkomunikasi dengannya secara online. Menurutnya Afiti juga sedang dalam pencarian sesuatu yang boleh disumbangkan kepada masyarakat. Wow.. hebatnya… Saya agak keliru dengan penerangan tentang dirinya yang kabur. Apa yang saya faham ialah beliau anak melayu yang pernah cemerlang dalam bidang computer sains dan telah menukar arah kepada bidang psikolgi pendidikan kerana `sesuatu perkara’ yang berlaku dalam hidupnya. Ok, lama juga perbualan kami. Dalam hati saya mengatakan bahawa tidak sangka ada manusia yang mengikuti blog saya dari jauh dan menepati apa yang dicarinya selama ini. Fantastik..

Malam itu saya menerima sms mengatakan dia bersyukur tentang pertemuannya dengan saya yang mungkin boleh memberi sumbangan yang lebih besar kepada manusia. Esoknya pelajar saya yang bernama Afiti berjumpa dan menerangkan kepada saya siapakah orang tersebut. Oh… Dr. Alya Zara dari UK seorang yang telah mendalami colour vibration therapy… saya pernah laluinya dulu dan memang saya ingin mempelajarinya tetapi tidak pernah ada kesempatan. Insyallah saya akan lakukannya juga. SATU KEBETULAN… Pucuk dicita ulam mendatang…

Maha Agung Allah…. Telah menggerakkan segalanya mengikut perancangan yang kita tidak pernah terfikir. Pada petang itu semasa saya bersembang melalui ym dengannya, saya mendapati banyak persamaan tentang apa yang hendak dilakukan olehnya dan apa yang saya rasa saya nak buat. Beliau menyuruh saya memasuki blog anaknya kerana katanya untuk menggalakkan kanak-kanak dalam bidang penulisan untuk meningkatkan self esteem mereka. Sebenarnya saya baru sahaja upload dua cara bagaimana untuk meningkatkan self esteem anak melalui penulisan dari sumber 365 ways to help children grow seperti mana yang saya war-warkan itu. Dan yang lebih membuatkan saya terdiam ialah apabila menceritakan hal-hal latarbelakang masing-masing . Akhirnya kami bertemu titik pertemuan yang sememangnya kami memang dekat. Dr. Alya Zara adalah anak buah saya yang tidak pernah saya berjumpa seumur hidup saya. Ya Allah.. saya merasai sesuatu yang kuat semenjak dia menalefon saya dan rupanya inilah dia keajaiban…..
Esoknya saya ceritakan hal ini kepada Dr. Jazimin kerana saya tahu beliau meminati personality through colours dan sememangnya beliau pernah membuat kajian tentang personality through colours ini. Beliau amat berminat dan bersetuju untuk belajar. Ajaibnya apabila saya menunjukkan blog Dr. Alya Zara dengan penuh kehairanan beliau mengatakan kepada saya baru malam tadi dia membuka blog yang sama atas sebab `instinct yang kuat’ yang menggerakkan dia berbuat demikian… apakah maknanya semuanya ini??? SATU KEAJAIBAN. Cubalah layari http://warnadiri.blogspot.com. Dunia blogging menemukan dua manusia yang mencari sesuatu PENCARIAN. Wallahualam. 10.09.08 6 am